Pelaburan Saham vs Hartanah. Ini 9 Perbandingannya

Tidak kisah samada anda memilih pelaburan saham atau pun hartanah, kedua-duanya mempunyai objektif yang sama iaitu mendapat keuntungan maksimum hasil daripada pelaburan.

Akan tetapi, bila mana pelaburan saham dan pelaburan hartanah ini dibandingkan, ‘gaduhnya’ tidak akan berkesudahan kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

Dengan hampir 689 saham syarikat patuh syariah di Bursa Malaysia setakat Mei 2019, pelaburan saham telah menjadi pilihan hampir 900,000 Bumiputera di Malaysia pada tahun 2018.

Baca : 22 Hartawan Bumiputera Yang Kaya-Raya di Bursa Malaysia

“Ada orang kata kalau nak untung cepat labur saham, nak untung banyak tapi lama labur hartanah. Betul ke..?”

Terlalu banyak cara kiraan yang kompleks dan nombor yang terlibat untuk benar-benar menyukat kebenaran di sebalik stigma ini.

Oleh yang demikian, dalam artikel ini kami akan kongsikan perbandingan yang jelas akan perbezaan dua instrumen pelaburan ini.

Pelaburan Saham VS Pelaburan Hartanah

1. Pendidikan

Saham : Untuk mahir dan benar-benar membuat duit dalam pelaburan saham, anda bukan sahaja memerlukan pengalaman. Anda perlu mempunyai kepakaran untuk membaca penyata kewangan syarikat dengan baik, teori asas pelaburan saham dan isu-isu semasa yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi serantau dan global.

Hartanah : Secara teorinya, anda hanya perlu mempunyai ilmu pengurusan kewangan yang baik dalam memastikan permohonan pembiayaan anda lulus.

Selain daripada itu, anda juga perlu mempunyai ilmu dalam membuat kajian akan lokasi strategik dalam pelaburan hartanah dan jangkaan keuntungan hasil sewaan.

Baca : Senarai Semak Dokumen Permohonan Pembiayaan Rumah

2. Modal Permulaan

Saham : Dengan modal serendah RM10, anda sudah boleh membuka akaun dagangan saham (akaun CDS).

Dan untuk mula melabur dalam saham di Bursa Malaysia, minima 100 unit saham atau 1 lot dengan modal sekitar RM100 sahaja dah boleh mula beli pelbagai jenis saham yang ditawarkan di Bursa Malaysia.

Hartanah : Modal permulaan pelaburan hartanah rata-rata memulakan modal yang bermula dengan 5 angka.

Logiknya, hartanah yang baik dan strategik di Lembah Klang berada dalam lingkungan harga RM300,000 – RM500,000.

Oleh itu, anda perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM30,000 – RM50,000 sebagai deposit dan kos ini tidak termasuk kos guaman dan S&P.

3. Kadar Turun Naik

Saham : Kadar turun naik saham adalah sangat pantas dan tinggi. Anda boleh untung RM0.50 sen pada jam 11.00AM dan rugi RM0.60 pada jam 11.05AM dan kadangkala lebih pantas dari itu!

Nak buat duit di pasaran saham sememangnya hanyalah untuk mereka yang “berjiwa besar”, dan sanggup rugi 9 kali sebelum untung selepas 10 kali percubaan.

Baca : Senarai Terkini Saham Syarikat Patuh Syariah di Bursa Malaysia Mei 2019

Hartanah : Berbeza pula dengan hartanah yang menyaksikan purata kadar turun naik adalah lebih lambat berbanding saham.

Untuk sebuah projek hartanah itu menikmati peningkatan harga, sekurang-kurangnya memerlukan 15-20 tahun untuk lokasi tersebut matang dan dilengkapi booster hartanah yang lain.

4. Aliran Tunai Bulanan

Saham :  Keuntungan daripada pelaburan saham datangnya daripada dua sumber. Pertama hasil daripada penjualan unit saham anda apabila harganya meningkat untuk satu tempoh masa.

