Bro, Bursa Malaysia Dengan Skim Cepat Kaya Pun Tak Tahu Beza?

Industri pasaran saham di Bursa Malaysia agak kurang dipromosi. Oleh kerana kurang­nya penyebaran ilmu pelaburan yang sah ini, maka ramai orang mudah terjebak dengan berbagai skim cepat kaya serta pelaburan yang tak sah.

Ini kami nak berkongsi sedikit ilmu bagi membezakan skim cepat kaya dengan skim pelaburan yang halal dan patuh syariah, supaya tiada lagi anak bangsa kita ni yang kena tipu. Kita kerja penat-penat kumpul duit, lepas tu duit lebur macam tu saja; diberi kepada penyangak-penyangak yang bermulut manis dan menjanjikan bulan bintang sebagai ganjaran.

Dalam masa tak sampai setahun, kita telah dikejutkan dengan kes penipuan skim cepat kaya seperti berikut:

  • 150,000 pelabur jadi mangsa skim pelaburan pajakan hotel di Makkah dengan anggaran kerugian mencecah RM450 juta (Islamic Hotel). Pautan berita di sini.
  • 23,259 pelabur jadi mangsa skim pelaburan forex dengan anggaran kerugian hampir RM80 juta (Venus FX). Pautan berita di sini.
  • 1,000 pelabur jadi mangsa skim tender dengan anggaran kerugian mencecah RM55 juta (bekal uniform penyamaran kepada Kementerian Pertahanan). Pautan berita di sini.
  • 2,400 pelabur jadi mangsa skim pelaburan emas dengan anggaran kerugian RM24 juta (emas delay bertopengkan koperasi)
  • 2,000 pelabur jadi mangsa skim pelaburan dengan anggaran kerugian RM20 juta (Cikgu A)

Hampir 200,000 Mangsa Dengan Kerugian RM600 Juta Lebih

Sebenarnya ada banyak lagi skim penipuan, tapi cukup lah setakat ini.

Nampak tidak betapa mudahnya rakyat Malaysia ni kena tipu? Kalau yang ditipu itu sedikit takpe, ini sampai hampir 200,000 orang kena tipu ni apa dah jadi? Lepas tu ada pulak yang kena tipu sampai RM1 juta seorang? Senang-senang je kan bagi duit kat orang tidak dikenali (walaupun kita percaya)?

Apa Ciri-ciri Skim Cepat Kaya?

  • Pulangan tinggi dan TETAP bagi setiap pelaburan
  • Pulangan selepas tarikh matang
  • Tak perlu jual produk
  • Perlu cari orang (downline)
  • Memberi jaminan TIADA risiko
  • Tiada akaun pemegang amanah (trustee account), tetapi bank-in terus ke akaun peribadi/syarikat
  • Menggunakan penglibatan orang yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan dalam masyarakat
  • Laman sesawang mereka direka khas untuk menyerupai perniagaan sah dan mungkin dilengkapi berita serta pautan ke laman sesawang kewangan yang lain
  • Kalau pelaburan emas, berlakunya penangguhan & tak dapat sekarang, tapi dapat pulangan bulanan secara tetap dahulu.
  • Kalau pelaburan online, biasa melibatkan peninggalan harta pusaka daripada orang asing, kena tebus dahulu dengan sedikit bayaran, baru dapan harta pusaka tersebut

If It Is Too Good to Be True…

Kalau nampak macam senang sangat nak dapat pulangan yang besar tanpa perlu berbuat apa-apa, kebarangkalian tinggi ianya merupakan skim cepat kaya. Cepat-cepatlah jauhkan diri anda dan keluarga daripada terlibat sama.

Sebelum Nak Melabur Tu, Semak Sini Dulu

Sila rujuk laman web Bank Negara Malaysia berkenaan Skim-Skim Haram atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia – Senarai Laman Web Yang Tidak Dibenarkan / Produk Pelaburan / Syarikat / Individu

Bagaimana Pula Dengan Pelaburan Saham di Bursa Malaysia?

