Bagaimana Hibah Membantu Anda Mengurus Harta Dengan Cepat

Mungkin tidak ramai yang tahu tentang Hibah jika hendak dibandingkan dengan Wasiat. Namun, Hibah bukanlah sesuatu yang baru dalam kewangan Islam. Ianya sudah lama diperkenalkan, cuma mungkin ramai yang belum mendapat peluang untuk mengenalinya dengan lebih dekat.

Dalam Islam, seseorang idividu itu berhak untuk memberikan separuh atau pun seluruh hartanya kepada orang lain dengan kerelaan hatinya tanpa paksaan ketika dia masih hidup. Pemberian inilah yang dikenali sebagai Hibah, yang juga bermaksud hadiah. Ianya terserah kepada pemberi Hibah itu untuk menghadiahkan kepada sesiapa sahaja yang diingininya.

Berbeza pula dengan Wasiat di mana ianya dilaksanakan setelah seseorang itu meninggal dunia. Bahagian untuk ibu bapa, isteri, anak-anak dan sebagainya telah pun ditetapkan. Manakala, pembahagian harta juga perlu mendapatkan persetujuan daripada kesemua waris yang ada.

Di sinilah kita dapat lihat bagaimana hibah dapat membantu menguruskan harta dengan lebih cepat.

1. Pelan Pendidikan

Pemberi Hibah iaitu ibu bapa yang merupakan sebagai pembayar caruman dan penerima hibah iaitu anak-anaknya. Ini bagi memastikan pendidikan anak-anak tidak terabai walau apa pun yang terjadi.

Ada juga sesetengah pelan Takaful yang memberikan Hibah kepada pesertanya sebagai bentuk ganjaran di atas kejayaan mereka dalam peperiksaan. Ini bagi menggalakkan anak-anak untuk berjaya dalam pendidikan.

Sememangnya Islam sangat menitikberatkan betapa pentingnya pendidikan dalam kehidupan kita.

2. Manfaat Takaful

Manfaat akan diterima oleh waris sekiranya peserta mengalami kemalangan atau pun musibah sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa atau hilang keupayaan untuk kerja. Jika ini berlaku, jumlah perlindungan akan dihibahkan (dihadiahkan) kepada waris peserta.

Contoh yang sangat mudah anda lihat, jika seorang suami telah menghibahkan keseluruhan manfaat Takafulnya kepada isterinya, maka hanya isterinya sahaja yang akan mendapat keseluruhan manfaat Takaful tersebut.

Ini kerana, penamaan hibah telah dibuat ketika si suami masih hidup. Manfaat yang telah diterima oleh si isteri pula adalah mengikut kepada konsep hibah bersyarat.

Namun sekiranya si isteri adalah hanya sebagai pemegang amanah kepada manfaat Takaful tersebut, maka si isteri bertanggungjwab sepenuhnya untuk memberikan jumlah perlindungan tersebut mengikut kepada cara Faraid.

Hibah Lebih Cepat Dapat Daripada Wasiat

Tak perlu tunggu sampai kita tiada lagi, baru nak mulakan proses pengagihan harta. Ini kerana proses Wasiat akan memakan masa sedikit untuk diselesaikan dan kemudian baru ianya diagihkan.

Ada yang makan masa sampai 2-3 tahun. Sebelum tu nak balu dan anak nak guna duit apa? Bila buah hibah nilai tu 100% tak boleh dicabar. Sebab itu hadiah. Waris lain tak boleh tuntut.

Jika kita mempunyai tanggungan yang harapkan wang dengan cepat bagi meneruskan kehidupan, Hibah dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Kalau nak tahu dengan lebih mendalam, jemput baca Yang Mana Satu: Hibah Atau Wasiat? Bahagian 1 dan Bahagian 2.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Takaful vs Insurans Kereta: Adakah Duit Kita ‘Hangus’ Kalau Tak Pernah Kemalangan?

Setiap tahun, pemilik kenderaan di Malaysia wajib memperbaharui cukai jalan dan perlindungan kenderaan. Namun, masih ramai yang keliru atau sekadar “ikut kawan” tanpa memahami perbezaan antara Takaful dan Insurans Konvensional.

