Parlimen UK Halangan Terakhir Perjanjian Brexit Boris Johnson dan Kesatuan Eropah

Britain di bawah pimpinan Boris Johnson dan Kesatuan Eropah (EU) akhirnya memeterai perjanjian Brexit pada Khamis (17 Oktober 2019) dengan tarikh keluar Brexit yang semakin hampir. Ini bermakna satu lagi undian di Parlimen UK perlu dibuat untuk meluluskan perjanjian itu yang dilaporkan akan berlangsung pada hari Sabtu (19 Oktober 2019).

Walaubagaimanapun, pasaran masih perlu berhati-hati kerana perjanjian ini perlu mendapat persetujuan Parlimen UK terlebih dahulu, sebelum ia benar-benar sah di sisi undang-undang Britain.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker mengumumkan kata sepakat bersama UK pada Khamis hanya beberapa jam sebelum berlangsungnya perhimpunan pemimpin EU di Brussels. Juncker dalam satu kenyataan pada Khamis menggesa ahli-ahli EU untuk menyokong perjanjian ini, sekaligus menamatkan ketidaktentuan Brexit yang berlangsung sejak tiga tahun lalu.

“Di mana ada kemahuan di situ ada perjanjian. Ia adalah satu perjanjian yang adil dan saksama antara UK dan EU,” demikian kata pemimpin tertinggi Kesatuan Eropah itu melalui akaun Twitter peribadi miliknya.

Kandungan penting dalam perjanjian baru ini iaitu kajian semula terhadap isu penting di Ireland dan Ireland Utara masih perlu dipersetujui secara formal oleh ahli EU, Parlimen EU dan UK. Di pihak Eropah, ia sudah pasti diluluskan dan halangan ketika ini adalah Parlimen UK.

Dengan berbaki hanya dua minggu sebelum tercetusnya Artikel 50, masa semakin suntuk untuk semua pihak di Eropah meneruskan perbalahan dalam isu sempadan Ireland yang menjadi halangan besar kepada perjanjian sejak tahun 2018.

Perdana Menteri UK, Boris Johnson turut menggesa Parlimen UK menyokong perjanjian baru itu agar kerajaan dapat mengalihkan tumpuan kepada isu rakyat seperti kos sara hidup dan perdagangan antarabangsa.

Penyelesaian Dalam Isu Utama Sempadan Ireland

Sabtu (19 Oktober 2019) ini akan menjadi penentu sama ada perjanjian ini sah di sisi undang-undang Britain. Parlimen UK telah beberapa kali menolak perjanjian Brexit sebelum ini sejak Britain dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Theresa May.

Halangan terhadap perjanjian Brexit semasa era Theresa May banyak berpusat kepada isu sempadan antara Ireland (Negara merdeka sebahagian daripada EU) dan Ireland Utara (Sebahagian daripada UK). Hal ini merujuk kepada klausa ‘backstop’ iaitu satu jaminan di antara dua pihak, di mana sempadan kedua-dua wilayah akan terus dibuka tanpa sebarang pemeriksaan oleh pihak berkuasa jika rundingan di antara UK-EU gagal.

Bukan itu sahaja, klausa ini juga akan mengekalkan UK di dalam blok Eropah selepas tarikh akhir Brexit kecuali UK dapat memastikan tiada ‘Hard-Border’ di sempadan Ireland Utara.

Sebahagian penentang daripada pihak kerajaan sendiri menyatakan kebimbangan di mana UK berkemungkinan jatuh ke dalam perangkap peraturan perdagangan EU. Selain daripada itu, mereka juga berpendapat Ireland Utara juga mungkin terikat dengan perundangan Kesatuan Eropah.

Oleh itu, dalam perjanjian baru yang dipersetujui pada Khamis menunjukkan Johnson mencadangkan alternatif baru kepada klausa ‘backstop’ yang telah dipersetujui antara Kerajaan Theresa May dan EU sebelum ini.

Dalam perancangan baru ini, Johnson mencadangkan Ireland Utara kekal di dalam UK tetapi tarif akan dikenakan kepada barangan dari tanah besar Britain yang merentas wilayah itu untuk memasuki negara Ireland dan pasaran tunggal EU.

Dapatkah Boris Johnson Memenangi Undian Parlimen UK?

Untuk memenangi undian sekaligus mengesahkan perjanjian terbaru ini di pihak kerajaan UK, Boris Johnson memerlukan 320 undi. Dengan hanya 287 perwakilan dari Parti konservatif, Perdana Menteri UK ini perlu meyakinkan kesemua mereka untuk menyokong perjanjian baru ini.

