Beza Saham Dengan Main Forex

Saham dan forex merupakan dua perkara yang nampak sama, tetapi sebenarnya adalah dua instrumen yang berbeza. Jangan terkeliru.

Iklan yang lalu lalang pun kadang-kadang dia sebut ‘trade’ saja, tetapi sebenarnya bukan saham tetapi Forex trading.

Apa Beza Saham dan Main Forex?

Tapi kenapalah orang suka sebut main saham, main forex?

Masih misteri sehingga ke hari ini.

Antara perbezaan ketara adalah seperti berikut:

1. Forex adalah singkatan kepada foreign exchange. Iaitu pertukaran matawang asing. Bermakna anda membeli matawang asing, kemudian menjualnya semula bila kadar pertukaran menjadi tinggi. Saham adalah sekuriti yang mewakili sebahagian modal pemilik dalam perniagaan. Pemegang saham merupakan sebahagian pemilik perniagaan.

2. Sebelum boleh mula jual beli saham di Bursa Malaysia, pelabur perlu buka akaun CDS. Boleh pilih nak buka dengan broker-broker yang dikawal selia dan berlesen.

Jika nak jual beli saham US (saham Apple, Tesla, AMD dan lain-lain) juga boleh buka dengan broker tempatan ini tadi.

Tetapi jika nak terlibat dalam forex trading, kaedah paling popular adalah dengan buka akaun dengan broker-broker forex yang ada secara online. Contoh broker yang popular seperti eToro, HotForex, FXTM, Oanda, OctaFX dan banyak lagi.

Namun broker-broker forex online ini tidak dikawal selia (unregulated) di Malaysia. Mereka tertakluk di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan, jika disabitkan kesalahan, penganjur boleh dipenjara dan didenda berat sehingga RM10 juta atau penjara 10 tahun. Boleh semak senarai ini di laman web Suruhanjaya Sekuriti.

Sumber Rujukan: Twitter SC

3. Saham melibatkan pemilikan / jual beli unit modal syarikat-syarikat yang tersenarai di pasaran saham (Bursa Malaysia, New York stock Exchange, London Stock Exchange) tetapi forex trading melibatkan jual beli matawang asing seperti USD, JPY, GPB dan sebagainya.

4. Di Malaysia urusan jual beli saham adalah pada hari bekerja sahaja dan hanya sehingga pukul 5.00 petang. Manakala urusan jual beli saham di US bermula jam 9.30/10.00 malam. Urusan forex trading pula berlaku 24 jam kecuali Sabtu dan Ahad.

5. Pelabur / pedagang saham meraih keuntungan daripada saham melalui capital gain (kenaikan harga saham), dividen dan bonus issue (pemberian saham bonus). Pedagang forex pula meraih keuntungan melalui kadar perubahan exchange rate.

6. Perbezaan yang seterusnya lebih melibatkan kepentingan kepada individu yang beragama Islam. Pelaburan saham di Bursa Malaysia ada pilihan broker yang patuh syariah.

Sumber : Bursa Malaysia

Alhamdulillah dan kita juga dah boleh tahu saham-saham yang tersenarai di Malaysia dan global mana satu yang patuh shariah atau pun tidak.

Contohnya saham-saham di Malaysia dipantau oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Mereka akan kemaskini saham-saham patuh syariah terkini dekat orang ramai. Aktiviti ini dijalankan pada bulan Mei dan November setiap tahun.

Transaksi jual beli melalui broker patuh syariah juga diasingkan dengan konvensional.

Saham global pula disemak oleh pakar-pakar syariah seperti Islamicly, Ideal Ratings dan sebagainya.

Jangan salah faham pula forex trading dengan forex tukar duit dekat pengurup wang / money changer tu. Transaksi money changer tu ok, selagi pertukaran duit on the spot.

Berbeza dengan forex trading online yang difatwakan haram oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2012 dan Fatwa-Fatwa negara lain juga masih belum ada yang kata harus. Baca lagi FOREX Trading Online – Fatwa Mana Yang Kata Harus?

Menurut pakar kewangan Islam, Prof. Madya Dr. Aznan Hasan, “Kebanyakan online broker adalah tidak betul (tidak real), hanya 10% je yang betul, 90% sekadar spekulasi dan tiada mata wang/emas yang wujud untuk transaksi tersebut.“. Maksudnya apabila seseorang membeli EURAUD, sebenarnya dia bukan betul-betul membeli Euro dan menjual dolar Australia.

Boleh baca lagi di Garis Panduan Syariah dalam Perdagangan Forex.

Ada sesetengah ulama berpendapat memang tak boleh langsung untuk jual beli matawang untuk mendapat untung. Ada juga berpendapat tiada masalah asalkan mengikut syarat-syarat kontrak jual beli matawang yang dibenarkan syariah. Nak berforex perlulah mengikut syarat-syarat Bay’ al-Sarf betul-betul.

Kena faham yang matawang adalah item ribawi, maka ia tertakluk kepada syarat sah jual beli item ribawi. Syarat pertama kena jawab broker memiliki matawang dengan pemilikan sebenar mengikut syarak atau pun tidak? Pemilikan ini perlu jelas supaya tidak menjadi riba.

Matawang tak sama macam kereta. Kereta bukan item ribawi.

Broker kereta tak perlu miliki kereta untuk dijual (lebih kepada sifat wakil dalam konsep wakalah).

Isunya broker-broker forex online (yang real atau pun tak real) belum ada yang melantik panel syariah. Tetapi ada broker yang self claim menawarkan akaun Islamik tetapi tidak ada panel syariah di belakangnya. Ada yang kata forex trading online haram sebab swap (riba), sebenarnya itu syarat yang kedua. Dah ada swap free masih haram sebab syarat nombor satu (betul-betul ada matawang) tidak dipenuhi.

Dan yang trade Gold, WTI, Brent Oil dalam MT4/MT5 itu menggunakan instrumen CFD.

Boleh dengar ulasan Datuk Dr Mohd Daud Bakar di Hukum CFD (Contract For Differences). Sama juga jika trade saham global menggunakan CFD, adalah tidak patuh syariah sebab kita tidak menjadi pemilik saham, hanya ‘trade price’ sahaja. Sebab itu perlu berhati-hati ketika memilih broker.

Semuanya terpulang kepada anda untuk memilih. Nak makan ayam yang disembelih atau yang dilanggar lori?

Nak jiwa tenang rasanya dah tahu nak pilih yang mana. Jauhilah benda yang haram sebab itu perintah Tuhan. Tenang is good.

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.