Progres Kewangan Masih Kabur? Semak 5 Punca Ini

Tahun baru, azam baru dan serba-serbi baru tapi belum nampak sebarang perubahan? Idea di sebalik pengurusan kewangan memang nampak mudah dan praktikal, mungkin ini sebabnya mengapa progres kewangan kita masih kabur.

Punca #1: Berbelanja Lagi Best Daripada Menyimpan Duit

Siapa yang tak suka beli makanan/minuman atau gadget kesukaan? Minum Starbucks, main PlayStation 4, beli pakaian baru atau telefon pintar terkini? Rasa best dia lain macam bila berbelanja sehingga terlupa untuk asingkan duit untuk dijadikan simpanan.

Jom cuba cara ni kalau nak berbelanja tapi pada masa sama dapat menyimpan duit:-

  • Luangkan masa terhadap perkara yang percuma atau murah yang buat kita rasa seronok. Contohnya, layari laman web kesihatan, resipi masakan, sertai program kesukarelawanan, atau sertai aktiviti percuma dianjurkan NGO.
  • Muhasabah diri jika jumlah perbelanjaan melebihi jumlah simpanan. Berbelanja hanya bila kita sudah kenal pasti mana satu kehendak dan mana satu keperluan.
  • Bina lingkungan kawan-kawan yang baik. Jika bercuti bersama, perbelanjaan kewangan tidak melebihi bajet. Jika makan bersama, tidak kisah makan di kedai-kedai biasa.

Punca #2: Matlamat Kewangan Mengambil Masa Yang Lama Untuk Dicapai

Matlamat kewangan mula jadi kabur dari semasa ke semasa tatkala memikirkan lamanya tempoh 10 tahun atau 20 tahun. Malah, 5 tahun pun terasa sangat lama.

Jom cuba cara ni kalau nak mengatasi ‘rasa’ lamanya tempoh tersebut:-

  • Fokus terhadap matlamat kewangan berskala kecil yang kita boleh nampak pencapaian dalam masa sehari, seminggu atau sebulan. Contohnya, kita target nak simpan RM150 sebulan atau RM30 sehari.
  • Lihat kejayaan yang sudah dicapai supaya dapat kenal pasti aspek yang boleh diperbaiki. Adakah simpanan kita sudah bertambah atau berkurang? Adakah hutang kita sudah berjaya diselesaikan?
  • Bina tabiat yang mendorong kepada kemajuan matlamat kewangan. Tabiat seperti menyimpan RM5 setiap hari sangat mudah sehingga ianya menjadi aktiviti baru yang tidak boleh ditinggalkan.

Punca #3: Matlamat Kewangan Menjadi Kabur Selepas Beberapa Bulan

Tidak konsisten menyimpan duit akan menyebabkan progres kewangan terbantut dan akhirnya kita mudah putus asa. Orang kata kita kena buat sesuatu yang baru selama 40 hari, barulah ianya menjadi tabiat.

Jom cuba strategi ini untuk kekalkan semangat menyimpan duit:-

  • Ceburkan diri dalam aktiviti yang mengurangkan kos belanja seperti borong barangan segar seminggu sekali atau baiki sendiri peralatan rumah yang rosak.
  • Libatkan diri dalam aktiviti yang dapat menambah pendapatan seperti konsultansi kewangan atau mengambil upah menjahit baju.
  • Bersosial dengan orang yang mempunyai matlamat kewangan yang seiring. Di Malaysia, terdapat sekumpulan profesional dan usahawan yang sudi berkongsi pengalaman progres kewangan yang betul.

Punca #4: Rasa Mustahil Untuk Sempurnakan Matlamat Kewangan

Sekiranya gaji kasar tahunan kita adalah sebanyak RM36,000, manakala kita tetapkan jumlah duit persaraan perlu ada 10 kali nilai gaji kasar tahunan. Rasa mustahil itu akan datang kerana matlamat kewangan yang ditetapkan rasa macam terlalu besar nilainya.

Jom cuba strategi ni kalau nak mengatasi perasaan ‘mustahil’ walaupun nilai matlamat kewangan dilihat sangat besar:-

  • Pecahkan nilai besar kepada nilai yang lebih kecil. Tempoh di antara nilai-nilai tersebut tidak terlalu dekat supaya pencapaian demi pencapaian dapat diraikan.
  • Guna pendekatan bukan kewangan untuk melengkapkan matlamat kewangan. Contohnya, sebab-sebab pemilihan lokasi rumah untuk dijadikan tempat tinggal dan tempat bekerja adalah dekat.
  • Semak semula matlamat kewangan dengan perunding kewangan bila nilai yang besar tidak dapat dipecahkan kepada nilai-nilai kecil. Mereka pasti mampu beri cadangan yang bernas kepada kita.