Maskot Bursa Malaysia

Dalam suratkhabar (Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, New Straits Times) hari-hari ada berita tentang pasaran saham di Bursa Malaysia, beleklah segmen bisnes. Dekat TV pun ada.

Janganlah asyik baca berita gosip-gosip artis.

Oh ya, abang berdua yang kacak dalam gambar di atas berposing di bangunan Bursa Malaysia di Jalan Bukit Kewangan, Kuala Lumpur.

Kalau tengok TV atau pun baca surat khabar mesti akan pernah dengar tentang Bursa Malaysia. Bahasa jawanya “stock market”. Kalau yang tak pernah dengar tandanya dia duduk dalam gua.

Pernah dengar nama syarikat seperti Nestle, Tenaga Nasional, Telekom, Bank Islam, Takaful Malaysia, Padini, Bonia, Petron, Ajinomoto, Old Town, Sime Darby…eh banyak lagi la. Semua saham syarikat ni kita boleh jual beli.

Harga saham pula hari-hari keluar dalam suratkhabar macam BH ni.

Pelaburan saham adalah seperti unit trust yang ada di negara kita. Bezanya kita yang kawal sendiri pelaburan tersebut. Kita sendiri yang beli, kita sendiri yang jual. Tapi itu yang ramai orang tak faham. Jika anda baru dalam bidang ini jemput baca Basic Intro Kepada Pelaburan Saham di Bursa Malaysia.

Eh tahu tak dividen ASB korang tu datang dari mana? Dah baca artikel Dekat mana ASB melabur RM144 bilion duit kita? 

Tahu tak KWSP labur duit korang dekat mana? Dah baca artikel Dekat mana KWSP laburkan RM700 bilion duit kita?

Kesimpulannya nak kasitau yang duit kita dalam ASB dan KWSP juga dilaburkan dalam pasaran saham di Bursa Malaysia!

Baca juga : Kenali Industri-Industri Dalam Pasaran Saham Bursa Malaysia

Ada orang kata, pelaburan saham ni pun skim cepat kaya – betul ke? Pulak dah.

Rupa-rupanya lepas tersiarnya 2 artikel kami baru-baru ini ramai yang komen merapu. Kepada yang terlepas bas boleh baca 2 artikel berikut:

Biar betul untung 200% dalam masa 3 bulan je? Kalau tak percaya, klik link di atas.

Rugi Itu Pasti Dalam Pelaburan Saham

Tapi jangan dengar yang baik-baik dan yang indah-indah je, kena juga tahu pasal rugi dalam pelaburan saham:

Secara dasarnya, dalam perniagaan hebat macam mana sekalipun, kalau asyik untung je mesti tak logik. Mesti ada juga merasa rugi, walaupun sedikit.

Apa Lagi Kelebihan Pelaburan Saham di Bursa Malaysia?

Sebagai orang Islam, sudah tentunya kita hendak melabur dalam saham syarikat yang patuh syariah. Tapi siapa yang kata saham ni haram?

Kita ada Panel Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Boleh je klik sini, untuk lihat sendiri senarai Ahli Majlis Penasihat Shariah SC (Securities Commission).

Mereka inilah yang telah memutuskan bahawa sesebuah syarikat yang didagangkan di Bursa Malaysia, telah mematuhi piawaian yang ditetapkan sebelum ditentukan status kepatuhan syariah.

Jadi kenapa nak takut untuk melabur di pasaran saham patuh syariah Bursa Malaysia?

Ala-ala macam nak letak logo halal JAKIM, barulah ianya halal untuk dimakan.

