BMW Group Malaysia Bincang Dengan Entiti Kerajaan Berkaitan Pemasangan EV


KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) — BMW Group Malaysia kini sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan dan rakan kongsi tempatan dalam rancangannya untuk memasang unit kenderaan elektrik (EV) di Malaysia seiring dengan pengecualian cukai untuk pemilik EV sehingga akhir 2025.

Bagaimanapun, Naib Presiden Kanan Jualan BMW Group bagi Asia Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika, Jean-Philippe Parain berkata rancangan itu memerlukan perancangan jangka panjang untuk proses peralihannya.

“Berdasarkan pengalaman saya dengan BMW yang menjalankan perniagaan di beberapa negara, apabila kerajaan mengurangkan subsidi, pilihan EV turut dikurangkan.

“Sebagai contoh…Korea Selatan, sebaik sejurus subsidi dikurangkan di negara itu, bilangan orang memilih EV juga menurun dan keadaan itu juga boleh dilihat di Eropah,” katanya pada sidang media pada Sesi Perbincangan Meja Bulat Media Strategi Jenama BMW Group Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusannya Benjamin Nagel berkata syarikat itu kini bekerjasama dengan entiti kerajaan dan rakan kongsi tempatan untuk membincangkan kitar semula bateri EV.

Selain itu, BMW Group Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata syarikat itu telah menjual lebih 8,700 kenderaan pada suku ketiga tahun ini.

Jumlah itu termasuk lebih daripada 1,600 model elektrik sepenuhnya, membentuk lebih 19 peratus daripada jumlah penghantaran, katanya.

Di peringkat global, Kumpulan BMW juga telah mencatatkan pertumbuhan luar biasa dalam segmen kenderaan elektriknya walaupun dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

“Antara Januari dan September 2024, syarikat itu menyaksikan peningkatan 19.1 peratus dalam jualan kenderaan elektrik bateri (BEV) dengan lebih 300,000 unit dihantar kepada pelanggan di seluruh dunia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/