
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memberikan Kelulusan Secara Prinsip (AiP) untuk mendaftarkan Hata sebagai pengendali pasaran yang diiktiraf bagi pertukaran aset digital (DAX).
Sebagai satu-satunya penggiat yang telah menerima AiP susulan langkah SC membuka semula permohonan DAX pada Nov 2022, Hata dijangka menjadi DAX kelima yang dikawal selia, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia untuk membeli, menjual dan menyimpan mata wang kripto dengan selamat di platform tempatan.
“Hata juga adalah penggiat pertama yang menerima AiP daripada SC untuk beroperasi sebagai Broker Digital (DB), yang membolehkan Hata untuk mendapatkan mudah tunai daripada bursa lain yang dikawal selia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Hata, David Low berkata syarikat itu akan berusaha untuk mendapatkan kelulusan penuh daripada SC sebelum membuka platformnya untuk pelanggan di Malaysia menjelang awal 2024.
“Keputusan SC untuk mengembangkan lagi kerangka pengendali pasaran yang diiktiraf untuk menggabungkan model perniagaan DB dan memberikan kami kelulusan bersyarat untuk mengendalikan model DAX dan DB, melambangkan keyakinan terhadap industri aset digital.
“Hata berhasrat membolehkan akses mata wang kripto yang selamat dan lancar dan kami berharap untuk muncul sebagai platform sehenti dan boleh dipercayai untuk pelanggan menerusi rangkaian produk dan perkhidmatan kami,” katanya.
— BERNAMA