Sime Darby Property Perkenal Logo Baharu, Mengukuhkan Legasi 50 Tahun Dalam Hartanah

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Sime Darby Property Bhd hari ini telah memperkenalkan logo baharu, mengesahkan peranannya sebagai peneraju dan pembina negara dengan rangkuman legasi lebih dari 50 tahun dalam pembangunan hartanah.

Pengerusi, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata pembaharuan jenamanya merupakan evolusi strategik untuk memastikan kumpulan terus memberikan nilai yang mampan kepada semua pihak berkepentingan.

Setiap langkah kumpulan dipandu dengan pertimbangan yang teliti agar kekal relevan, untuk mewujudkan impak yang bermakna dan menyumbang kepada pertumbuhan Malaysia dengan kaedah, dari kemampanan serta biodiversiti kepada perkongsian dan pengalaman pelanggan.

“Sebagai sebuah syarikat di bawah Permodalan Nasional Bhd (PNB), mandat kami sentiasa melangkaui prestasi perniagaan. Kami berkongsi visi PNB untuk pembangunan negara dan kemajuan sosial.

“Pembaharuan jenama ini mengasah tumpuan kami terhadap tanggungjawab itu, memperkuat peranan kami dalam membangunkan komuniti yang mampan, menyokong perniagaan tempatan serta mewujudkan peluang yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya semasa majlis pelancaran pembaharuan jenama itu di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Azmir Merican berkata jenama Sime Darby Property adalah janji yang dibina melalui penyampaian yang sudah sedekad sambil menonjolkan evolusi ini akan memantapkan bertapa relevannya penawaran kumpulan itu.

Beliau berkata dari Sime UEP Properties Bhd ke Sime Darby Property hari ini, legasi kumpulan itu sentiasa tertumpu kepada mewujudkan perbandaran yang berdaya tahan dan komuniti yang berkembang maju.

“Kami tidak cuba melupakan sejarah lampau kami dan kami tidak pinggirkan apa yang telah membawa kami sejauh ini.

“Pembaharuan jenama ini datang pada masa yang penting dalam perjalanan kami. Ia mencerminkan bukan hanya siapa kami pada hari ini tetapi arah strategik yang dicarta untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Pembangunan perindustrian dan logistik kumpulan seperti Bandar Elmina dan Bandar Bukit Raja, bukan sekadar bangunan sahaja memandangkan perkembangan ini juga membentuk koridor ekonomi dan menarik perniagaan global melalui perkongsian strategik.

“Seiringan itu, platform pengurusan pelaburan aset dan pelaburan kami sedang berkembang, dengan aset runcit, komersial termasuk perindustrian yang menyediakan pendapatan berulang serta kestabilan jangka panjang bagi melengkapkan perniagaan teras kami dan menyediakan kestabilan masa depan,” katanya.

Menurut Sime Darby Property, pembaharuan jenama itu juga mencerminkan keutamaan strategik kumpulan di bawah strategi SHIFT25, yang telah memasuki fasa terakhirnya.

“Ini termasuk mengukuhkan aliran pendapatan berulang dan meletakkan dirinya sebagai penyedia penyelesaian perbandaran. Hala tuju ini ini sudah dapat dilihat dalam portfolio perindustrian dan logistik serta kemasukannya ke segmen pusat data di Elmina Business Park,” katanya.

Dengan legasi yang merangkumi lebih dari 50 tahun dalam pembangunan hartanah serta lebih daripada 200 tahun melalui warisan Guthrie, Golden Hope dan Sime Darby, kumpulan itu telah lama memainkan peranan penentu dalam membentuk perbandaran dan komuniti Malaysia.

Bermula dengan projek perintis seperti Taman Melawati dan Subang Jaya ke perbandaran yang memenangi anugerah seperti Bukit Jelutong dan Bandar Elmina, Sime Darby Property telah menyampaikan lebih daripada 100,000 kediaman di 26 perbandaran aktif, hari ini berkhidmat kepada lebih dari 300,000 rakyat Malaysia.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

IOI Corp Lantik Bekas Pengerusi Bursa Malaysia Sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — IOI Corporation Bhd telah melantik bekas Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya, berkuat kuasa 5 Nov, 2025.

Kumpulan perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata Abdul Wahid menggantikan Tan Sri Peter Chin Fah Kui, yang bersara daripada lembaga pengarah hari ini.

Sebelum ini, Abdul Wahid berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank dari Mei 2008 hingga Jun 2013, selain Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam perancangan ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016.

Abdul Wahid turut berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd dari Ogos 2016 hingga Jun 2018 dan menamatkan tempoh lima tahun sebagai Pengerusi Bursa Malaysia pada 30 April 2025.

Ketika ini, Abdul Wahid merupakan Pengerusi Cypark Resources Bhd, Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia (WWF-Malaysia) dan Yayasan MySDG.
— BERNAMA