4 Cara Tambah Limit Kad Kredit 

Jika limit kad kredit RM 3000, tetapi nak tambah kepada limit RM 4000. Boleh ke?

Pastinya boleh! Namun perlu ada kelulusan dari pihak Bank, malah ia akan dinilai daripada beberapa faktor. Siapa yang senang-senang nak bagi duit yang banyak kepada kita jika tak kenal kita, betul tak?

Penting untuk anda tahu tips tambah had kredit untuk kad kredit supaya permohonan anda lulus segera. Setelah itu, barulah kita ikuti cara tambah had kad kredit dengan mudah dan pantas. 

Jom lihat antara tips mudah untuk lulus kenaikan had kredit yang ramai tak tahu.

  1. Pastikan bank percaya dengan kemampuan kita untuk bayar semula
  2. Pastikan bank tahu profil atau rekod pendapatan atau pekerjaan terkini kita
  3. Pastikan rekod bayaran kita elok dan bayar tepat pada masanya sebelum ini
  4. Pastikan kita pernah membuat transaksi besar atau transaksi yang kerap dengan kad kredit sedia ada sebelum ini

Bagaimana Cara Untuk Memohon?

Terdapat empat cara tambah had kad kredit yang boleh anda pilih. Keempat-empat cara ini tetap mudah dilakukan, terpulang kepada keselesaan setiap individu.

Jom lihat cara naikkan had kad kredit yang mudah dan boleh terus anda lakukan. Hari ini anda fahamkan, hari ini juga anda boleh lakukan.

Cara Naikkan Had Kad Kredit Melalui Cawangan Bank

Pilihan pertama sekiranya anda mempunyai masa untuk ke bank, anda boleh terus ke mana-mana cawangan bank yang berhampiran. Sebaiknya, bank yang pada mulanya anda berurusan berkaitan kad kredit. 

Maklumkan kepada pegawai akan keinginan anda untuk menambah had kredit limit kad supaya semuanya jelas dan prosesnya mudah. Anda perlu mengisi borang permohonan dan sediakan dokumen yang diperlukan. 

Antara dokumen yang diperlukan adalah borang cukai, penyata pendapatan, borang EA, slip gaji, penyata KWSP dan lain-lain lagi. Anda juga boleh emel atau faks dokumen yang diperlukan namun ia tetap akan memakan masa. 

Untuk memproses permohonan ini juga, ia tetap akan memakan sedikit masa. Bank akan memproses permohonan anda seterusnya memberikan jawapan kepada anda. Boleh jadi bank akan luluskan atau menolak.

Cara Naikkan Had Kad Kredit Melalui Panggilan

Selain ke cawangan, anda boleh menambah had kad kredit melalui pusat panggilan perkhidmatan pelanggan bank. Kita boleh menghubungi pegawai khidmat pelanggan bank yang bertugas di bahagian kad kredit.

Maklumkan kepada mereka bahawa kita ingin menambah had kad kredit tersebut. Sudah pasti pihak bank akan bertanya soalan pengesahan, soalan berkaitan had kredit yang ingin ditambah dan lain-lain lagi. Ikut arahan pegawai bank seperti biasa dalam tempoh panggilan. 

Setelah selesai semuanya, ia akan memakan masa selama 30 hari bagi proses tambah had kad kredit. Tunggu sahaja, yang penting semua urusan sudah siap.

Cara Naikkan Had Kad Kredit Secara ‘Online’

Jika anda sibuk, anda boleh pilih untuk menaikkan had kad kredit secara atas talian melalui laman web sah bank yang berkenaan.

Masukkan nama dan kata laluan, kemudian pilih bahagian ‘Cards’ dan klik ‘Increase Credit Limit option’

Sebagai contoh: laman web Maybank2u

Boleh juga terus muat turun borang yang diperlukan, contohnya: Borang Peningkatan Had Kredit (Bahasa Malaysia) Kemudian isi dan sertakan semua dokumen yang diperlukan.

Cara ini merupakan cara paling senang untuk menaikkan had kad kredit. Semak dengan laman web sah bank kad kredit anda.

Cara Naikkan Had Kad Kredit Melalui Kemas Kini Rekod 

Cara tambah had kad kredit juga adalah dengan mengemas kini rekod profil kita di bank. Sebagai contoh, jika kita mempunyai kenaikan gaji, komisen, pertukaran kerja baharu dan lain-lain lagi, kita perlu kemas kini semua maklumat ini dengan pihak bank.

Tambah had kad kredit pasti memerlukan masa, tetapi ia lebih baik berbanding anda menukar kad kredit yang baru. Anda sudah terbiasa gunakan kad kredit sebelum ini, dengan jumlah transaksi yang banyak memberikan kelebihan kepada anda. Tak perlu memohon kad kredit baharu walaupun bank mungkin tawarkan kepada anda.

Rekod pendapatan yang telah dikemas kini akan membantu anda dalam urusan perbankan seperti menaikkan had kad kredit dengan lebih mudah.

Proses Tambah Had Kad Kredit Selesai

Proses mungkin mengambil masa sebulan atau beberapa minggu untuk had bertukar. Rancang penggunaan kad kredit dengan bijak sementara menunggu had kad kredit anda bertambah.

Semoga sedikit sebanyak tips yang dikongsikan dapat membantu anda dalam menaikkan had kredit limit kad dengan mudah. Semoga bermanfaat.

