Audi Lancar Kenderaan Elektrik 3 Motor, Pertama Dijual Di Malaysia

SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron berprestasi tinggi sertai rangkaian model Audi e-tron elektrik sepenuhnya

● Varian berkuasa tinggi untuk pengalaman pemanduan lebih mengujakan menerusi teknologi Audi yang efisien dan dinamik
● Kenderaan elektrik dengan 3 motor yang pertama dijual di Malaysia, menjana kuasa sehingga 503PS dan tork 973Nm
● Ruang dalaman “S” dan kemasan luaran tersendiri yang menyerlahkan siluet serta penampilan lebih garang

Petaling Jaya, 17 Januari 2024 – PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mengumumkan penambahan dua model baharu ke dalam rangkaian kenderaan elektrik sepenuhnya iaitu Audi e-tron – SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron.

Dua model berprestasi tinggi baharu di dalam rangkaian eletrik SUV dan crossover Audi Q8 e-tron itu ditawarkan pada harga bermula RM519,990.00 untuk SQ8 e-tron dan bermula RM529,990.00 bagi varian SQ8 Sportback e-tron.

“e-tron merupakan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) pertama Audi dengan Q8 e-tron menjadi model flagship,” kata Pengarah Urusan PHSAM, Denyu Bostandzhiev.

“Dengan kehadiran SQ8 e-tron baharu melalui rekaan klasik SUV dan rekaan Sportback yang lebih sporty, kami kini menawarkan varian Q8 e-tron berkuasa tinggi untuk mereka yang mahukan pengalaman pemanduan lebih mengujakan bersama teknologi Audi yang dinamik serta efisien. Keluarga model Q8 e-tron and e-tron GT telah dilancarkan di Malaysia pada Jun tahun lalu dan menerima maklum balas positif.”

“Selain sistem pacuan semua roda quattro elektrik yang menjadi signatur Audi, kedua-dua model ini juga dilengkapi tiga unit motor, sekali gus menjadi model EV pertama di Malaysia yang mempunyai rangkaian kuasa dengan 3 motor. Seterusnya membuktikan kecanggihan teknologi autmotif Audi,” kata Bostandzhiev.

Rekaan keseluruhan SQ8 dalam bentuk SUV dan Sportback memberi penekanan terhadap prestasi lebih baik, terima kasih kepada kemasan “S”. Rekaan bampar yang lebar kini lebih ekspresif, manakala panel arca roda dengan aliran udara telah dioptimumkan itu memberikan imej lebih maskular. Bahagian belakang diserlahkan dengan peresap udara aerodinamik dan lampu LED yang memberikan gayaan tersendiri pada waktu malam.

Gril Singleframe yang menjadi signatur Audi (dengan lampu projektor) diserlahkan lagi dengan lampu utama jenis Digital Matrix LED. Unit-unit lampu yang canggih ini mempunyai sekitar 1.3 juta cermin mikro yang boleh disudutkan secara individu sehingga 5,000 kali sesaat. Bergantung kepada tetapan, lampu LED dan liputan cahaya sentiasa berubah untuk mengoptimumkan aspek pencahayaan dan mengambil kira keselesaan pengguna jalan raya yang lain.

Pereka Audi adalah perintis dalam membentuk badan untuk kecekapan aerodinamik terbaik. Hasilnya, SQ8 e-tron mampu menurunkan tahap pekali seretan (Cd) di antara 0.24 dan 0.27 (bergantung kepada rekaan bentuk badan kenderaan).

Dimensi model-model SQ8 e-tron serupa dengan Q8 e-tron, tetapi oleh kerana rekaan badan kereta dan estetik lebih berorientasikan kepada sporty, model-model SQ8 e-tron adalah 2mm lebih rendah dan 40mm lebih lebar. Tapak rodanya adalah sama iaitu 2,928mm yang menjanjikan keselasaan dalaman, terutamanya ruang kaki besar dan but yang luas. SQ8 e-tron menawarkan ruang penyimpanan barang sehingga 569 liter, manakala Sportback mempunyai ruang but seluas 528 liter.