Ada Yang Halal Dan Boleh Untung Besar, Tetap Nak Yang Haram Dan Boleh Rugi Besar

Pelik perangai orang kita ni. Nak kaya cepat tanpa usaha, tak tahu yang dia dah masuk perangkap skim cepat kaya. Bila pulangan yang dijanjikan tak dapat, penganjur “skim pelaburan” pula tak dapat dihubungi, pejabat dah kena sita, baru nak merungut ke suratkhabar dan buat laporan polis kononnya diri sendiri dah tertipu.

Selagi ada demand iaitu orang nak cepat kaya, maka adalah supply iaitu orang nak menipu. Orang Melayu akan terus kena tipu sampai bila-bila kalau masih malas nak belajar, malas nak timba ilmu.

Nah, ikon Bursa ada buat jelajah satu Malaysia, tunggu apa lagi daftar cepat.

Introducing Bursa Malaysia-i

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

55 Juta Unit IOIPG REIT Dikhaskan Untuk Bumiputera

Selama ni kita datang IOI City Mall untuk shopping, makan, tengok wayang atau sekadar jalan-jalan cukupkan 10,000 langkah.

Kali ni ada berita baik.

IOI Properties Group Bhd (IOIPG) telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menubuhkan dan menyenaraikan IOIPG REIT di Bursa Malaysia. REIT ini akan mempunyai portfolio aset bernilai kira-kira RM7.58 bilion.

Dan antara perkara paling menarik untuk pelabur runcit ialah sebanyak 715.6 juta unit diperuntukkan untuk tawaran runcit.

Daripada jumlah tersebut, 55 juta unit dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

Jadi, apa sebenarnya yang bakal kita dapat melalui REIT ini?

Apa yang ada dalam IOIPG REIT?

Portfolio IOIPG REIT bukan sekadar satu bangunan.

Antara aset yang akan dimasukkan ialah:

  • IOI City Mall Phase 1 & 2
  • IOI City Towers
  • PFCC Towers
  • Putrajaya Marriott
  • Le Méridien Putrajaya
  • Moxy Putrajaya
  • Four Points by Sheraton Puchong
  • W Kuala Lumpur
  • Courtyard by Marriott Penang

Dan sudah tentu, nama yang paling mudah dikenali ialah IOI City Mall.

Mall yang kita kenal sebagai tempat shopping dan makan itu sebenarnya merupakan salah satu aset utama dalam portfolio REIT ini.

Jadi macam mana kita boleh “jadi landlord”?

Konsep REIT sebenarnya agak mudah.

Bayangkan satu hartanah bernilai berbilion ringgit.

Tak ramai individu mampu membeli hartanah tersebut secara terus.

Jadi, aset itu dimasukkan ke dalam satu struktur REIT dan dibahagikan kepada unit.

Pelabur pula membeli unit tersebut.

Secara tidak langsung, pelabur memiliki kepentingan dalam portfolio hartanah berkenaan.

Sebab itu orang selalu gambarkan REIT sebagai cara untuk memiliki sebahagian daripada hartanah yang besar tanpa perlu membeli keseluruhan bangunan.

Dalam kes IOIPG REIT, saiz awalnya ialah 5.5 bilion unit, dengan harga jangkaan 90 sen seunit.

Pelabur runcit dapat 715.6 juta unit

Ini antara bahagian yang paling menarik.

Daripada keseluruhan struktur tawaran, 715.6 juta unit akan diperuntukkan melalui tawaran runcit.

Dan 55 juta unit daripada tawaran tersebut dikhaskan untuk pelabur Bumiputera.

Kenapa ada allocation khas untuk Bumiputera?

Peraturan SC menetapkan penyenaraian tertentu, termasuk REIT, perlu memenuhi keperluan penyertaan ekuiti Bumiputera. Bagi penyenaraian yang tertakluk kepada syarat tersebut, 12.5% daripada jumlah unit selepas penyenaraian perlu diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan/diiktiraf.

Pada masa yang sama, sehingga 1.48 bilion unit pula akan ditawarkan kepada pelabur institusi, termasuk institusi Bumiputera yang diluluskan dan pelabur institusi lain.