Punca #5: Langit Tak Selalu Cerah, Awan Tak Selalunya Mendung

Pentingnya tabung kecemasan bila kejadian yang tidak diingini berlaku. Walaupun matlamat kewangan sudah disusun rapi, namun ada sahaja musibah yang berlaku seperti kehilangan pekerjaan, kecurian, ditimpa penyakit atau kereta rosak. Dengan adanya tabung kecemasan, matlamat kewangan kita tidak akan terganggu.

Kerjaya yang stabil dan halal penting untuk dijadikan punca pendapatan yang berkat. Malah, kesihatan juga perlu dijaga melalui senaman dan pemakanan yang sihat.

Perkara yang tidak penting perlu diasingkan dalam kehidupan seperti membeli sofa baru setiap tahun, melancong ke luar negara setiap bulan yang akhirnya akan menjerat diri sendiri dengan perbelanjaan yang melambung tinggi.

Sumber Rujukan: iris.xyz

Ditulis oleh Wan Mohamad Farhan bin Ab Rahman. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Nak Deposit Rumah Pertama? ‘Overlap’ Hutang? Bayar Tunggakan PTPTN?

Ringankan tanggungan semasa anda dengan pembiayaan peribadi berkonsep syariah di platform Direct Lending. Dapatkan pinjaman kadar rendah untuk satukan semua hutang mahal anda. Semak kelayakan secara percuma. Anda boleh semak dahulu & mohon kemudian. Tiada apa-apa caj yang dikenakan.

KLIK sini untuk terima pembiayaan bank & koperasi yang bersesuaian dengan posisi kewangan anda.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pemohon Pembiayaan Peribadi Lebih RM100,000 Wajib Hadiri Modul Pendidikan Kewangan – BNM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) — Pengguna yang memohon pinjaman peribadi melebihi RM100,000 perlu menghadiri dan melengkapkan modul pendidikan kewangan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Dalam dokumen dasar pembiayaan peribadi yang dikeluarkan di sini hari ini, bank pusat berkata syarat-syarat ini merupakan antara keperluan baharu yang ditetapkan oleh BNM.

Dokumen dasar itu bertujuan memperkenalkan amalan pembiayaan yang berhemah dan bertanggungjawab berhubung dengan penyediaan pembiayaan peribadi oleh penyedia perkhidmatan kewangan, di samping menggalakkan gelagat peminjaman yang bertanggungjawab dalam kalangan pengguna kewangan.

Ia juga untuk memastikan pelaporan yang jelas daripada penyedia perkhidmatan kewangan berhubung jangkaan sedia ada BNM mengenai penggunaan tempoh maksimum 10 tahun untuk pembiayaan yang ditawarkan di bawah produk pembiayaan rumah atau dijamin oleh harta tanpa halangan bagi kegunaan peribadi.

Ia juga melarang tawaran pembiayaan peribadi di mana caj faedah/keuntungan dikira menggunakan kaedah kadar rata dan/atau Peraturan 78 yang merujuk kepada kaedah pengiraan faedah/keuntungan.

Di samping itu, ia juga mengukuhkan jangkaan untuk penyedia perkhidmatan kewangan mendedahkan kadar faedah/keuntungan yang berkesan kepada pengguna kewangan.

Dengan persaingan yang sengit dalam pasaran kredit runcit, perubahan telah diperhatikan dalam amalan pemberian pinjaman oleh penyedia kredit dalam segmen pembiayaan peribadi, menurut gambaran keseluruhan dokumen dasar. Keadaan ini menyumbang kepada pinjaman yang tidak mampu ditanggung oleh isi rumah.

Apa yang menjadi kebimbangan utama adalah kemunculan produk pembiayaan baharu yang nampak seperti pinjaman mampu milik tetapi sebenarnya menggalakkan pengumpulan hutang yang tidak berhemah. Pengguna kewangan tidak mampu menanggungnya tanpa risiko kesulitan yang ketara sepanjang tempoh pembiayaan disebabkan kekurangan simpanan kewangan yang mencukupi.

Menurut dokumen itu, penyedia perkhidmatan kewangan dikehendaki menjalankan penilaian kesesuaian dan kemampuan membayar bagi setiap kemudahan pembiayaan baharu dan tambahan yang ditawarkan kepada pengguna kewangan, tetapi keperluan yang lebih khusus diperlukan untuk mencegah perkembangan tidak sihat dalam segmen pembiayaan peribadi.

Dokumen dasar ini terpakai kepada semua bank berlesen, bank Islam berlesen dan institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan, berkuat kuasa mulai hari ini.
— BERNAMA