Ciri-ciri lain pada bahagian luaran ialah angkup brek berwarna merah, perumah cermin sisi gentian karbon, rel bumbung hitam dan kemasan hitam lain untuk pakej plus. Rim aloi Audi Sport lima jejari dengan gayaan ‘Interferenz’ bersaiz 22 inci berwarna kelabu (Titanium Gray) dan rekaan diamond-turned hadir sebagai ciri standard.

Tiga Unit Motor Elektrik

SQ8 e-tron hadir dengan tiga unit motor tak segerak (asynchronous), dua unit dipasang pada gandar belakang untuk menggerakkan setiap roda secara berasingan. Ini menjadikannya model keluaran massa pertama Audi yang menggunakan tiga motor.

Gandar hadapan dipacu oleh motor elektrik dengan kuasa puncak 124 kW (1 kW = 1.36 PS). Pada gandar belakang pula, dua unit motor elektrik menjana kuasa 98kW secara berasingan. Dalam mode boost, motor hadapan menghasilkan kuasa mencecah 157 kW, manakala dua motor di belakang mampu menjana sehingga 138kW setiap satunya. Ini membolehkannya menjana kuasa mencecahi 433kW, tetapi output kuasa keseluruhan sistem tersebut dihadkan kepada 370kW menerusi pek bateri 114 kWh.

Di samping pecutan seperti sebuah kereta sport iaitu 0 ke 100km/j dalam masa 4.5 saat dan pecutan maksimum 210km/j, rangkaian kuasa 3 motor itu turut meningkatkan pengendalian di laluan bengkang-bengkok. Memandangkan dua unit motor pada gandar belakang tidak bersambung dan menggerakkan setiap roda secara berasingan, jadi kuasa tork yang tepat dan pelbagai boleh disalurkan kepada roda-roda berkenaan.

Apabila dipandu secara santai, hanya sejumlah kecil kuasa akan digunakan. Motor elektrik di bahagian belakang lebih banyak digunakan untuk memandu kenderaan dalam kondisi harian biasa. Apabila lebih banyak kuasa diperlukan, kuasa tork disalurkan ke kedua-dua gandar, maka SQ8 e-tron boleh menawarkan karakteristik quattro lagenda, dipertingkatkan oleh vektor tork elektrik.

Pengecasan Yang Pantas Dan Efisien

Sistem elektrikal yang canggih pada SQ8 e-tron boleh mengendali bekalan pengecasan sehingga 170 kW di poin pengecasan DC untuk tempoh pengecasan yang lebih singkat. Tempoh pengecasan di poin pengecas pantas DC boleh sepantas 31 minit daripada 10% ke 80% (SoC). Julat WLTP ialah sehingga 471km untuk SQ8 e-tron Sportback dan 458km bagi SQ8 e-tron.

Soket pengecasan juga boleh menerima 3 mode pengecasan AC standard yang menggunakan Wallbox di rumah atau stesen pengecasan awam. Dengan pengecasan AC, masa yang diperlukan adalah sekitar 9.15 jam hingga 11.30 jam, bergantung kepada bekalan kuasa elektrik. Terdapat juga pengecas on-board yang membolehkan jentera ini dicaj sehingga 22kW daripada pengecas AC.

Bagi memudahkan pengguna, SQ8 e-tron mempunyai soket pengecasan tambahan di sebelah sisi kenderaan. Ini akan membuatkannya lebih mudah untuk disambungkan di mana-mana stesen pengecasan di tepi jalan. Pemandu juga boleh mengawal jadual pengecasan melalui Audi Multi Media Interface (Audi MMI) di dalam kereta.

