Abang Johari Nafi Anaknya Mahu Ambil Alih MYAirline

KUCHING, 12 Okt (Bernama) – Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menafikan laporan sebuah akhbar yang mengaitkan anaknya, Abang Abdillah Izzarim, sebagai bakal pelabur baharu MyAirline Sdn Bhd (MYAirline).

Syarikat penerbangan tersebut pada pagi ini telah memaklumkan untuk menggantung operasinya berikutan mengalami masalah kewangan.

Bercakap kepada pemberita di sini, Abang Johari berkata spekulasi yang dibuat oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris itu berkemungkinan timbul ekoran kehadiran Abang Abdillah pada satu sesi dialog syarikat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Tak…(sebenarnya) apa yang berlaku ialah anak saya ke sana bersama kawannya dan beliau pada waktu itu ada dialog syarikat. Oleh itu, mereka (media) membuat spekulasi itu setelah nampak kehadirannya.

“Anak saya jadi serba salah. Hendak berjalan (bergerak) pun susah, semua (pergerakannya) diperhatikan orang. Bagi saya, ini tidak adil,” kata beliau.

Pada masa sama, Abang Johari turut menyangkal spekulasi mengenai kemungkinan MYAirline menjadi sebuah syarikat penerbangan milik Sarawak.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri itu masih menumpukan usaha rundingan bagi pengambilalihan MASWings yang juga anak syarikat Malaysia Airlines Berhad.

“Kita fokus dengan (pengambilalihan) MASWings. Usaha itu sedang dalam proses perbincangan sekarang…ianya lebih kepada perincian butiran. Hanya itu saja,” kata beliau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pusat Perubatan Subang Jaya Tersenarai Dalam 250 Hospital Terbaik Di Dunia Dan 10 Terbaik Serantau Dalam Penarafan Newsweek 2026

Subang Jaya – Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) telah diiktiraf sebagai antara 250 hospital terbaik di peringkat global dan 10 terbaik di peringkat serantau dalam senarai World’s Best Hospitals 2026 oleh Newsweek, meletakkan institusi ini dalam kelompok hospital terkemuka di seluruh dunia. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen SJMC terhadap piawaian antarabangsa dalam penjagaan klinikal dan hasil rawatan pesakit, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara 3 hospital swasta terbaik di Malaysia bagi tiga tahun berturut-turut.

Bryan Lin, Ketua Pegawai Eksekutif SJMC dan Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Asia OneHealthcare, menyatakan bahawa pencapaian ini hasil usaha kolektif pasukan klinikal dan pengendalian institusi tersebut. “Pengiktirafan sebagai antara 250 Hospital Terbaik Dunia versi Newsweek merupakan suatu detik kebanggaan bagi seluruh warga SJMC. Ia melambangkan kepercayaan yang diberikan oleh pesakit kepada kami, serta dedikasi para doktor, jururawat, dan profesional kesihatan yang bekerja tanpa jemu dalam menyampaikan kepakaran bertaraf dunia setiap hari.”

“Pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian tunggal. Ia melambangkan bertahun-tahun pembinaan asas klinikal yang kukuh, pelaburan dalam teknologi canggih, serta pemupukan budaya yang meletakkan pesakit sebagai teras bagi setiap keputusan,” beliau menambah.

Penarafan tahunan oleh Newsweek, yang dijalankan dengan kerjasama firma penyelidikan data global Statista, menilai lebih daripada 2,500 hospital di 32 buah negara. Penilaian ini berlandaskan cadangan daripada pakar perubatan di seluruh dunia, data pengalaman pesakit, metrik kualiti hospital, serta penilaian Ukuran Hasil Dilaporkan Pesakit (PROMs) oleh Statista.

Penyenaraian SJMC dalam senarai 250 Terbaik 2026 ini merupakan kesinambungan daripada pelbagai anugerah antarabangsa yang diterima dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mencerminkan prestasi yang konsisten merentasi pelbagai bidang kepakaran dan kualiti perkhidmatan. Hospital ini turut tersenarai dalam Senarai Hospital Swasta Terbaik di Asiaoleh Newsweek dan menduduki tempat pertama di Asia bagi Pembedahan dan Penggantian Pinggul bagi dua tahun berturut-turut. SJMC juga mengekalkan kedudukannya sebagai hospital Malaysia yang paling banyak tersenarai dalam penarafan Asia Pasifik 2025 oleh Newsweek.

Pengiktirafan global ini turut disusuli pengendorsan SJMC sebagai salah satu daripada hanya empat Program Hospital Pelancongan Perubatan 2025 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, menegaskan peranan hospital ini sebagai wakil Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa. Sejajar dengan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026, SJMC terus menyumbang kepada reputasi negara sebagai destinasi pilihan untuk rawatan dan pemulihan perubatan berkualiti tinggi. Hospital ini menerima pesakit dari seluruh rantau Asia Pasifik dan rantau lain, disokong oleh kepakaran pelbagai disiplin serta penjagaan yang komprehensif.

Melengkapi pencapaian-pencapaian tersebut, SJMC terus menegakkan piawaian kualiti dan keselamatan yang ketat. SJMC merupakan hospital pertama di Asia Pasifik yang memperoleh empat pensijilan Pusat Kecemerlangan daripada Australian Council on Healthcare Standards International (ACHSI) dalam bidang Onkologi, Kardiologi, Gastroenterologi dan perkhidmatan Pediatrik, di samping tiga akreditasi Joint Commission International (JCI) dan enam akreditasi Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

Bryan Lin menambah, “Sebagai sebuah hospital Malaysia yang diiktiraf di platform global, kami memandang ini sebagai satu penghormatan dan juga tanggungjawab. Kami akan terus mengukuhkan perkhidmatan-perkhidmatan pakar kami, termasuk membina pasukan neurologi dan neurosurgeri pelbagai disiplin yang berpengalaman tinggi bagi memajukan perkhidmatan rawatan otak kompleks dan memastikan pesakit menerima rawatan yang selaras dengan penanda aras global.”

Dengan pengalaman melebihi empat dekad, SJMC kekal komited untuk mengembangkan kecemerlangan perubatan dan memajukan inovasi bagi terus meningkatkan penjagaan berpusatkan individu, sambil menyokong matlamat penjagaan kesihatan negara. Untuk maklumat lanjut, sila layari  https://subangjayamedicalcentre.com/