Ramai pemilik kereta sebut “Nak renew insurans kereta lah,” tapi sebenarnya mereka nak renew Takaful. Sebaliknya, ada juga yang ingat semua perlindungan kereta di Malaysia ini automatik patuh syariah atau berkonsepkan Takaful.

Realitinya tidak. Ini cara mudah untuk anda bezakan:

Lihat nama produk: Jika namanya ada perkataan “Takaful” (contoh: Takaful Ikhlas, Syarikat Takaful Malaysia, Etiqa Takaful), maka ia adalah produk patuh syariah. Jika namanya hanya “Insurance” atau “Insurans” (contoh: Allianz Insurance, MSIG Insurance, Lonpac Insurance), itu adalah produk konvensional.

Ini kerisauan paling popular yang bermain di minda pemilik kereta. Ramai yang bertanya:

“Kalau aku bayar Takaful tapi tak pernah kemalangan, bukan ke duit tu hangus macam tu saja? Apa faedah yang aku dapat?”

Jom kita bedah perbezaan ini supaya anda tidak lagi rasa rugi.

1. Niat & Akad: Jual Beli vs Tolong-Menolong

Perbezaan paling besar bukan pada harganya, tetapi pada kontrak (akad) di belakang tabir.

  • Insurans Konvensional: Menggunakan akad Mu’awadah (pertukaran komersial). Anda bayar premium kepada syarikat untuk “membeli” pampasan. Isunya, ia mengandungi unsur Gharar (ketidaktentuan) dan Maysir (seperti perjudian) kerana jika tiada kemalangan, syarikat ambil semua duit anda sebagai untung.
  • Takaful: Menggunakan akad Tabarru’ (derma). Sebahagian wang sumbangan anda dimasukkan ke dalam “Dana Risiko Peserta”. Niat anda adalah untuk menghibahkan (mendermakan) wang tersebut bagi membantu peserta lain yang ditimpa musibah.

2. Dilema “Duit Hangus”: Benarkah Tiada Langsung Faedahnya?

Jika sepanjang tahun kereta anda selamat dan tiada tuntutan (claim) dibuat, adakah anda rugi? Dari sudut Takaful, jawapannya adalah TIDAK.

Manfaat dari Sudut Rohani (Pahala)

Oleh kerana akadnya adalah derma untuk menolong orang lain (konsep Ta’awun), setiap sen yang anda bayar dikira sebagai amal jariah. Anda mendapat “manfaat ukhrawi” kerana membantu membiayai kos pembaikan kereta orang lain yang ditimpa malang.

Manfaat Perlindungan (Peace of Mind)

Anggaplah Takaful seperti mengupah pengawal keselamatan. Jika rumah anda tidak dirompak sepanjang tahun, adakah gaji pengawal itu dianggap hangus? Tidak, kerana anda telah mendapat manfaat perlindungan dan ketenangan jiwa sepanjang tempoh tersebut.

3. Kelebihan Yang Tiada Pada Insurans

Ini adalah bonus yang ramai orang terlepas pandang. Dalam insurans konvensional, lebihan wang (setelah tolak kos tuntutan) akan menjadi milik pemegang saham syarikat sepenuhnya.

Namun dalam Takaful:

  1. Jika dana risiko mempunyai lebihan (surplus) di akhir tahun, ia adalah milik kolektif peserta.
  2. Bergantung kepada polisi syarikat, lebihan ini boleh diagihkan semula kepada peserta yang tidak membuat tuntutan.
  3. Walaupun jumlahnya tidak menentu, ia merupakan satu pulangan tunai (cashback) yang adil berbanding insurans biasa.

Kesimpulan

Jangan lihat sumbangan Takaful sebagai satu perbelanjaan yang lebur begitu sahaja. Sebaliknya, lihatlah ia sebagai simpanan amal yang memberi anda ketenangan fikiran (peace of mind). Dalam Takaful, kalau tak kena musibah, kita dapat pahala menolong orang; kalau kena musibah, orang lain pula bantu kita. Adil dan berkat, bukan?

Memilih Takaful adalah satu langkah pengurusan risiko yang lebih efisien. Selain daripada perlindungan kenderaan yang komprehensif, anda juga berpeluang menikmati agihan lebihan (surplus) jika dana mencukupi. Ia adalah situasi win-win di mana risiko dikongsi bersama dan keuntungan bukan lagi milik mutlak syarikat semata-mata.