Lima Tumpuan Utama Pelabur Dalam Dan Luar Negara Minggu Ini (26-30 Ogos 2019)

Pasaran saham Wall Street menjunam pada hari terakhir dagangan minggu lalu (24 Ogos 2019) disebabkan ketegangan yang sekali lagi memuncak di antara Amerika Syarikat dan China. Presiden Donald Trump mengarahkan syarikat Amerika Syarikat untuk keluar dari China selepas Beijing mengumumkan tindak balas tarif terhadap sejumlah produk dari Amerika Syarikat.

China berkata pada Jumaat lalu bahawa ia akan mengenakan tindak balas tarif terhadap $75 billion produk AS. Tindakan terbaru ini adalah tindak balas China selepas dikenakan tarif terhadap sejumlah $300 billion produk mereka.

Selepas daripada itu, Trump mengumumkan untuk menaikkan kadar tarif daripada 25% kepada 30% yang mana tambahan 5% kepada kadar tarif sedia ada terhadap produk China.

Perkembangan terbaru ini telah mencetuskan kebimbangan terhadap berlakunya kemelesetan ekonomi global sekaligus menggoyahkan keyakinan para pelabur.

Akibatnya, tiga indeks utama Wall Street mengalami kejatuhan besar dengan Dow Jones Industrial Average (DJIA) jatuh sehingga 2.37%, S&P 500 susut sebanyak 2.59%, manakala Nasdaq ditutup 3.00% lebih rendah pada awal pagi Sabtu (24 Ogos 2019) waktu Malaysia.

Dalam perkembangan sama, hasil-bon 10 tahun AS jatuh sebanyak 1.52% yang menunjukkan permintaan tinggi terhadap bon 10 tahun kerajaan AS.

Minggu ini tumpuan pasaran sudah tentu akan terarah kepada perkembangan perang perdagangan Amerikat Syarikat dan China selepas minggu yang tidak memberangsangkan di Wall Street. Tempiasnya dirasai oleh pasaran Asia pada pembukaan pasaran hari Isnin (26 Ogos 2019).

Selain daripada itu, beberapa data ekonomi Amerika Syarikat dan Zon-Eropah juga akan dikeluarkan pada minggu ini yang menggambarkan keadaan terkini aktiviti ekonomi di wilayah berkenaan. Pasaran juga akan memerhatikan perhimpunan pemimpin negara G7 pada hari Isnin.

Berikut adalah lima tema utama yang bakal menjadi perhatian pelabur global sepanjang minggu ini.

1. Perang Perdagangan Sekali Lagi Memuncak

Perang perdagangan di antara dua kuasa besar ekonomi dunia semakin memuncak dari hari ke hari apabila pengumuman terbaru oleh AS dan China memberi tekanan kepada pasaran kewangan global. Ia seakan tiada penghujungnya dan semakin hari semakin memberi tekanan kepada pasaran dan perniagaan.

Pada minggu ini, para pelabur dijangka mengelak daripada aset berisiko dan beralih kepada aset selamat seperti emas dan matawang Yen jika tiada tanda bahawa ketegangan semakin pulih antara kedua-dua negara.

Selepas Trump mengumumkan tambahan 5% terhadap kadar tarif sedia ada, China dijangka mengambil masa untuk mengumumkan tindak balas mereka terhadap perkara itu. Ini adalah antara tumpuan pasaran pada minggu ini sama ada China bertindak balas sekali lagi atau sebaliknya.

2. Pasaran Komoditi Global Tertekan

Kebimbangan terhadap ekonomi global pada penghujung minggu lalu telah menyebabkan pasaran minyak mentah jatuh sebanyak 2% pada hari Jumaat (23 Ogos 2019) yang lalu. Isu perdagangan global adalah di antara pemangkin utama kepada pergerakan harga minyak mentah sejak awal tahun ini selain daripada data inventori dan juga ketegangan di Selat Hormuz.

Sukar untuk melihat kenaikan yang memberangsangkan dalam pasaran minyak hitam pada minggu ini dengan kebimbangan yang terus berlarutan.

Data inventori minyak mentah Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada minggu ini mampu untuk menolak harga lebih tinggi dari paras semasa jika bacaan berkurangan pada kadar yang tinggi.

Untuk komoditi emas, ia tidak menjadi masalah untuk ia membuat kenaikan dengan sentimen berisiko ketika ini kerana ia adalah di antara pilihan popular bagi menyimpan nilai wang tanpa volatility (turun-naik) yang tinggi.

3. Data Penting Ekonomi Amerika Syarikat

Beberapa data ekonomi Amerika Syarikat pada bulan Julai akan dikeluarkan pada minggu ini di mana pasaran akan mendapat gambaran lebih jelas tentang keadaan semasa penggunaan dan aktiviti dalam sektor pembuatan di negara ini.

Data tempahan barangan tahan lama (durable-goods) dijangka meningkat pada kadar lebih rendah pada Julai berbanding bulan Jun. Data ini sering dijadikan proksi kepada pelaburan perniagaan dan laporannya akan dikeluarkan pada hari Isnin (26 Ogos 2019).

Data keyakinan pengguna yang akan dikeluarkan pada hari Selasa (27 Ogos 2019) pula dijangka meningkat pada bulan Julai dan data pertumbuhan ekonomi (GDP) untuk bacaan kedua pula akan dikeluarkan pada hari Khamis (29 Ogos 2019). Sebarang perubahan daripada bacaan pertama yang mencatat pertumbuhan 2.1% akan memberi kesan kepada pasaran pada hari Khamis (20 Ogos 2019).

Bacaan inflasi keutamaan Federal Reserve, iaitu data perbelanjaan penggunaan peribadi (core-PCE) pula akan dikeluarkan pada hari Jumaat (30 Ogos 2019). Kali ini bacaan sekali lagi dijangka meningkat daripada 1.6% kepada 1.7%.

4. Perhimpunan Negara G7

Perhimpunan kali ini yang berlangsung di Biarritz, Perancis telah bermula sejak 24 Ogos 2019 dan berakhir pada hari Isnin (26 Ogos 2019). Berkemungkinan akan ada kesan kepada pasaran, hasil daripada perbincangan pemimpin-pemimpin seperti Emmanuel Macron (Perancis), Presiden Donald Trump (AS), Angela Merkel (Jerman) dan lain-lain.

Antara yang dibincangkan sudah tentu isu perang perdagangan global, program nuklear Iran dan Brexit.

Cukai baru yang diperkenalkan oleh Macron terhadap syarikat teknologi Amerika Syarikat juga telah menimbulkan kemarahan Trump dan beliau telah mengancam akan mengenakan tarif terhadap wain dari Perancis.

5. Perkembangan Pasaran Malaysia

Beberapa syarikat senaraian-awam termasuk enam bank akan menerbitkan laporan pendapatan suku kedua tahun 2019 pada minggu ini. Antara yang akan mengeluarkan laporan adalah RHB Bank Bhd (Isnin), Telekom Malaysia Bhd (Rabu), IJM Corp Bhd (Rabu), Malayan Banking Bhd dan CIMB Group Holdings Bhd kedua-duanya pada hari Khamis.

Axiata Group Bhd yang menjadi perhatian media sejak akhir-akhir ini berkaitan perancangan penggabungannya dengan Telenor ASA dijangka akan menerbitkan laporan pendapatan suku kedua pada hari Rabu (28 Ogos 2019).

Pada hari Jumaat pula Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan statistik perbankan bulan Julai dan jumlah rizab asing negara sehingga akhir bulan lalu.

Sumber Rujukan:

  1. https://in.reuters.com/article/usa-trade-china-timeline/timeline-key-dates-in-the-u-s-china-trade-war-idINKCN1VD207?feedType=RSS&feedName=businessNews&utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+reuters%2FINbusinessNews+%28News+%2F+IN+%2F+Business+News%29
  2. https://www.investing.com/news/economy/china-unveils-retaliatory-tariffs-on-us-goods-in-deepening-trade-row-1962123
  3. https://www.investing.com/news/stock-market-news/stocks–wall-street-plunges-as-trumps-tells-us-companies-to-leave-china-1962537
  4. https://www.investing.com/news/forex-news/forex–weekly-outlook-august-26–30-1962892
  5. https://www.investing.com/news/economy/economic-calendar–top-5-things-to-watch-this-week-1962885
  6. https://www.investing.com/news/commodities-news/energy–precious-metals–weekly-review-and-calendar-ahead-1962898

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Baharu Argentina Harap Projek LNG Dengan Petronas Akan Diteruskan – Mondino

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.

Selain MoU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A., memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama ke arah pelaksanaan kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina.

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

“Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan…bukan di tahap yang sepatutnya.

“Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.

— BERNAMA