Al-’Aqar REIT Sasar Memperoleh Hartanah Akretif Daripada KPJ Healthcare

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Al-’Aqar Healthcare Real Estate Investment Trust (Al-’Aqar REIT) secara aktif sedang menyasarkan untuk memperoleh hartanah akretif hasil daripada KPJ Healthcare Bhd sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan asetnya.

Langkah yang dicadangkan itu akan dibiayai melalui gabungan terbitan unit dan tunai melalui pinjaman bank, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini . 

Al-‘Aqar REIT merancang memulakan penempatan persendirian bagi mengumpul dana untuk pembayaran balik pembiayaan selain menurunkan tahap penggearan serta persediaan pemerolehan masa depannya, dengan kelulusan resolusi daripada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-12.

“Langkah strategik ini dijangka akan meningkatkan portfolio Al-`Aqar, selain menyumbang ke arah mencapai nilai aset sebanyak RM3.0 bilion menjelang 2028,” katanya sambil menambah dana itu kini mempunyai nilai aset portfolio pada paras RM1.64 bilion.

“Pemerolehan ini juga ditetapkan untuk meningkatkan pendapatan masa depan dan pengagihan seunit Al-`Aqar,” tambahnya.

Pengerusi Damansara REIT Managers Sdn Bhd dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata Al-`Aqar bersedia mengembangkan jejaknya dalam industri REIT penjagaan kesihatan, memastikan kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang.

“Saya optimistik mengenai masa depan Al-`Aqar serta keupayaan kami untuk memenuhi janji pertumbuhan dan kestabilan kami,” katanya. 

Semasa AGM ke-12 hari ini, dana itu juga meluluskan resolusi mengenai cadangan untuk meningkatkan saiz dana sedia ada yang diluluskan Al-`Aqar daripada 839.6 juta unit kepada maksimum satu bilion unit berdasarkan cadangan untuk memperuntukkan dan mengeluarkan unit-unit baharu.

Damansara REIT Managers merupakan pengurus Al-‘Aqar REIT.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Sunway REIT Laksanakan Penjualan Aset Sunway Hotel Seberang Jaya Dengan Nilai RM60 Juta

Sunway City Kuala Lumpur, 28 Oktober 2025 – Sunway REIT Management Sdn. Bhd., pengurus kepada Sunway Real Estate Investment Trust (“Sunway REIT”), dengan sukacitanya mengumumkan bahawa RHB Trustees Berhad, pemegang amanah bagi Sunway REIT, telah menandatangani Perjanjian Jual dan Beli bersyarat (“SPA”) dengan Sunway Medical Centre Penang Sdn. Bhd. untuk cadangan pelupusan aset Sunway Hotel Seberang Jaya pada nilai pertimbangan RM60 juta (“Cadangan Pelupusan Aset”).

Sunway Hotel Seberang Jaya pada asalnya diperoleh pada tahun 2010 dengan harga RM52 juta, dengan tambahan RM15 juta telah dilaburkan sepanjang tempoh tersebut bagi inisiatif penambahbaikan aset. Nilai pelupusan aset ini mewakili premium sebanyak 9.1% berbanding nilai penilaian terkini, dan Sunway REIT dijangka akan merekodkan keuntungan pelupusan kira-kira RM4 juta (tidak termasuk kos sampingan pelupusan yang dianggarkan) selepas urus niaga ini selesai.

Cadangan Pelupusan Aset ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kitar semula modal strategik Sunway REIT yang bertujuan untuk mengoptimumkan kualiti portfolio dan mewujudkan nilai jangka panjang. Seiring dengan itu, Sunway REIT merancang untuk membangunkan hotel baharu Sunway Hotel Seberang Jaya yang akan disepadukan secara menyeluruh di atas bangunan sedia ada Sunway Carnival Mall. Hotel baharu ini dijangka dapat meningkatkan kemudahan untuk tetamu serta menarik lebih ramai pengunjung ke pusat beli-belah tersebut.

Pembangunan bersepadu ini akan menampilkan kemudahan yang dinaik taraf termasuk dewan serbaguna (ballroom) dan sambungan terus ke pusat beli-belah, menjadikannya lokasi kompetitif bagi acara Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (“MICE”) di tanah besar Pulau Pinang. Daripada melabur untuk menaik taraf hotel lama berusia 27 tahun itu, modal akan digunakan dengan lebih berkesan untuk pembinaan hotel baharu yang menawarkan pulangan lebih baik dan menjamin daya tahan aset pada masa hadapan.

Pelupusan aset ini, pada kadar pemodalan sebanyak 5.3% berdasarkan pendapatan bersih hartanah tahun 2024, membolehkan Sunway REIT menjana semula nilai aset pada kadar yang menarik serta melabur semula dalam pembangunan yang lebih sejajar secara strategik.

Ng Bee Lien, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif / Ketua Pegawai Kewangan Sunway REIT Management Sdn. Bhd., berkata:

“Cadangan Pelupusan Aset Sunway Hotel Seberang Jaya ini merupakan sebahagian daripada strategi pengimbangan semula portfolio kami secara proaktif untuk membuka nilai dan mengagihkan semula modal ke dalam aset masa hadapan. Dengan melabur dalam hotel baharu yang bersepadu di atas Sunway Carnival Mall, kami berhasrat untuk meningkatkan sinergi aset, memperkukuh pengalaman tetamu, dan menangkap permintaan yang lebih besar daripada segmen perniagaan dan MICE di tanah besar Pulau Pinang. Langkah ini menegaskan komitmen kami terhadap penciptaan nilai jangka panjang dan pertumbuhan mampan untuk para pemegang unit kami.”