QSR Brands Nak Disenaraikan Di Bursa Malaysia

QSR Brands (M) Holdings Bhd, pengendali restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia akan meneruskan untuk penyenaraian saham mereka di Bursa Malaysia melalui Initial Public Offering (IPO). Bagi yang tak tahu apa itu IPO, boleh rujuk artikel Jom Berkenalan Dengan IPO.

Menurut draf prospectus yang dihantar kepada Suruhanjaya Sekuriti semalam, QSR Brands menawarkan sejumlah 1.465 bilion saham melalui IPO.

Sumber: Securities Commission

Boleh juga muat turun prospektus tersebut di sini. – fail PDF 26.6MB
Perolehan daripada IPO tersebut akan digunakan untuk pengembangan perniagaan KFC dan Pizza Hut di seluruh negara dalam tempoh 12 bulan.

Syarikat dijangkakan akan mempunyai market cap sebanyak RM6 bilion sebaik sahaja IPO dijalankan.

Setakat hari ini, QSR Brands mengendali 810 cawangan KFC dan 467 cawangan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Kemboja dan Brunei.

Perniagaan restoran menyumbang sebanyak RM4 bilion atau 87% daripada jumlah pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017. Keuntungan bersih bagi FY17 adalah sebanyak RM182.98 juta, dengan perolehan sebanyak RM4.56 bilion.

QSR Brands juga bercadang untuk memberi dividen sebanyak 30% ke 50% daripada keuntungan bersih tahunan sebagai dividen kepada para pelabur.

Sumber Rujukan: The Star Online

Rebutlah Peluang Beli IPO

Kenapa nak kena beli IPO ni? Sebab kalau ikut sejarah, sebanyak 10 IPO yang disenaraikan pada tahun 2017, 7 saham mencatatkan keuntungan dan 3 mencatatkan kerugian. Boleh baca lebih lanjut mengenainya di Prestasi IPO Bagi Tahun 2017. Ada Yang Harganya Naik 22% Selepas Sehari.

Jangan lupa baca:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

NPE Lancar Sukuk Berkaitan Kelestarian Pertama Bagi Projek Lebuh Raya, Cipta Penanda Aras Baharu Dalam Pembiayaan Infrastruktur Global

Kuala Lumpur, 9 Julai 2026New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE), anak syarikat milik penuh IJM Corporation Berhad (IJM), berjaya menerbitkan Sukuk Berkaitan Kelestarian (Sustainability-Linked Sukuk, SLS) di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islam (Islamic Medium Term Notes Programme) tanpa penarafan sehingga RM1.42 bilion nilai nominal, dengan terbitan awal berjumlah RM54 juta.

Terbitan perintis ini merupakan Sukuk Berkaitan Kelestarian pertama di dunia bagi projek lebuh raya yang menggabungkan sasaran prestasi kelestarian yang boleh diukur secara langsung dalam struktur pembiayaannya. Ia turut mencerminkan komitmen IJM dalam mengintegrasikan piawaian operasi serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang boleh diukur dalam pembangunan aset infrastrukturnya, di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam kewangan mampan dan kewangan Islam.

Dana yang diperoleh daripada SLS ini akan digunakan untuk membiayai pembinaan Sambungan Lebuhraya New Pantai (NPE2), iaitu lebuh raya bertingkat sepanjang 6.4 kilometer (kira-kira 15.8 kilometer termasuk laluan susur). Projek ini merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 dan akan menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam sedia ada ke Persimpangan Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra.

Apabila siap kelak, NPE2 akan meningkatkan kesalinghubungan antara lebuh raya NPE, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Laluan Istana-Kiara (LIKE) yang bakal dibina. Ia dijangka membantu melancarkan aliran trafik, meningkatkan akses ke pusat bandar Kuala Lumpur serta menyokong mobiliti bandar yang lebih cekap di koridor Pantai Dalam–Bangsar–Mahameru.

Pembinaan NPE2 dilaksanakan oleh IJM Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IJM, yang telah dianugerahkan kontrak reka dan bina projek tersebut pada November 2025. Projek kini berjalan mengikut jadual dan disasarkan siap menjelang penghujung tahun 2029.

Pembangunan lebuh raya bertingkat ini tidak melibatkan pengambilan tanah berskala besar. Selain itu, pelan pengurusan trafik dan keselamatan yang komprehensif akan dilaksanakan sepanjang tempoh pembinaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta meminimumkan gangguan kepada komuniti setempat.