Dalam 90% dalam semua situasi membrek, SQ8 e-tron tidak akan menggunakan brek cakeranya. Sebaliknya, dengan konsep penjanaan semula pintar, sistem SQ8 e-tron pulih kembali melalui motor elektrik sahaja, tanpa memerlukan brek konvensional yang berfungsi sebagai generator, menukar tenaga kinetik kepada tenaga elektrik yang kemudian disimpan dalam bateri.

Platform MEB Evo

Platform chasis elektronik MEB Evo pada SQ8 e-tron mempunyai suspensi udara adaptif sport dengan kawalan redaman untuk roda depan dan belakang. Berupaya mengadaptasi kondisi jalan yang berbeza dengan tepat secara berterusan, aspek keselesaan dan kestabilan dapat dikekalkan sepanjang masa.
Ketinggian juga melarasa secara automatik sehingga lebih 76mm. Di atas lebuh raya, kenderaan boleh direndahkan sebanyak 26mm untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik dan kestabilan. Apabila memandu di atas permukaan jalan yang lebih kasar (menggunakan mode Offroad), jarak kelegaan tanah akan ditingkatkan dari 35mm kepada 50mm.

Walaupun ia sebuah SUV, SQ8 e-tron mempunyai titik graviti yang rendah setanding dengan sedan. Aspek ini dibantu oleh kedudukan sistem bateri yang diletakkan di lantai di antara gandar, ia juga membuatkan agihan berat gandar hampir optimum iaitu 50:50.

Kabin yang ‘sporty‘ dan mewah

SQ8 e-tron mempunyai kabin seperti model-model mewah Audi yang lain. Bagi mengekalkan imej yang lebih sporty, tempat duduk hadapan dibalut dengan kulit Valcona bersama logo “S”.
Kombinasi material kulit pada bahagian atas papan pemuka serta kemasan karbon dan aluminium di ruang bawahnya menyerlahkan imej mewah dan berteknologi tinggi. Ruang itu dipertingkatkan lagi dengan ciri Ambient Lighting Package plus serta lampu LED pada pintu hadapan dan belakang.

Sistem kawalan suhu 4 zon memastikan agihan udara segar dan sejuk ke semua penjuru kabin. Sistem itu turut dilengkapi ionizer udara dengan ciri aromatik yang boleh diubah suai oleh penumpang bagi mendapatkan kualiti udara terbaik.

Audi Virtual Cockpit kini lebih berorientasikan kepada pemandu apabila panel instrumen diintegrasikan dengan papan pemuka dan paparan yang kemas. Paparan Head-Up Display menjadi satu ciri standard untuk meningkatkan keselamatan ketika memandu. Selain dua paparan sentuh MMI yang diposisikan ke arah pemandu, terdapat juga butang operasi berwarna hitam berkilat dengan maklum balas haptik.

Paparan antara muka telefon pintar membolehkan integrasi dengan kebanyakan peranti iOS dan Android, lengkap bersama Audi MMI untuk mengawal ciri-ciri seperti navigasi, muzik dan aplikasi-aplikasi terpilih.
Audio sistem premium Bang & Olufsen dengan 3D membolehkan anda alami muzik seperti yang dirakam, dengan dimensi bunyi keliling. Sistem ini mempunyai satu unit amplifier yang efisen untuk memacu 16 unit pembesar suara berkapasiti 705 watts.

Selain rekaan ruang yang progresif dan elegan, kabin SQ8 e-tron juga menunjukkan komitmen Audi ke atas aspek kelestarian apabila menggunakan banyak material mesra alam. Banyak komponen berkaitan keselamatan yang digunakan seperti pelindung plastik tali pinggang keledar dihasilkan daripada gabungan plastik buangan automotif.

Aspek Keselamatan Terbaik

Selari dengan falsafah jenama, badan SQ8 e-tron dibina daripada gabungan besi/aluminium yang mengimbangi berat kenderaan elektrik bersaiz sebegini bersama pek bateri berkuasa tinggi. Malah, pek bateri dan badan itu membentuk satu struktur hibrid yang 45 peratus lebih kukuh berbanding SUV dengan enjin pembakaran dalaman. Binaan ini kemudian menawarkan kualiti pengendalian lebih baik dan senyap.


