4 Produk Keluaran Apple Yang Menemui Kegagalan

Kita sering disajikan dengan kejayaan Apple yang mampu mengubah dunia dengan produk yang ditawarkan mereka. Apple hanya mengeluarkan beberapa produk tetapi berjaya memenuhi citarasa orang ramai dengan tanda harga yang premium.

Mungkin ramai di antara yang kita tidak tahu sebenarnya bahawa Apple juga mempunyai produk yang tidak berapa menjadi. Jom kita tengok 4 produk keluaran Apple yang menemui kegagalan.

1. Apple 3

Apple 3 merupakan produk pertama keluaran Apple secara komersial yang telah gagal memenuhi permintaan pelanggan mereka. Dengan kejayaan yang diperolehi oleh produk mereka sebelum ini iaitu Apple 2, yang berjaya dijual dengan jumlah sebanyak 6 juta unit sepanjang tempoh penjualannya.

Kejayaan yang dimiliki oleh model komputer Apple 2 nampaknya tidak diwarisi oleh komputer Apple 3. Salah satu faktor utama yang menyebabkan komputer ini menemui kegagalan adalah disebabkan oleh idea Steve Jobs yang tidak masuk akal.

Steve Jobs yang terkenal dengan sifat yang keras kepala telah mengarahkan para juruteranya untuk tidak membuat kipas bagi  menyejukkan sistem yang terdapat di dalam komputer tersebut. Bagi Steve Jobs, dengan adanya kipas di dalam komputer; ianya akan membuat Apple 3 menjadi bising akibat pergerakan kipas tersebut.

Natijahnya, pelbagai cip elektronik telah cair akibat pemanasan yang begitu tinggi di dalam komputer tersebut. Kesan dari peristiwa itu, Apple terpaksa memanggil semula produk mereka di pasaran dan menggantikan sebanyak 14,000 unit kepada pelanggan mereka.

Ia adalah satu kerugian yang besar bagi Apple yang pada ketika itu, sedang berada dalam fasa perkembangan operasi syarikat.

2. Apple Lisa

Ianya merupakan sebuah komputer yang dikeluarkan oleh Apple pada tahun 1983. Komputer ini juga dikatakan sedikit kontroversi kerana ia dinamakan Lisa sempena anak perempuan Steve Jobs. Walaupun beliau tidak mengaku, tetapi banyak bukti yang menunjukkan sebaliknya.

Lisa merupakan komputer pertama di dunia yang dikeluarkan oleh Apple yang mempunyai GUI (graphical user interface). Komputer sebelum ini hanya menggunakan baris perkataan sahaja.

Komputer ini juga dilengkapi dengan tetikus (mouse) dan boleh dikatakan sebagai komputer yang mirip  kepada komputer moden. Nasib malang menemui komputer ini kerana ia dijual dengan harga yang tidak masuk akal iaitu dengan harga pengenalan $9,995 untuk satu unit.

Komputer ini juga mengalami nasib yang sama seperti Apple 3 yang mana akhirnya sebahagian besar unit yang dihasilkan tidak dapat dipasarkan dan akhir dilupuskan di pusat pelupusan sampah di Utah.

3. Apple Newton

Merupakan peranti pintar yang direka oleh pereka terkenal Apple iaitu Jony Ive. Ketika pengeluaran Apple Newton yang merupakan sebuah peranti PDA ini, Steve Jobs telah tidak bersama dengan Apple kerana telah dibuang daripada syarikat tersebut.

Pada masa ini, CEO Apple adalah John Sculley. Beliau yang menjangkakan Apple mampu untuk menjual PDA tersebut, kerana revolusi penggunaan PDA baru sahaja bermula pada era awal 1990-an.

Nasib malang menimpa peranti ini kerana alat ini hanya indah khabar daripada rupa. PDA ini tidak mampu untuk memberi fungsi yang sepatutnya. Apple Newton ini tidak mampu untuk mengesan tulisan tangan yang ditulis di permukaan skrin untuk ditukar kepada tulisan digital.

Jangkaan Sculley untuk menjual PDA ini sebanyak satu juta tidak kesampaian, kerana hanya mampu menjual sebanyak 50,000 unit sahaja.

Sekembalinya Steve Jobs pada tahun 1997, beliau telah mematikan divisyen yang mengeluarkan Newton. Beliau merupakan orang yang paling tidak suka mengunakan stylus dalam Apple.

Disebabkan itu jugalah, kita melihat iPhone tidak menggunakan stylus dan hanya mengguakan jari manusia sepenuhnya untuk beroperasi.

4. Macintosh TV

Ianya merupakan produk yang dikeluarkan juga dalam era Jonh Sculley sebagai CEO. Produk keluaran kali ini merupakan produk yang mana merupakan produk 2 dalam 1.

Apple telah gagal untuk menjual produk ini kerana pada masa tersebut, era TV digital belum lagi berkembang seperti sekarang. Ianya sebuah komputer yang boleh digunakan untuk menonton televisyen dan juga sebagai sebuah komputer.

Kekurangan yang ketara di dalam Macintosh TV adalah ia tidak boleh membuat dua kerja dalam satu masa. Jika komputer ini di dalam mode televisyen, ia tidak mampu untuk menjalankan tugas sebagai sebuah komputer. Ia agak leceh untuk restart komputer ini untuk bertukar ke mode komputer.

Dengan harga pengenalan sebanyak $2099, ia hanya mampu terjual sebanyak 10,000 unit sahaja sebelum diberhentikan pengeluaran. Lebih menyedihkan, ia hanya mampu bertahan selama 3 bulan dalam pasaran.

Walaupun mengalami kerugian yang besar dalam keempat-empat produk di atas, Apple merupakan syarikat pertama di dunia yang mencapai market capitalization sebanyak $1 trilion dolar. Mengikut mendiang Steve Jobs, untuk berjaya seseorang itu mestilah berani untuk jatuh.

Jika seseorang itu tidak berani untuk jatuh, maka dia tidak mungkin mampu untuk pergi jauh dalam hidupnya.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.