Bukan sekadar tengok harga 90 sen

Harga indikatif yang disebut ialah 90 sen seunit.

Tapi pelabur jangan berhenti setakat:

“90 sen je? Murah ni.”

Dalam REIT, perkara yang lebih penting ialah aset yang berada di belakang unit tersebut dan kemampuan aset itu menjana pendapatan.

Contohnya:

Berapa banyak hasil sewaan?
Bagaimana kadar penghunian?
Berapa tinggi hutang?

Dan akhirnya, berapa banyak pendapatan yang boleh diagihkan kepada pemegang unit?

Sebab kita bukan sekadar membeli “nama IOI”.

Kita membeli unit dalam satu portfolio aset yang sepatutnya menghasilkan pendapatan.

Kenapa IOI Properties buat REIT?

Bagi IOI Properties, penyenaraian REIT ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk membuka nilai daripada aset matang yang dimiliki kumpulan.

Cadangan asal yang diumumkan pada April 2026 menyaksikan aset bernilai RM7.58 bilion dipindahkan ke REIT, dengan struktur transaksi melibatkan penerbitan 5.5 bilion unit pada harga indikatif 90 sen serta RM2.65 bilion dalam bentuk tunai melalui pembiayaan.

Struktur sebegini membolehkan IOI Properties mendapatkan semula modal daripada aset sedia ada dan pada masa sama mengekalkan pendedahan kepada portfolio hartanah melalui REIT.

Bila IOIPG REIT akan disenaraikan?

IOIPG REIT disasarkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku keempat 2026, tertakluk kepada syarat dan proses yang ditetapkan.

Jadi buat masa ini, perkara yang paling menarik untuk ditunggu ialah prospektus rasmi dan butiran akhir tawaran.

Satu perkara yang masih belum boleh dipastikan buat masa ini ialah status Syariah IOIPG REIT. Ini kerana i-REIT mempunyai keperluan Syariah tersendiri, termasuk berkaitan sumber pendapatan sewaan dan aktiviti penyewa. Bursa Malaysia sendiri membezakan REIT konvensional dengan i-REIT, iaitu REIT yang mematuhi prinsip Syariah.

Sebab dekat situlah pelabur boleh tengok dengan lebih jelas tentang harga tawaran akhir, struktur agihan, hasil sewaan, kewangan REIT dan potensi agihan pendapatan.

Kesimpulan

Penyenaraian IOIPG REIT di Bursa Malaysia menandakan satu lagi perkembangan menarik dalam pasaran modal tempatan. Bagi orang ramai, ia membuka ruang untuk menukar peranan daripada sekadar penyumbang pendapatan perniagaan di mall tersebut, kepada penerima sebahagian daripada hasil sewaannya menerusi agihan dividen kelak.

Laporan asal The Star mengenai kelulusan IOIPG REIT

Maklumat rasmi IOI Properties mengenai cadangan IOIPG REIT

Syarat Asas: Wajib Ada Akaun CDS

Bagi yang baru pertama kali mendengar tentang peluang pelaburan seperti ini, penting untuk diingat bahawa pembelian unit REIT di Bursa Malaysia tidak boleh dibuat secara terus di kaunter pusat beli-belah.

  • Anda perlu memohon unit IPO tersebut menerusi e-IPO di dalam perbankan dalam talian seperti: Maybank2u atau aplikasi broker seperti CGSI.
  • Di sini syaratnya anda wajib ada Akaun CDS yang terikat dengan akaun bank anda supaya unit yang anda mohon itu ada “bekas” untuk disimpan.

Proses pembukaan akaun CDS kini boleh dilakukan secara dalam talian (online) dengan caj minima dan ia merupakan langkah pertama yang perlu disiapkan awal sekiranya anda berhasrat untuk terlibat dalam pasaran saham tempatan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.