Kedua, melalui bayaran dividen yang akan dibayar secara terus ke dalam akaun anda. Sebahagian daripada syarikat di Bursa Malaysia membayar dividen sebanyak 4 kali setahun.

Hartanah : Anda mendapat aliran tunai yang positif apabila menyewakan hartanah anda dan juga apabila penyewa membayar sewa tepat pada masanya.

Sewa yang diterima juga harus lebih daripada ansuran bulanan bank untuk anda menikmati keuntungan daripada pelaburan hartanah.

Baca : Apa Yang Anak Muda Fikir Bila Sebut Tentang Rumah Pertama

5. Sejarah Pulangan Keuntungan

Saham : Sejarah pulangan bagi saham di Malaysia termasuk dividen yang standard adalah sekitar 7% – 8%.

Namun begitu, jika anda mempunyai ilmu dan pengetahuan yang lebih tentang saham, anda mampu mendapat pulangan sehingga 10% – 15%.

Hartanah : Sangat bergantung kepada lokasi di mana anda boleh mendapat 5% – 10% pulangan hanya jika anda berjaya mendapat untung sewaan setiap bulan.

6. Bayaran / “Cash Out”

Saham : Pada kebiasaannya, dividen saham dibayar tepat pada masanya oleh syarikat. Keuntungan lepas menjual pegangan saham pula akan terus masuk ke dalam akaun bank dalam tempoh 1-2 hari bekerja.

Hartanah : Anda mendapat bayaran hanya apabila hartanah disewakan dan penyewa membayar kadar sewa pada masa yang ditetapkan.

Baca : Pindah Saham Dengan 3 Langkah Mudah Menggunakan Bursa Anywhere

7. Kerja Fizikal

Saham : Dalam pelaburan saham, kerja fizikal yang anda perlu lakukan hanyalah membaca berita, laporan kewangan dan membuat analisa.

Hartanah : Amat berbeza dengan saham di mana, pelaburan hartanah memerlukan anda untuk melakukan beberapa kerja fizikal seperti melakukan renovasi, melakukan pembaikan paip, elektrik dan juga iklan untuk di sewakan kepada umum.

8. Hutang

Saham : Tidak perlu berhutang untuk memulakan pelaburan saham kerana modalnya yang sangat rendah.

Hartanah : Adalah mustahil sama sekali untuk anda membuat pelaburan hartanah tanpa membuat hutang pinjaman hartanah daripada institusi kewangan.

Anda wajib membayar ansuran pembiayaan bulanan untuk memiliki hartanah tersebut. Namun, dengan strategi yang betul, anda mampu menjadikannya hutang yang baik sebagai salah satu sumber aliran pendapatan anda.

Baca : 4 Pasaran Saham Terbesar Dunia, Malaysia Kat Mana?

9. Kecairan Aset

Saham :  Aset saham sangat mudah untuk dicairkan dan mengambil masa beberapa hari untuk dicairkan.

Hartanah : Adalah mustahil untuk mencairkan aset yang berharga ratusan ribu ringgit dalam masa yang singkat.

Untuk menjual sebuah unit hartanah dengan bantuan ejen hartanah sekalipun, proses ini berkemungkinan memakan masa antara 6 bulan hingga bertahun-tahun lamanya.

Melainkan anda menjual hartanah tersebut di bawah harga pasaran, anda mungkin dapat menjualnya dalam masa beberapa minggu sahaja.

Saham Atau Hartanah?

Untuk pelaburan jangka panjang, hartanah sememangnya tidak dapat disangkal merupakan instrumen pelaburan yang paling ideal dan praktikal.

Anda mungkin boleh mulakan dengan pelaburan saham dan gunakan dividen hasil pelaburan sebagai deposit 10% untuk membuat pelaburan hartanah pula. Apapun, kedua-duanya mempunyai risiko, kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Terpulang kepada anda untuk mencipta kekayaan dari instrumen yang mana.