Bahagian Tol dan Pembinaan IJM juga mengekalkan pensijilan ISO 45001:2018 dan ISO 14001:2015, yang mencerminkan pematuhan terhadap piawaian tinggi dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengurusan alam sekitar.

NPE2 akan menggabungkan pelbagai ciri pembinaan dan operasi yang mampan. Antaranya ialah penggunaan komponen struktur pratuang (precast), acuan keluli yang boleh diguna semula bagi mengurangkan penggunaan kayu, sistem penuaian air hujan serta aplikasi tenaga solar. Lebuh raya yang siap nanti turut dilengkapi sistem pencahayaan cekap tenaga bagi mengurangkan penggunaan tenaga operasi dalam jangka panjang.

SLS ini menggunakan struktur pembiayaan berasaskan prestasi yang berpandukan kepada dua Petunjuk Prestasi Utama (KPI), iaitu:

  • Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, diukur melalui Lost Time Injury Frequency Rate (LTIFR).
  • Pensijilan Infrastruktur Hijau.

Pensijilan yang disasarkan ialah Sustainable Infrastructure Rating Tool (INFRASTAR) dan Malaysia Green Highway Index (MyGHI), yang menilai prestasi projek infrastruktur dan lebuh raya berdasarkan faktor alam sekitar dan sosial seperti penggunaan tanah, pengurusan sumber serta sisa, di samping aspek kesihatan dan keselamatan.

Dengan mengaitkan sasaran kelestarian yang boleh diukur kepada hasil kewangan, sukuk ini meningkatkan akauntabiliti serta menggalakkan piawaian yang lebih tinggi dalam pembangunan infrastruktur.

Transaksi ini distrukturkan selaras dengan Prinsip Bon Berkaitan Kelestarian (Sustainability-Linked Bond Principles, SLBP) oleh International Capital Market Association (ICMA). Ia mengandungi KPI yang relevan serta Sasaran Prestasi Kelestarian (SPT) yang bercita-cita tinggi, sekali gus memastikan keserasian dengan piawaian antarabangsa serta meningkatkan kredibiliti, ketelusan dan keteguhan struktur SLS tersebut.

Maybank Investment Bank Berhad dan CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama Bersama, Pengatur Utama Bersama, Pengurus Utama Bersama serta Penasihat Bersama bagi Penstrukturan Kelestarian untuk transaksi ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Dato’ Lee Chun Fai, berkata:

“Sukuk Berkaitan Kelestarian bagi projek NPE2 distrukturkan berasaskan dua aspek yang menjadi teras kepada setiap projek IJM, iaitu keselamatan pekerja dan prestasi kelestarian. Menjadi projek lebuh raya pertama di dunia yang menerbitkan Sukuk Berkaitan Kelestarian dengan syarat sebegini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan akauntabiliti yang boleh diukur dalam pelaksanaan projek. NPE2 akan meningkatkan kesalinghubungan di Lembah Klang secara signifikan, dan melalui struktur pembiayaan ini kami turut memberi penekanan terhadap cara projek ini dilaksanakan dengan sasaran prestasi yang jelas.”

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Michael Oh-Lau, berkata:

“Komitmen NPE dalam membangunkan infrastruktur pintar dan bersedia untuk masa hadapan menetapkan penanda aras baharu bagi sektor pembinaan ASEAN serta menunjukkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian pembiayaan mampan yang inovatif. Sukuk Berkaitan Kelestarian ini mencerminkan inovasi berterusan dalam penstrukturan sukuk dan komitmen kami untuk memajukan kewangan mampan selaras dengan strategi ROAR30 Maybank.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Berhad, Nor Masliza Sulaiman, berkata:

“CIMB berbesar hati dapat menyokong inisiatif infrastruktur yang berpandangan jauh ini, yang bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan dan merangsang aktiviti ekonomi, malah mengurangkan impak terhadap alam sekitar serta menggalakkan amalan kerja dan mobiliti yang lebih selamat. Selaras dengan tujuan CIMB untuk Memajukan Pelanggan dan Masyarakat, kami akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memenuhi permintaan pelabur terhadap penyelesaian pembiayaan yang memberi impak bermakna, menggabungkan prinsip Syariah dan matlamat kelestarian dalam penciptaan nilai jangka panjang.”