SQ8 e-tron memiliki rangkaian sistem keselamatan pasif dan aktif yang merangkumi kawalan jelajah adaptif, amaran penukaran lorong, bantuan membelok dan melencong, serta bantuan lintasan trafik depan dan belakang.

Ciri keselamatan standard yang lain termasuk sistem beg udara SRS di sisi dan belakang, pakej keselamatan kanak-kanak dengan cagak tempat duduk ISOFIX, top tether dan sistem pemantauan tekanan tayar. Bagi memudahkan urusan parkir, SQ8 e-tron dilengkapi pakej Park Assist bersama ciri park assist plus yang membantu mengesan ruang parkir yang kosong, kemudian memarkir kenderaan tanpa memerlukan input stereng daripada pemandu.

Pilihan Warna Dan Jaminan

SQ8 e-tron didatangkan dalam pilihan warna yang luas termasuklah kelabu (Magnet Gray), biru (Ultra Blue), kelabu (Chronos Gray), hitam (Mythos Black), biru (Plasma Blue), kelabu (Daytona Gray) dan putih (Glacier White).

Kedua-dua varian SQ8 e-tron boleh dibeli bersama pilihan Audi Assurance Package (AAP) yang menawarkan jaminan lanjutan kenderaan sehingga 5 tahun dengan penyelenggaraan berjadual secara percuma untuk 3 tahun pertama dan bantuan tepi jalan percuma bagi 5 tahun pertama. Sistem bateri pula dilindungi secara berasingan menerusi jaminan selama 8 tahun atau perbatuan sejauh 160,000 km. Semua jaminan ini tertakluk kepada terma dan syarat.

Untuk maklumat lanjut mengenai SQ8 e-tron dan model-model lain dalam rangkaian e-tron, sila kunjungi bilik pameran terdekat Audi atau layari laman web www.audi.com.my.

Previous ArticleNext Article

Kad Visa Touch ‘n Go: Berbaloikah Guna?

Kad Visa Touch ‘n Go eWallet kini antara kad prabayar di Malaysia yang boleh digunakan di mana-mana terminal Visa seluruh dunia. Ia bukan sekadar kad untuk beli barang, tapi juga boleh keluarkan tunai di mesin ATM bila perlu. Menurut sumber rasmi, Touch ‘n Go Visa Prepaid Card dilancarkan secara rasmi kepada pengguna umum pada 18 Januari 2023.

Apa Itu Kad Visa Touch ‘n Go?
Kad ini ialah kad prabayar (prepaid card) yang menggunakan baki sedia ada dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet. Ia berfungsi sama seperti kad debit tapi dana datang terus dari eWallet, bukan akaun bank. Maknanya, kalau baki eWallet anda ada RM800, maka itulah had sebenar anda untuk berbelanja atau keluarkan tunai.

Kegunaan Kad Visa Touch ‘n Go

Pembelian di kedai & restoran : boleh digunakan di mana-mana terminal dengan logo Visa, sama seperti kad debit biasa.

Transaksi luar talian (offline) : boleh “tap” menggunakan fungsi PayWave di kedai yang menyokong Visa contactless.

Pengeluaran tunai di ATM : guna mana-mana ATM yang ada logo Visa dengan caj RM1.40 (dalam Malaysia) atau RM10 (luar negara).

Tol & parking : hanya berfungsi di lokasi tertentu yang menyokong integrasi eWallet, bukan semua tol. Untuk laluan tol yang masih menggunakan kad fizikal, pengguna perlu kekal guna kad Touch ‘n Go biasa.

Transaksi rentas sempadan — boleh digunakan untuk pembelian di luar negara (Visa global acceptance) dan caj rentas sempadan buat masa ini dikecualikan oleh TNG Digital.

