Apa Jadi Kalau Beli Saham-Saham Blue Chip Ini Pada Tahun 1998

Imbas kembali, tahun 1998 merupakan zaman krisis kewangan Asia. Ianya bermula pada tahun 1997 dan ramai yang hilang banyak duit akibat pelaburan saham kerana pasaran saham telah crash. Ramai pelabur rugi sebab tak sempat nak jual saham yang dipegang, maklumlah tidak semudah zaman sekarang, semuanya online.

Pasaran saham yang dahulunya dikenali dengan nama KLSE (Kuala Lumpur Stock Exchange) telah jatuh sebanyak 50% mata, manakala mata wang Ringgit pula jatuh daripada RM2.50 berbanding 1 US Dolar kepada RM4.57. Ini memaksa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengikat Ringgit menjadi RM3.80 berbanding 1 US Dolar bagi menstabilkan ekonomi Malaysia.

Apa Itu Saham Blue Chip?

Saham blue chip adalah saham syarikat gergasi, mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan telah beroperasi selama bertahun-tahun lamanya. Biasanya saham blue chip mempunyai modal pasaran berbilion Ringgit, merupakan peneraju di dalam sektor yang mereka ceburi; dan juga dikenali ramai.

Untung Besar Jika Beli 12 Saham Blue Chip Berikut:

Kalau masa krisis kewangan tahun 1998 ada yang ambil peluang borong saham-saham ini dan peram, pastinya akan tersenyum lebar sekarang. (Penulis pun baru lepas SPM, jadi memang tak berpeluang untuk memborong!)

Siapa yang tak kenal dengan Petronas Gas, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, Nestle Malaysia? Mereka ini merupakan gergasi dalam sektor masing-masing.

Lazimnya, minima pembelian saham disebut 1 lot. Pada tahun 1998, 1 lot adalah bersamaan dengan 1,000 unit saham. Berbeza dengan sekarang di mana 1 lot adalah bersamaan dengan 100 unit saham.

Kita ambil contoh saham Telekom Malaysia yang berharga RM0.384 sen pada tarikh 1 September 1998:

1 September 1998: 1,000 unit saham Telekom Malaysia x RM0.384 = RM384 (modal)

23 November 2017: 1,000 unit saham Telekom Malaysia x RM6.00 sesaham = RM6,000

Keuntungan = RM5,616 atau 1,462% untuk 19 tahun atau 76.95% setahun

 

Siapa pula tak kenal dengan nama Nestle? Antara jenama terkenal mereka adalah Milo, Maggi, Nescafe, Kit Kat, Nestum dan banyak lagi. Untung betul kalau beli saham Nestle pada tahun 1998.

1 September 1998: 1,000 unit saham Nestle x RM5.089 = RM5,089 modal

23 November 2017: 1,000 unit saham Nestle x RM91.98 sesaham = RM91,980 nilai semasa

Keuntungan = RM89,891 atau 1,707% untuk 19 tahun atau 89.95% setahun

Itu baru keuntungan daripada kenaikan harga saham, belum dikira dividen yang diberi saban tahun.

7 Daripada 12 Saham ‘Blue Chip’ Tersebut Patuh Syariah

Bukan kesemua saham syarikat blue chip tersebut boleh kita sebagai orang Islam beli, kerana hanya 7 syarikat yang patuh Syariah:

  • IOI Corporation
  • Nestle
  • PPB Group
  • KL Kepong
  • Tenaga Nasional
  • Telekom Malaysia
  • Petronas Gas

Kalau ikut sektor, kita ada sektor pembinaan, konsumer, utiliti dan telekomunikasi. Masing-masing merupakan nama yang sangat masyhur di negara kita. Pastinya kita ada membeli produk atau menggunakan servis yang ditawarkan mereka.

Zaman Sudah Berubah

Di antara perubahan yang telah berlaku di pasaran saham Bursa Malaysia sepanjang 19 tahun yang lepas adalah:

  1. Dulu dikenali sebagai Kuala Lumpur Composite Index (KLCI), bertukar nama kepada FBM KLCI
  2. 1 lot dahulunya bersamaan 1,000 unit saham, tetapi sekarang hanya 100 unit saham, maka sepatutnya lebih mampu untuk terlibat.
  3. Dulu kena bergantung kepada remisier untuk jual beli saham atas nama kita, sekarang ada kemudahan online trading platform; boleh monitor & jual/beli melalui telefon pintar sendiri

Terkini, sebanyak 76% daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah merupakan syarikat yang patuh Syariah. Boleh rujuk artikel Senarai Terkini Saham Syarikat di Bursa Malaysia Yang Patuh Syariah yang terkini bagi November 2017.

Bagaimana Pula 20 Tahun Akan Datang?

Kalaulah kita diberi peluang untuk melihat masa depan, bolehlah tahu saham mana yang kita patut beli tahun ini.

Tapi apakan daya, kita cuma manusia biasa.

Dengan adanya ilmu, kita sebenarnya boleh mengkaji sendiri pergerakan harga saham. Ilmu Technical Analysis akan membantu mengenalpasti hala tuju saham tu samada ia akan menaik, menurun mahu pun mendatar (sideways).

Tunggu apa lagi, pergilah cari cikgu untuk belajar!

Sumber rujukan: The Edge Malaysia

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.