Harapkan Duit Simpanan KWSP Tidak Cukup Untuk Bersara – Data KWSP

Acapkali kita mendengar pernyataan ini, dan kalau kita masih mengambil sikap acuh tak acuh; barangkali dengan data yang dikeluarkan KWSP ini boleh membuka mata dan minda kita untuk lebih bersedia.

Malaysia merupakan negara yang semakin tua, dengan populasi mereka yang berumur 65 dan ke atas akan menjadi 15% pada tahun 2035. Manakala, jangka hayat rakyat Malaysia pula semakin meningkat dengan lelaki berada pada umur 72.5 tahun manakala wanita pula berada pada umur 77.4 tahun.

Cuma 18% Capai Sasaran KWSP Menjelang Umur 55

 

Tahun ini, KWSP telah menaikkan sasaran simpanan minima pada umur 55 tahun kepada RM228,000 daripada RM197,000. Namun, hanya 18% daripada pencarum KWSP mencapai sasaran tersebut berbanding 50% yang disasarkan oleh KWSP menjelang tahun 2021. Ini disebabkan banyak faktor, di antaranya dividen KWSP yang menurun dan banyaknya pengeluaran yang dibenarkan seperti perumahan, kesihatan, pendidikan, pergi haji dan sebagainya.

4 Fakta Membimbangkan Mengenai Simpanan KWSP:

  1. 68% daripada pencarum KWSP berumur 54 tahun dan ke bawah hanya mempunyai kurang daripada RM50,000.
  2. Kelompok 20% terbawah pencarum KWSP mempunyai simpanan purata sebanyak RM6,909
  3. Daripada 32 juta rakyat Malaysia, 69% tergolong dalam ‘umur bekerja’ iaitu di antara 15-65 tahun. Hanya 48% daripada golongan ini mempunyai akaun KWSP yang aktif.
  4. 70% pencarum yang mengeluarkan simpanan pada umur 55 tahun, menghabiskannya dalam masa kurang daripada 10 tahun.

Mempelbagaikan Aset KWSP

KWSP diwujudkan pada tahun 1952 dan kini merupakan skim pencen yang ketujuh terbesar di dunia. Pada mulanya KWSP dipaksa membeli bon kerajaan yang memberi pulangan yang sedikit, dengan memberi kerajaan sumber dana yang diperlukan. Dan pada tahun 2015, aset pelaburan KWSP berada pada RM685 bilion, selepas berkembang 10% setahun sejak 15 tahun yang lalu.

Sejak tahun 80-an, KWSP telah mula mengorak langkah untuk membeli aset yang lebih berisiko tetapi memberi pulangan yang lebih tinggi. Begitu juga halnya dengan pelaburan KWSP di luar negara, dengan hartanah di Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, China dan Australia.

Kemudiannya, KWSP dibenarkan untuk menjadi pemegang saham terbesar, malah menjadi pengendali perniagaan; lebih daripada hanya sebagai pelabur pasif syarikat. Pegangan dalam pelaburan ekuiti telah meningkat, pelaburan langsung ke dalam industri hartanah dan infrastruktur seperti pegangan 49% ke atas lebuhraya PLUS yang menelan belanja sebanyak RM9 bilion pada tahun 2011.

Terkini, KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 5.7% pada tahun 2016 kepada 14.72 juta ahli dengan jumlah bayaran sebanyak RM37.2 bilion. Pendapatan kasar pada tahun 2015 adalah RM44.2 bilion, dengan pelaburan tempatan sebanyak 52% dan pelaburan luar negara sebanyak 48% menyumbang hampir sama banyaknya.

Kenapa Pulangan KWSP Rendah?

Objektif penubuhan KWSP untuk menyediakan ahlinya dengan simpanan yang mencukupi pada hari persaraan nampaknya tidak mencapai sasaran. Kepada lebih daripada 80% daripada ahli, pulangan yang rendah bagi simpanan KWSP telah membantutkan pelan persaraan mereka. Kenaikan gaji yang sedikit, pulangan KWSP yang rendah dan hutang isirumah yang tinggi adalah perkara yang menyumbang kepada hari tua yang tidak menentu.

Sepatutnya, KWSP dibenarkan untuk menjalankan tugas mereka sebaik mungkin kepada pesara sekarang dan akan datang. Namun, campur tangan politik telah mengganggu golongan professional dalam KWSP daripada memberi yang terbaik kepada ahli KWSP.

Campur tangan politik inilah yang telah mempengaruhi keputusan mereka untuk membeli dana yang memberi pulangan yang sedikit seperti bon kerajaan, sukuk dan sebagainya. Pencarum KWSP juga tidak berpuas hati dengan dana persaraan mereka digunakan untuk membeli dana infrastruktur Amerika Syarikat dengan pulangan yang rendah.

Rakyat Malaysia tidak mahu ketua kerajaan memperjudikan masa depan mereka demi memuaskan hati pemimpin luar negara, terutama sekali seorang yang tidak membantu masa depan negara.

Persiapan Lebih Rapi Untuk Hari Tua

Sekarang anda sudah tahu betapa getirnya masa depan kita, dan jika kita hanya bergantung kepada simpanan KWSP sebagai tabung persaraan – memang tidak akan cukup.

Ingat lagi tak 68% daripada pencarum KWSP berumur 54 tahun dan ke bawah hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000? Dengan garis kemiskinan berada pada RM930 sebulan, simpanan sebanyai RM50,000 tadi hanya akan bertahan 4 tahun lebih sahaja.

Andai kata anda bersara pada umur 55, umur 60 tahun anda terpaksa mencari pendapatan lain bagi menyara kehidupan. Dan ingat lagi tak jangka hayat rakyat Malaysia dengan orang lelaki berada pada umur 72.5 tahun manakala wanita pula berada pada umur 77.4 tahun? Baki berbelas tahun itulah juga anda perlu mencari sumber lain untuk kelangsungan hidup.

Jadi Apakah Tindakan Anda?

Apa pilihan yang kita ada?

Nak bergantung kepada anak-anak ke? Nak keluarkan simpanan KWSP untuk pelaburan yang lebih menguntungkan? Nak kerja lagi dan lagi? Atau nak cari ilmu pelaburan yang menguntungkan seperti pelaburan saham, hartanah dan sebagainya bagi meningkatkan simpanan hari tua?

Perlu beringat bahawa pada umur lewat usia itulah peluang untuk berehat dan meningkatkan amal ibadat.

Sumber Rujukan: The Star Online

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.