Caj & Yuran Terkini

Berdasarkan Product Disclosure Sheet (Julai 2025) oleh TNG Digital:

  • Yuran permohonan kad: RM15 (termasuk pos)
  • Yuran tahunan: RM8 (percuma tahun pertama)
  • Caj ganti kad: RM15
  • Pengeluaran ATM tempatan: RM1.40
  • Pengeluaran ATM luar negara: RM10
  • Transaksi rentas sempadan: Dikecualikan (buat masa ini)

Had Pengeluaran & Transaksi

  • Maksimum 5 transaksi pengeluaran sehari
  • Had pengeluaran: RM5,000 sehari
  • Transaksi PayWave: maksimum RM1,250 sehari
  • Transaksi PIN: maksimum RM5,000 sehari

Ingat, semua had ini bergantung kepada baki eWallet Touch ‘n Go anda dan bukan baki akaun bank.

Jadi… Berbaloikah caj RM1.40 tu?
Kalau nak dibanding dengan kad bank, memang ada bank yang kenakan caj RM1.00 atau percuma bila guna ATM dari bank sendiri. Tapi konteks kad prabayar eWallet berbeza.

1. Boleh guna di mana-mana ATM Visa selagi ATM ada logo Visa, boleh guna termasuk luar negara.
2. Mudah kawal bajet debab boleh hadkan baki eWallet.
3. Sangat berguna dalam kecemasan bila dompet hilang atau kad debit bank tak boleh guna.
4. Alternatif kad bank untuk pelajar sekolah (layak dari umur 12 tahun + perlu eKYC dalam app), pelajar universiti dan freelancer — mudah daftar dan kawal melalui aplikasi.

Untuk makluman baki ewallet tidak dilindungi PIDM. PIDM hanya melindungi deposit bank (hingga RM250,000 per pendeposit, per bank) bukan e-wallet.

Bila Tak Sesuai Guna?

  • Kalau selalu keluarkan tunai, caj RM1.40 boleh jadi membebankan.
  • Kalau dah ada kad debit bank dengan ATM percuma, fungsi kad ni mungkin sekadar “backup”.

Untuk Kaki Travel: Kenapa Kad Ini Padu?

1) Kad “basic” menawarkan pulangan tunai sehingga 1% untuk transaksi luar negara, manakala kad “travel” terbaharu memberi ganjaran lebih tinggi, sehingga 3% apabila digunakan di luar negara.

2)Boleh diguna meluas di mana-mana terminal Visa. Ini memudahkan bayaran di kedai, restoran, hotel dan lain-lain. Ramai tanya boleh ke guna kad Visa ini di MRT Singapura? Bila baca dekat laman web operator MRT Singapore, mereka terima kad Visa contactless.
Namun, pihak Touch ’n Go belum mengesahkan sokongan rasmi untuk kad ini, jadi penggunaan di MRT/Transit Singapura tidak dijamin berfungsi 100%. Sebaiknya bawa EZ-Link atau kad Visa bank lain sebagai sandaran semasa travel.

3) Caj pengeluaran ATM luar negara yang jelas: RM10 per transaksi — praktikal untuk ‘emergency cash’.

4) Transaksi rentas sempadan kini dikecualikan caj (buat masa ini) — membantu kawal kos ketika swipe di luar negara.

5) Bajet terkawal sebab ia kad prabayar — anda hanya belanja setakat baki eWallet, sesuai untuk elak overspend semasa travel.

Tips Guna Kad Visa Touch ‘n Go Dengan Bijak

  • Aktifkan fungsi Lock Card bila tak digunakan.
  • Jangan guna WiFi awam bila log masuk aplikasi.
  • Simpan hotline TNG: +603-5022 3888 untuk sekat kad segera jika hilang.
  • Pastikan baki eWallet mencukupi sebelum guna kad visa ini di luar negara.

Kalau guna kad visa ini sebagai pelengkap eWallet dan penyelamat masa kecemasan, maka memang berbaloi. Namun kalau setiap minggu nak keluarkan duit tunai, lebih baik guna kad debit bank biasa.