Makanan Ada Piramid Makanan, Kewangan Pula Ada Piramid Kewangan

Untuk kekal sihat daripada segi kesihatan, kita digalakkan untuk menjaga kesihatan dengan makan mengikut piramid makanan yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Untuk kekal sihat daripada segi kewangan pula, kita perlu utamakan bab pengurusan duit agar kewangan berada dalam keadaan yang baik dan stabil.

Apabila kewangan sudah kukuh, datanglah ujian atau musibah yang melanda; kewangan kita masih mampu bertahan dengan baik selagi kita ikut piramid kewangan yang telah disarankan oleh pakar-pakar kewangan.

Pengurusan Gaji Yang Baik

Cukup sebulan bekerja, kita akan dapat gaji. Tapi ke mana kita perlu belanjakan dan berapa pula jumlahnya?

Adakah anda pernah buat kira-kira ke mana duit gaji setiap bulan dibelanjakan? Kalau tidak pernah, boleh jadikan piramid kewangan ini sebagai panduan.

Mengikut pakar kewangan, perkara pertama sekali kita perlu asingkan 30% daripada gaji kita terlebih dahulu. Lagi 70% barulah bayar hutang komitmen, belanja dan lain-lain.

Contoh kita mempunyai gaji RM3,000

30% daripada RM3,000 : RM900 perlu diasingkan

70% daripada RM3,000 : RM2,100 boleh dibelanjakan

30% daripada gaji yang kita asingkan tadi boleh dipecahkan kepada 3 bahagian.

1. Perlindungan/Takaful (10%)

Dalam konsep kewangan, perlindungan atau takaful adalah asas yang paling utama. Ini kerana jika kita ditimpa musibah atau kemalangan yang boleh menyebabkan kita tidak dapat lagi berkerja, maka duit pelindungan ini akan membantu kita bertahan.

Malang tidak berbau, oleh sebab itu kita digalakkan mengambil polisi takaful untuk perlindungan jika berlaku apa-apa kemalangan diluar jangkaan.

Sekiranya kita merupakan sumber pendapatan keluarga, wajib untuk kita mengambil takaful sebagai pelindungan diri daripada kemalangan seperti kematian, hilang upaya kekal dan ditimpa penyakit kritikal.

Bayangkan, jika kita sebagai suami meninggal dunia. Isteri dan anak-anak tidak ada tempat bergantung dan hilang punca pendapatan. Lebih simpati apabila isteri membesarkan anak-anak dengan seorang diri.

Takaful ini terbahagi kepada dua bahagian.

1. Medical Card

Medical card hanya melindungi diri kita dari kos perubatan yang ditimpa kemalangan dan ditimpa penyakit kritikal sahaja.

2. Hibah Takaful

Hibah pula adalah pemberian hadiah kepada pewaris. Sekiranya kita meninggal dunia, pampasan hibah ni terus kepada pewaris.

Kebiasaanya bagi orang bujang akan letak nama pewaris hibah di atas nama ayah dan ibu mereka, manakala yang sudah berkahwin akan meletak nama pewaris pasangan masing-masing.

2. Simpanan dan Kecemasan (10%)

Apabila asas dah kukuh dengan adanya perlindungan, barulah kita fokus mencipta simpanan kecemasan 6 bulan gaji.

Contoh kita bergaji RM3,000, maka kena ada 6 bulan simpanan iaitu sebanyak RM18,000.

Sayang macam mana sekalipun kita kepada pekerjaan dan majikan, jika berlaku masalah ekonomi kita boleh hilang pekerjaan. Besar kemungkinan sama ada syarikat akan bankrap atau syarikat akan membuang pekerja.

Bila kita sudah bersedia daripada awal, jika kita dibuang kerja sekalipun sekurang-kurangnya kita masih ada 6 bulan lagi untuk bertahan dan mencari peluang perkerjaan yang baru.

3. Pelaburan dan Persaraan (10%)

Masa akan terus berjalan dan berjalan dan akan tiba masanya kita akan masuk umur bersara. Jika kita bekerja di sektor kerajaan akan dapat pencen secara bulanan, manakala jika bekerja di sektor swasta akan dapat wang secara lump sum dengan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengikut statistik, seramai 3.6 juta ahli KWSP direkodkan mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000, manakala 6.1 juta lagi ahli mempunyai KWSP mempunyai kurang daripada RM10,000.

Oleh sebab itulah, kita perlu cari alternatif lain untuk melabur demi persaraan kita nanti. Kita boleh melabur dalam saham, amanah saham, hartanah dan bermacam-macam lagi.

Dengan adanya tabung persaraan ini, dapat juga kita bersara dengan tenang nanti. Tak perlu terus bekerja apabila sudah memasuki usia emas.

Selebihnya Boleh Belanja

Baki 70% tersebut, barulah kita belanjakan untuk keperluan hidup seperti bayar komitmen hutang kereta, hutang rumah, hutang PTPTN, barang dapur, bil elektrik, bil internet dan yang lain-lain.

Kesilapan terbesar dalam pengurusan kewangan adalah dapat saja gaji, kita belanja dulu baru menyimpan. Sebaiknya dapat sahaja gaji kita lindung-simpan-labur, dan seterusnya baru belanja.

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.