Kenapa Perubahan Cuaca Bakal Menyebabkan Krisis Ekonomi Yang Dahsyat?

Hari ini, kita dapat melihat dengan mata kita sendiri ekonomi dunia yang semakin meruncing disebabkan krisis Covid-19. Kita di Malaysia pun belum menemui jalan keluar dengan bilangan kes positif yang tidak menampakkan penurunan yang drastik.

Pandemik ini telah menyedarkan ramai orang bahawa krisis ini betul-betul wujud dan memberi impak yang sangat besar terhadap masyarkat terutamanya daripada sudut ekonomi.

Selain dari isu pandemik, ramai yang terlepas pandang bahawa isu bencana alam yang disebabkan perubahan cuaca juga bakal memberi kesan yang sangat buruk kepada ekonomi dunia.

Perubahan cuaca merupakan isu yang besar yang mana dari setahun ke setahun, banyak negara telah mengambil serius dengan melaksanakan undang-undang yang ketat terhadap industri negara terutamanya di negara maju.

Sebelum ini, kita diberitahu bahawa dunia akan menjadi lebih panas jika kesan perubahan cuaca berlaku dan ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun, sebenarnya kesan perubahan cuaca adalah lebih teruk daripada itu.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa kesan pemanasan global juga adalah salah satu faktor yang bakal menjadi pemangkin kepada hujan yang sangat lebat, pembakaran hutan dan berkemungkinan berlakunya ribut taufan.

Bagaimana Perubahan Cuaca Mengakibatkan Bencana Alam?

Bencana alam yang sering dikaitkan dengan perubahan cuaca adalah hujan yang sangat lebat. Bencana alam ini sangat berbahaya dan sering mencetuskan kemusnahan yang besar.

Banjir besar disebabkan hujan yang sangat lebat boleh memusnahkan rumah kediaman.

Kredit Gambar: Tuolumne Fire Safe

Selain itu juga, perubahan cuaca boleh mengakibatkan kebakaran hutan yang berlaku secara spontan akibat pemanasan global. Lapisan ozon yang semakin menipis akan menyebabkan cahaya matahari memancar secara langsung ke arah hutan.

Cahaya matahari yang berlebihan akan ditukar kepada haba dan akan menghasilkan api. Lebih malang jika hutan tersebut berada dalam keadaan kering yang akan memudahkan kebakaran hutan yang marak dengan cepat.

Inilah punca kenapa kebakaran hutan berlaku tanpa disedari oleh pihak berkuasa.

Ribut taufan juga turut dipercayai boleh disebabkan oleh perubahan cuaca yang ekstrem. Walaupun ada kajian mengatakan bahawa saintis mendapati perubahan cuaca merupakan faktor kecil yang menjadi penyebab kepada ribut taufan.

Kredit Gambar: Nikkei Asia

Para saintis tidak menolak sepenuhnya teori ribut taufan yang disebabkan perubahan cuaca ini kerana ada data yang menyokong perkara ini.

Kenapa Bencana Alam Boleh Menyebabkan Krisis Ekonomi?

Seperti bencana yang sering berlaku di mana-mana negara, penduduk yang terjejas akan menanggung kerugian yang besar terhadap kemusnahan harta benda.

Pihak kerajaan juga akan terjejas kerana bantuan yang diberikan kepada penduduk akan menjejaskan kedudukan kewangan mereka bagi menampung kemusnahan yang terjadi disebabkan bencana alam yang merosakkan harta benda penduduk.

Sebagai contoh pada tahun lepas, kemusnahan akibat daripada bencana alam disebabkan perubahan cuaca dunia telah menyebabkan kerugian sebanyak USD2.2 trilion.

Jika perkara ini terus berlaku, ia juga akan menjejaskan sistem perbankan yang ada di negara tersebut. Ini disebabkan orang ramai tidak mampu untuk membayar pinjaman bank terutamanya apabila melibatkan pinjaman rumah dan kenderaan.

Dua pinjaman ini akan memberi memberi kesan yang sangat besar kepada pendapatan bank apabila peminjam tidak mampu membayar pinjaman mereka kepada bank dalam waktu yang ditetapkan dan menyebabkan pihak bank tidak mampu menjana keuntungan yang sepatutnya.

Disebabkan perkara ini, sistem perbankan akan terjejas dan pendapatan negara juga akan turut terkesan dengan situasi tersebut.

Oleh yang demikian, International Monetary Fund (IMF) telah memberi perhatian yang serius terhadap perubahan iklim dunia yang bakal berlaku dalam masa terdekat. Ini bagi mengelakkan krisis besar menimpa negara-negara miskin dan membangun.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Maybank IB Unjur Harga Minyak Mentah US$70 Setong Pada 2025


KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) — Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengunjurkan harga minyak mentah Brent tidak menentu dan lebih lemah tahun ini iaitu pada purata US$70 setong berbanding US$80 setong tahun lepas.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Maybank IB berkata pasaran minyak mungkin menyaksikan lebihan bekalan kerana Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mungkin akan menarik balik pengurangan pengeluaran.

Bank pelaburan tersebut memetik laporan Unjuran Tenaga Jangka Pendek (STEO) daripada United States Energy Information Administration untuk November 2024 yang menyatakan pengeluar OPEC+ mungkin melaksanakan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari dalam tempoh 18 bulan, bermula April 2025.

“Namun, sebarang lonjakan dalam ketegangan geopolitik boleh meningkatkan premium perang ke atas harga minyak mentah disebabkan kebimbangan gangguan bekalan seperti yang kita lihat semasa krisis Rusia-Ukraine, apabila harga minyak meningkat sekitar 50 peratus (Brent: US$80 setong kepada US$120 setong),” katanya.

Bagi Malaysia, Maybank IB berkata perbelanjaan modal (capex) Petronas berpotensi lebih rendah serta ini bermakna banyak syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) yang berorientasikan domestik mungkin menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada 2025 selepas Petros dilantik secara rasmi sebagai pengagregat gas tunggal untuk Sarawak.

“Di bawah senario penangguhan capex Petronas, kami menjangkakan ini memberi impak kepada nama-nama OGSE yang terdedah dalam subsegmen penerokaan dan pembangunan, terutamanya kapal sokongan luar pesisir, fabrikasi luar pesisir, pelantar penggerudian serta pemasangan dan pengoperasian,” katanya.

Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan positif terhadap sektor ini iaitu memihak kepada syarikat pengangkutan, penyimpanan dan pengagihan yang defensif dengan Dialog sebagai pilihan utama mereka.

Selain itu, ia memihak kepada pemain pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) yang bersedia untuk menyertai pelaburan capex global dalam bidang perairan laut dalam dan ultra dalam, dengan menamakan Bumi Armada sebagai pilihan utama mereka.

— BERNAMA