Loob Holding Sasar Perluas Rangkaian Tealive Ke Indonesia Menjelang Akhir Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) — Pemilik jenama teh gaya hidup Malaysia Tealive, Loob Holding Sdn Bhd berhasrat untuk menembusi pasaran Indonesia menjelang akhir tahun ini sekiranya berjaya mencapai sasaran sebanyak 100 cawangan Tealive di Filipina menjelang suku ketiga 2024.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Bryan Loo berkata syarikat itu telah membuka 57 cawangan Tealive di Filipina dan bercadang untuk membuka 43 lagi kedai di negara itu menjelang suku ketiga.

“Sekiranya kami berjaya mencapai sasaran dalam tempoh itu, kami akan berkembang ke pasaran Indonesia menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen mengukuhkan jenama Tealive dengan slogan baharu ‘Brewing Positivity’ di sini hari ini.

Mengenai rancangan pengembangan globalnya, Loo berkata syarikat itu telah bercadang untuk menembusi tiga pasaran baharu pada setiap tahun antaranya negara di Asia Tenggara.

“Apa yang menarik, setelah meneroka pasaran Asia Tenggara, kami menyedari bahawa tabiat dan selera makan (masyarakat di sini) adalah serupa, yang membantu kami mengembangkan pasaran kami di Filipina,” katanya.

Pada masa ini, Loob mempunyai lebih 1,000 cawangan Tealive di seluruh dunia, dengan lebih lima juta pengguna di Malaysia pada setiap bulan, dan turut beroperasi di Filipina, Vietnam, Myanmar, Australia, Kemboja, Brunei, Mauritius dan Kanada.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Jenama Continental: General Tire Secara Rasminya Dilancarkan di Malaysia

Kuala Lumpur, 1 Oktober 2025 – Continental Tyre Malaysia dengan bangganya mengumumkan pelancaran rasmi jenama General Tire di pasaran Malaysia. Dikenali dengan ketahanan dan prestasi yang boleh dipercayai, General Tire direka untuk memenuhi keperluan pemandu Asia merentasi kereta penumpang, SUV, MPV dan 4×4 pickups.

General Tire mempunyai warisan lebih 100 tahun dan menjadi sebahagian daripada Continental sejak tahun 1987 sebagai sub-jenama. General Tire menggabungkan legasi ketahanan serta kebolehpercayaan dengan teknologi Jerman terkini daripada Continental untuk menghasilkan tayar yang direka untuk prestasi tahan lama.

Fasa pertama rangkaian produk General Tire, khusus untuk pemandu Malaysia termasuklah:

Rangkaian ProdukCiri-ciriSaiz Tire
Altimax GC5Bunyi rendah, pemanduan selesa, dan penggunaan bahan api yang efisien14” –  15”
Altimax GS6Pemanduan senyap, cengkaman kukuh, jarak brek lebih pendek, dan jangka hayat tayar lebih lama15” – 19”
Grabber AT6Pemanduan di luar jalan raya yang mantap, dan bunyi rendah16” – 18”
Grabber HT6Keteguhan cengkaman brek di jalan basah, selesa, dan jangka hayat lebih lama 16” – 20”

Kesemua model ini merangkumi saiz tayar dari 14” hingga 20”, memenuhi keperluan pelbagai jenis kenderaan, daripada kereta penumpang sehinggalah SUV dan 4×4 pickups. General Tire mensasar untuk menghasilkan tayar yang boleh dipercayai oleh para pemandu, dengan prestasi yang cemerlang dan tahan lasak, sambil memastikan nilai yang berbaloi untuk pelanggan.

“Pelancaran General Tire di Malaysia menandakan langkah penting dalam menawarkan gabungan ketahanan, prestasi dan gaya dengan nilai harian yang tepat kepada pelanggan. Kami amat teruja untuk mengetengahkan jenama ini, yang disokong oleh kepakaran Jerman daripada Continental, kepada para pemandu yang mengutamakan prestasi dan keselamatan dalam setiap perjalanan,” kata Andrea Somorova, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia.

General Tire bukan sekadar tayar. Ia mengubah setiap pemanduan menjadi satu pengalaman baharu. Jenama ini menyasarkan pemandu yang menikmati kebebasan untuk meneroka, mencari pengembaraan tanpa batasan, dan bergantung kepada tayar yang boleh dipercayai.

Dengan rangkaian produk yang luas kini tersedia di Malaysia, General Tire berazam untuk mengembangkan kehadirannya ke seluruh negara, disokong oleh pemasaran yang menyeluruh dan bersepadu melalui platform digital serta rangkaian pengedar Continental.

Tayar-tayar ini boleh didapati melalui pengedar sah Continental di seluruh negara, serta melalui Kedai Rasmi Continental di Shopee, TNG eWallet, dan Lazada. Untuk maklumat lanjut mengenai General Tire dan ketersediaan produk, layari laman web kami https://www.generaltire-tyres.com/my/en/, dan ikuti kami di Facebook.