MTA, INCEIF University Akan Bangunkan Maqasid Al-Shariah Untuk Takaful

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) — Persatuan Takaful Malaysia (MTA) bekerjasama dengan INCEIF University untuk membangunkan kad skor Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang pertama untuk takaful berdasarkan Maqasid al-Shariah (objektif Shariah) melalui penyelidikan dipacu industri.

Pengerusi MTA Elmie Aman Najas berkata kad skor itu akan membolehkan industri takaful Malaysia mengukur prestasi perniagaan dan bukan perniagaan mereka dengan tepat berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran yang jelas serta garis masa.

“Ia juga akan memudahkan pematuhan Maqasid al-Shariah dan menambah baik dalam membuat keputusan, perancangan strategik, pelaporan lanjutan dan ketelusan yang lebih baik,” katanya pada majlis menandatangani kerjasama antara MTA dan INCEIF University di sini, hari ini.

Elmie berkata penyelidikan itu akan mengenal pasti KPI untuk kad skor, memperkenalkan petunjuk berwajaran risiko yang mendasari kad skor untuk takaful dan seterusnya mengukur kesan kad skor VBIT pada perniagaan, tawaran dan produk takaful terpilih.

Daripada perspektif makro, beliau berkata kad skor itu akan menampilkan industri takaful tempatan sebagai peneraju global dalam mengoperasikan konsep Maqasid al-Shariah dalam produk dan penawaran takaful dan takaful semula dan mempertingkatkan persempadanan antara insurans konvensional dan takaful dari segi cadangan nilai, pembezaan produk dan impak sebenar.

Elmie berkata 2022 merupakan tahun yang penting bagi industri tersebut kerana ia mengguna pakai pelancaran Pelan Induk Sektor Kewangan Malaysia 2022-2026 Bank Negara Malaysia pada Januari dan pelan hala tuju VBIT industri pada Oktober.

MTA dalam satu kenyataan berasingan berkata kedua-dua rangka kerja itu menetapkan hala tuju strategik, aspirasi dan inisiatif yang akan dicapai oleh industri dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah INCEIF University Tan Sri Azman Mokhtar berkata kerjasama dalam membangunkan kad skor itu akan menyumbang kepada pencapaian hasil yang diingini dalam industri takaful dan wawasan ekonomi Malaysia.

“Walaupun industri takaful di Malaysia telah mencapai kemajuan baharu dalam pertumbuhan aset dan penembusan pasaran, keperluan untuk memastikan cadangan nilai takaful iaitu ta’wun (kerjasama) dan perlindungan lima (matlamat) Maqasid al-Shariah iaitu agama, diri sendiri, intelektual, zuriat dan kekayaan adalah penting,” katanya.

“Bagi pengendali takaful dan takaful semula, kad skor akan memberi manfaat kepada mereka dalam pelbagai cara dan membawa cadangan nilai takaful/takaful semula ke tahap kemampanan yang lebih tinggi.

“Jika kad skor sudah siap, lebih banyak yang boleh kita ukur, lebih banyak kita boleh bersetuju dengan standard dan memahami Islam dan pemikiran Islam,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/mta-inceif-university-akan-bangunkan-maqasid-al-shariah-untuk-takaful/

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih Takaful Malaysia Susut Kepada RM83.82 Juta Pada Suku Kedua 2025

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) mengecil kepada RM83.82 juta pada suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2025 daripada RM93.10 juta pada suku kedua 2024.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perolehan meningkat kepada RM1.01 bilion daripada RM998.07 juta sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh perniagaan Takaful Keluarga.

Mengenai prospek, Takaful Malaysia menjangkakan permintaan terhadap takaful dan insurans akan kekal kukuh memandangkan masih wujud jurang perlindungan yang berterusan.

“Perniagaan teras kumpulan dalam Bancatakaful, Perbendaharaan, Faedah Pekerja dan Takaful Am merupakan pemacu utama kejayaan kami sebagai peneraju dalam industri Takaful dan kami terus melihat permintaan yang baik dalam segmen-segmen ini,” katanya.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, keuntungan bersih syarikat berkurang kepada RM178.36 juta daripada RM195.40 juta dalam separuh pertama 2024 manakala perolehan berkembang kepada RM2.14 bilion daripada RM1.96 bilion sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nor Azman Zainal berkata dengan perniagaan teras yang diperkukuh, syarikat berada dalam kedudukan yang baik untuk mengharungi baki tahun ini dengan penuh ketangkasan.

“Inovasi berteraskan pelanggan, pemerkasaan digital serta integrasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan terus menjadi tunjang strategi kami bagi menyampaikan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan sambil menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi Malaysia dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

— BERNAMA