Rujukan: carasemak

Previous ArticleNext Article

Maybank Mengendalikan Lebih RM4 Trilion Transaksi Digital Sejak 2020, Bersamaan Dua Kali Ganda KDNK Malaysia

Maybank, kumpulan perkhidmatan kewangan terkemuka Malaysia, hari ini menegaskan  semula komitmennya untuk menyokong penerimaan perbankan digital negara. Sejak pelancaran aplikasi MAE pada tahun 2020, Maybank telah mengendalikan lebih RM4 trilion transaksi digital dalam tempoh lima tahun, iaitu bersamaan dua kali ganda KDNK negara. Maybank terus memacu usaha rangkuman kewangan dan keterhubungan digital di Malaysia serta di seluruh ASEAN.

Aplikasi MAE menawarkan rangkaian menyeluruh ciri perbankan dan gaya hidup, sekali gus menjadikannya aplikasi perbankan mudah alih pilihan utama rakyat Malaysia bagi urusan  kewangan harian. Maybank terus menerajui perbankan digital, menduduki tempat pertama di Malaysia dari segi bilangan dan nilai transaksi merentasi perkhidmatan utama PayNet, termasuk pemindahan DuitNow dan pembayaran QR, FPX serta JomPAY.


Taufik Albar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Maybank berkata bahawa inovasi digital sentiasa menjadi teras strategi Kumpulan Maybank. “Dari tahun ke tahun, kami terus menambah baik aplikasi MAE sehingga menjadi aplikasi gaya hidup kewangan bersepadu yang memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, disamping membantu mereka melakukan transaksi harian dengan lebih lancar, selamat dan diperibadikan.”


“Sejak pelancaran aplikasi MAE, kami telah menyaksikan pertumbuhan yang menggalakkan dalam penerimaan perbankan digital, menonjolkan relevansi dan kepercayaan pelanggan terhadap aplikasi ini. Hari ini, kami berbangga dapat berkhidmat kepada 10.7 juta pengguna MAE, dengan 48% penguasaan pasaran bagi bilangan transaksi perbankan mudah alih di Malaysia. Seiring dengan penambahbaikan berterusan aplikasi MAE, focus kami kekal untuk membentuk pengalaman perbankan digital masa hadapan yang dibina berasaskan kehidupan pelanggan,” katanya.

Sebagai bank pertama di negara ini yang memperkenalkan pembayaran QR pada tahun 2017, Maybank terus menerajui  transformasi tanpa tunai, memperkasakan individu dan perniagaan untuk menghantar serta menerima pembayaran serta-merta melalui Imbas & Bayar Maybank tanpa caj transaksi. Jumlah keseluruhan transaksi Imbas & Bayar yang dilakukan melalui aplikasi MAE telah meningkat 51 kali ganda setakat Ogos 2025 berbanding dengan tahun 2020. Pada tahun 2024 sahaja, Maybank mencatatkan peningkatan 26% dalam pendaftaran pedagang baharu, sekali gus meluaskan penerimaan kepada lebih banyak premis makanan dan peruncit di seluruh negara.


Giorgio Migliarina, Ketua Pegawai Teknologi dan Digital Kumpulan, Maybank berkata bahawa aplikasi MAE mewakili visi Maybank untuk membina ekosistem digital yang lebih pintar dan inklusif, sekali gus memperkasakan pelanggan untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih yakin, mudah dan terkawal. “Aplikasi MAE telah mentakrif semula perbankan harian dengan menggabungkan ciri gaya hidup dan kewangan dalam satu aplikasi. Aplikasi ini turut memperkasakan rakyat Malaysia dalam mengurus matlamat kewangan mereka, membolehkan pelanggan mewujudkan hampir lapan juta Tabung, dalam memperkukuh tabiat simpanan dan perancangan kewangan jangka panjang.”


“Sembilan daripada setiap 10 pelanggan MAE Wallet menggunakan aplikasi ini secara aktif untuk urusan harian, dengan ramai yang menekankan faktor keselamatan dan sekuriti kukuh sebagai faktor utama. Kepercayaan ini mendorong kami untuk terus menambah baik aplikasi MAE agar dapat menawarkan lebih banyak nilai dan perlindungan kepada pelanggan,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan pelanggan yang memilih untuk menguruskan simpanan dan perbelanjaan mereka secara berasingan, MAE Wallet menawarkan fleksibiliti dan kemudahan dengan had sehingga RM10,000. Menawarkan tahap keselamatan yang setara dengan akaun simpanan dan akaun semasa Maybank, MAE Wallet memberikan keyakinan dan ketenangan  kepada pengguna dalam setiap transaksi.


Sempena ulang tahun kelima MAE, Maybank meraikan pencapaian ini dengan memberi ganjaran kepada pelanggan setia melalui kempen ‘MAE Turns 5’. Dari 30 Oktober 2025 hingga 31 Januari 2026, pelanggan boleh menikmati pulangan 5% setahun apabila mendepositkan minimum RM200 ke dalam MAE Wallet. Untuk menikmati pulangan tersebut yang dikira secara harian, pelanggan hanya perlu mendepositkan dana dan memasukkan rujukan penerima ‘MAETurns5’ sebelum 30 November 2025, serta mengekalkan jumlah tersebut dalam MAE Wallet mereka sehingga tamat kempen.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen MAE Turns 5, sila layari maybank.my/MAETurns5.