Ditulis oleh Mehmed Aezhad, beliau merupakan seorang Digital Marketing Specialist yang berpengalaman luas dalam bidang pemasaran digital hartanah.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Minat Nak Jadi Remisier? Begini Caranya

Sebelum ini kami ada cerita serba sedikit tentang Best Ke Jadi Remisier? Kita dapat tahu kelebihan menjadi seorang remisier, selain daripada berkongsi ilmu dapat juga menjana pendapatan yang lumayan.

Malah Master Yus yang dahulunya dikenali sebagai seorang perempit di litar bursa, kini telah maju selangkah lagi untuk menjadi seorang remisier. Ikuti kisah beliau yang penuh inspirasi di Kisah Perempit Di Litar Bursa Kepada Seorang Remisier.

Berminat untuk menjadi remisier? Langkah pertama adalah memahami keperluan pelesenan, kelayakan dan peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Eh, nampak macam mudah je kan? Mesti kacang putih punya.

Berkenalan Dengan Suruhanjaya Sekuriti Terlebih Dahulu

Untuk menjadi seorang remisier, kita perlu tahu dulu siapa itu Suruhanjaya Sekuriti. Kalau berkaitan bank, simpanan dan takaful kita ada Bank Negara Malaysia (BNM), kalau berkaitan bank pelaburan dan pelaburan pula kita ada Suruhanjaya Sekuriti atau Securities Commission (SC).

Siapakah Securities Commission (SC)?

Sumber gambar: The Malaysian Reserve

Untuk itu, kita rujuk kepada laman web SC untuk tahu lebih lanjut:

Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, SC merupakan badan statutori biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:

  • Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
  • Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;
  • Meluluskan terbitan bon;
  • Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan derivatif;
  • Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;
  • Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen;
  • Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
  • Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.

Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan derivatif di Malaysia.

Perhatikan tiga point yang terakhir tersebut, betapa pentingnya SC menitikberatkan bab lesen di dalam industri pelaburan di Malaysia.

Aktiviti Yang Memerlukan Lesen Di Malaysia

Sumber: Licensing Handbook mukasurat 10 – fail PDF

Tengok betul-betul lapan aktiviti yang digariskan oleh SC seperti di atas. Nak berurusan dengan sekuriti (saham, waran, REIT, ETF dan bon) kita kena jadi seorang remisier yang berdaftar dengan SC. Nak jual unit trust atau amanah saham pun kena daftar juga tau. Kalau nak promote dan jual Skim PRS atau Private Retirement Scheme pun kena daftar dengan SC.

Ada Syarat Nak Jadi Remisier?

Ya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi remisier atau wakil berlesen bagi aktiviti dealing in securities.

Antara syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ialah:

  1. Berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.
  2. Memenuhi kriteria fit and proper yang ditetapkan oleh SC.
  3. Memenuhi keperluan kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang berkaitan.
  4. Lulus kombinasi modul peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan bagi aktiviti dealing in securities.

Untuk mengetahui kombinasi modul peperiksaan yang diperlukan, anda boleh merujuk kepada panduan modul peperiksaan CMSRL mengikut aktiviti.

Nota: Panduan modul peperiksaan ini disediakan oleh SIDC Prep, sebuah platform persediaan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Maklumat ini disediakan untuk tujuan rujukan sahaja. Calon hendaklah merujuk kepada sumber rasmi SC bagi mendapatkan keperluan pelesenan terkini.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan pelesenan boleh dirujuk dalam Licensing Handbook Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Untuk memohon lesen sebagai wakil berlesen dalam aktiviti dealing in securities, calon perlu memenuhi kriteria kelayakan akademik, pengalaman dan kompetensi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Bagi keperluan peperiksaan, calon perlu lulus kombinasi modul SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan, antaranya:

  • Modul 6 dan Modul 7
  • Modul 6 dan Modul 18
  • Modul 7 dan Modul 17
  • Modul 17 dan Modul 18

Keperluan sebenar tertakluk kepada kategori aktiviti terkawal dan kriteria pelesenan semasa SC. Calon disarankan merujuk Licensing Handbook terkini sebelum membuat permohonan.

Nak Jadi Remisier? Ini Modul Peperiksaan SCLE Yang Perlu Anda Lulus

Kebanyakan calon yang ingin menjadi remisier memilih untuk mengambil Modul 6 dan Modul 7. Tetapi, apakah yang dipelajari dalam kedua-dua modul ini?

Modul 6 – Stock Market and Securities Law (Pasaran Saham dan Undang-undang Sekuriti)

Modul 7 – Financial Statement Analysis and Asset Valuation (Analisis Penyata Kewangan dan Penilaian Aset)

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk calon warganegara Malaysia, termasuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Calon boleh merujuk laman rasmi SIDC untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai struktur yuran, bahan pembelajaran dan peperiksaan.

Dah Pergi Kelas, Ambil Peperiksaan Pula

Selepas mengikuti kelas persediaan dan membuat ulang kaji, calon perlu menduduki peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) bagi modul yang ditetapkan.

Kedua-dua Modul 6 dan Modul 7 mengandungi 60 soalan objektif (Multiple Choice Questions atau MCQ) yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit.

Dengan markah lulus sebanyak 60%, calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 36 daripada 60 soalan dengan betul untuk lulus peperiksaan bagi setiap modul.

Walau bagaimanapun, calon disarankan menyemak format dan struktur peperiksaan terkini melalui laman rasmi SIDC sebelum menduduki peperiksaan.

Yuran Peperiksaan

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul, untuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Struktur yuran ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027. Oleh itu, calon perlu mengambil kira kos peperiksaan bagi setiap modul sebelum membuat persediaan untuk mendapatkan lesen dalam industri pasaran modal.

Sumber rasmi: SIDC – The SC Licensing Examinations

Senang Ke Nak Lulus?

Prestasi kelulusan berbeza mengikut modul dan tahun. Calon boleh meneliti kadar kelulusan terdahulu sebagai salah satu rujukan untuk merancang persediaan peperiksaan.

Sumber: Kadar kelulusan mengikut modul, 2015–2024

Nota: Maklumat kadar kelulusan peperiksaan ini dirujuk daripada SIDC Prep, sebuah laman latihan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Data disediakan untuk tujuan maklumat dan rujukan sahaja

Didoakan supaya anda berjaya menjadi seorang remisier, dan menjadi seorang pendidik bagi membantu lebih ramai orang terbuka mata tentang pelaburan saham patuh syariah di Malaysia.

Memang nampak macam senang, tetapi realitinya kita perlu bersabar kerana ianya mengambil masa beberapa bulan juga, daripada saat pergi ke kelas, belajar daripada buku, ambil exam olok-olok, ambil exam sebenar, dan akhirnya dapat sijil mengatakan “Tahniah, Anda Lulus”!

Soalan Lazim Tentang Cara Menjadi Remisier

1. Berapa umur minimum untuk menjadi remisier?

Calon perlu berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

2. Adakah wajib lulus Modul 6 dan Modul 7?

Tidak semestinya. Terdapat beberapa kombinasi modul SCLE yang dibenarkan bagi aktiviti dealing in securities, tertakluk kepada keperluan pelesenan SC.

3. Berapakah yuran peperiksaan SCLE pada tahun 2026?

Bagi calon warganegara Malaysia, yuran peperiksaan ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk tempoh 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027.

4. Berapa soalan dalam peperiksaan Modul 6 dan Modul 7?

Setiap modul mengandungi 60 soalan objektif yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit. Markah lulus ialah 60%, bersamaan sekurang-kurangnya 36 jawapan betul.

5. Berapa lama masa diperlukan untuk menjadi remisier?

Tempoh bergantung kepada persediaan calon, jadual peperiksaan, kelulusan modul dan proses permohonan lesen. Tiada satu tempoh tetap yang terpakai kepada semua calon.