Jika Parti Kesatuan Demokratik Ireland Utara (DUP) menyokong pihak kerajaan, maka Johnson memerlukan 23 bekas ahli perwakilan Parti Konservatif yang kini ahli bebas untuk menyokong cadangan baru itu. Kebanyakan daripada mereka dijangka akan menyokong tetapi bukan kesemuanya.

Ia masih lagi belum mencukupi, dan Perdana Menteri juga memerlukan sokongan daripada perwakilan pembangkang (Parti Buruh). Pada bulan Mac 2019 yang lalu apabila perwakilan mengundi perancangan Brexit oleh Theresa May buat kali ketiga, lima daripada perwakilan Buruh menyokong cadangan itu dan juga dua perwakilan bebas bekas Parti Buruh.

Namun, kali ini ia sukar untuk dijangka berikutan Parti DUP dilaporkan enggan menyokong perjanjian baru ini. Dengan bantahan DUP, ia menyukarkan kerajaan untuk mendapat undian majoriti mudah.

Sumber DUP memaklumkan ia tidak dapat menyokong isu kastam dan pengaturan cukai jualan, kerana ia bakal termaktub di bawah peraturan EU walaupun Ireland Utara kekal di dalam wilayah Britain.

Di antara kebimbangan lain dari pihak DUP adalah berkaitan pergerakan barangan perdagangan tidak kira ke mana destinasi barangan itu yang berkemungkinan tertakluk di bawah kekuasaan EU. Bermakna di sini, Kesatuan Eropah mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif atau sebaliknya; kepada barangan yang melalui sempadan di Ireland.

Dalam satu kenyataan lain, pemimpin pembangkang Jeremy Corbyn yang memimpin Parti Buruh, juga menolak perjanjian itu malah beliau mendakwa ia lebih buruk berbanding perjanjian dibuat terdahulu oleh Theresa May yang ditolak sebanyak tiga kali oleh Parlimen sebelum ini.

Dalam kenyataannya, Corbyn mahu rakyat diberikan peluang sekali lagi mengundi dalam undian awam (referendum) sama ada mahu kekal bersama (Bremain) atau keluar (Brexit) daripada EU.

Kesan Kepada Pasaran Saham dan Matawang United Kingdom

Isu Brexit adalah di antara risiko utama kepada perdagangan global kerana kapasiti United Kingdom sebagai ekonomi kelima terbesar dunia dan peranan pentingnya dalam Kesatuan Eropah.

Bank of England (BoE) menjangkakan pasaran akan hilang keyakinan terhadap Britain jika mereka keluar daripada EU. Ekonomi UK dijangka akan meleset 5% dalam masa setahun iaitu hampir dengan jumlah kemelesetan semasa krisis kewangan global tahun 2008. Pengeluaran ekonomi UK yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pula dijangka jatuh sebanyak 3%.

Dengan impak yang begitu besar kepada ekonomi, senario buruk Brexit akan menekan nilai mata wang Sterling. Sterling berbanding Dolar AS telah telah jatuh sebanyak 13% sejak referendum 2016. Jangkaan terkini menunjukkan Sterling berkemungkinan jatuh sehingga 25% menghampiri nilai Dolar AS jika UK keluar tanpa sebarang perjanjian dengan EU.

Sebaliknya, jika Parlimen UK meluluskan cadangan kerajaan; ia dijangka akan melonjakkan matawang Sterling.

Pound yang lemah akan meningkatkan harga saham kebanyakan syarikat besar UK seperti British American Tobacco, Barclays, BHP dan TESCO. Majoriti syarikat yang berada di dalam indeks FTSE100 mendapat keuntungan daripada perniagaan mereka di luar negara, di mana kejatuhan nilai mata wang itu berupaya menolak indeks saham FTSE100 ke paras yang lebih tinggi.

Manakala, sebaliknya berlaku kepada syarikat dalam indeks FTSE250 kerana hasil yang kebanyakannya diperolehi dari dalam negara dan kecenderungan syarikat-syarikat ini mengimport barangan dari luar negara akan meningkatkan kos pengeluaran jika ianya dibeli dari Eropah.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.bloomberg.com/news/articles/2019-10-17/eu-and-u-k-reach-agreement-to-put-brexit-within-johnson-s-grasp
  2. https://www.aljazeera.com/news/2019/10/eu-juncker-brexit-deal-agreed-191017094418680.html
  3. https://www.sinarharian.com.my/article/52637/GLOBAL/UKEU-capai-perjanjian-Brexit-baharu
  4. https://www.bbc.com/news/uk-politics-50079385
  5. https://www.investing.com/news/stock-market-news/futures-rise-on-brexit-deal-netflix-morgan-stanley-earnings-adds-to-cheer-1998084
  6. https://thepublicsradio.org/article/boris-johnson-gets-eu-brexit-deal-next-hurdle-is-parliament

Ditulis oleh Roland Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend