Bagaimana Memilih Unit Amanah Yang Sesuai Untuk Pelaburan?

Sebelum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana jenis pelaburan, pelabur yang bijak perlu menjalankan kaji selidik terlebih dahulu untuk mengurangkan risiko kerugian. Unit amanah adalah antara instrumen pelaburan yang popular di Malaysia. Terdapat beratus- ratus dana yang ditawarkan oleh bank pelaburan tempatan tetapi mana satu yang sesuai dengan anda?

Bagi membantu anda memperoleh manfaat sepenuhnya daripada pelaburan unit saham amanah, di bawah ini disenaraikan antara soalan cadangan yang anda patut tanya kepada ejen anda sebelum membuat keputusan pelaburan.

1. Adakah dana unit amanah ini berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti?

Semua produk unit amanah mesti didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC). Untuk memastikan produk pelaburan itu didaftarkan dengan SC, hubungi 03-6204 8000 dan minta untuk disambungkan kepada Jabatan Tabung Amanah dan Pengurusan Pelaburan atau layari laman web SC di www.sc.com.my.

2. Berapa lama syarikat unit amanah tersebut beroperasi?

Apakah rekod atau prestasi syarikat itu dalam memberikan pulangan yang dijanjikan? Pelabur perlu memeriksa latar belakang sesuatu syarikat unit amanah, termasuk syarikat yang akan menguruskan dana terbabit. Cari maklumat mengenai rekod prestasi dan pengalaman mereka.

3. Adakah dana itu bersesuaian dengan matlamat pelaburan dan profil risiko anda?

Penting bagi anda memahami dana yang ditawarkan dan memilih dana yang benar-benar bersesuaian dengan matlamat pelaburan dan kesanggupan anda menghadapi risiko. Misalnya, jika anda mahu pendapat yang konsisten, anda perlu melabur dalam dana yang menyediakan pulangan dividen konsisten.

4. Apa yang berlaku kepada wang yang saya laburkan dalam dana berkenaan?

Di manakah wang itu akan dilaburkan? Pelabur perlu mengetahui dalam produk pelaburan yang manakah dana itu akan melabur, kerana ini mempunyai implikasi langsung ke atas tahap toleransi risiko pelabur. Jika dana itu melabur dalam produk pelaburan berisiko tinggi, dana unit amanah itu sendiri akan menjadi pelaburan berisiko tinggi.

5. Bagaimana hendak mengetahui bahawa dana yang saya laburkan itu berkeadaan baik? Bagaimana hendak membandingkannya dengan dana yang lain?

Anda juga boleh membandingkan dana anda dengan dana lain yang mempunyai kriteria yang sama. Contohnya, jika anda melabur dalam dana bon, bandingkan prestasinya dengan dana bon yang lain.

6. Bagaimana saya boleh membuat keuntungan (modal dan dividen) daripada dana ini?

Jika anda melabur dalam unit amanah, pulangan anda mungkin dalam bentuk keuntungan modal atau dividen. Pastikan ejen anda memberikan penerangan mengenai perkara ini dan baca prospektus.

7. Adakah saya perlu membayar sebarang bayaran atau caj?

Setiap pelaburan mempunyai kos dan melabur dalam dana unit amanah tidak terkecuali. Ejen anda mesti menjelaskan semua ini kepada anda.

8. Jika saya mengubah fikiran selepas melabur dalam sesuatu dana, bolehkah saya menjualkannya semula kepada syarikat itu dan mendapat bayaran balik sepenuhnya?

Pelabur unit amanah berhak mendapat bayaran balik sepenuhnya jika dia memutuskan untuk tidak meneruskan pelaburan dalam dana terbabit dalam masa “tempoh bertenang”.

9. Jika saya mahukan wang semula dengan segera, mudahkah saya menjualkan dana itu? Berapa lama saya mesti menunggu sebelum saya boleh mendapatkan wang saya semula?

Unit amanah ialah pelaburan yang mudah dijual beli. Anda boleh berjumpa dengan ejen dan menyerahkan notis penebusan untuk menebus kembali unit anda dan mendapatkan wang anda.

10. Adakah saya akan mendapat apa-apa penyata berkaitan status pelaburansaya daripada syarikat pengurusan?

Proses pemantauan anda akan menjadi lebih mudah jika anda menerima penyata daripada syarikat pengurusan berkaitan status pelaburan anda.

11. Di mana saya boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai dana tersebut?

Kebanyakan maklumat mengenai sesuatu dana unit amanah terdapat dalam prospektus dan laporan tahunannya.

Kredit: Securities Industry Development Corporation (SIDC)

Baca juga:

Kini ada cara yang lebih mudah untuk melabur hanya dengan aplikasi telefon pintar, tanpa perlu isi borang, tanpa melalui ejen dan mempunyai yuran yang rendah. Jemput baca 7 Langkah Mudah Nak Melabur Dengan Wahed Invest Modal Serendah RM100, Guna Smartphone Saja (Bonus RM40 Jika Anda Daftar Sekarang).

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PMB Investment Umum Jumlah Agihan Kasar Dana Bestari RM2.88 Juta


KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) — PMB Investment Bhd hari ini mengumumkan jumlah pengagihan kasar sebanyak RM2.88 juta untuk PMB Dana Bestari bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept 2024, dengan pemegang unit menerima pengagihan pendapatan sebanyak 2.93 sen seunit.

Pengerusi Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata PMB Dana Bestari telah memberikan pulangan serta pertumbuhan modal yang stabil sejak pelancarannya pada 2002 melalui pelaburan dalam ekuiti patuh Syariah dan sekuriti pendapatan tetap.

“Dana lazimnya melabur 70 peratus hingga 99.5 peratus daripada nilai aset bersih (NAB) dalam Syariah -ekuiti patuh, dengan selebihnya dalam instrumen pasaran wang Islam, deposit dan sukuk,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Izwan Azzeri Kamal berkata pengagihan pendapatan ini mencerminkan komitmen syarikat untuk memberikan pulangan yang kukuh kepada pemegang unitnya.

“Kami sentiasa menyusun strategi pelaburan dana untuk mendahului pasaran serta pembangunan ekonomi bagi memastikan kami dapat memberikan hasil terbaik kepada pelabur,” katanya lagi.

PMB Investment berkata NAB seunit sebelum pengagihan ialah RM0.5479 dan selepas pengagihan, ia diselaraskan kepada RM0.5186.

Agihan ini telah dikreditkan kepada pemegang unit berdasarkan tarikh akhir 30 Sept 2024, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan menjelang 1 Okt 2024.

Pengagihan ini mewakili hasil sebanyak 5.99 peratus berdasarkan purata NAB seunit sepanjang tahun kewangan, dengan dana menjana jumlah pulangan sebanyak 12 peratus untuk tempoh yang sama.

— BERNAMA