Covid-19: Hampir 10 Juta Rakyat Amerika Syarikat Hilang Pekerjaan Dalam Tempoh Dua Minggu

Jabatan Buruh Amerika Syarikat melaporkan pada Khamis (2 April 2020) bahawa jumlah tuntutan faedah pengangguran melonjak ke paras tertinggi 6.6 juta orang pada minggu berakhir 28 Mac.

Peningkatan ini adalah dua kali ganda berbanding tuntutan faedah pengangguran yang dicatatkan pada minggu sebelum itu sebanyak 3.28 juta permohonan pada minggu berakhir 21 Mac.

Jumlah Tuntutan Pengangguran Amerika Syarikat. Sumber: TRADINGECONOMICS | Jabatan Buruh AS

Laporan ini juga menunjukkan sejumlah 10.4 juta tuntutan yang direkodkan pada bulan Mac 2020. Jumlah ini lebih tinggi berbanding dengan jumlah pengangguran yang dicatatkan sepanjang tempoh ‘Great Recession’ antara tahun 2007 hingga 2009.

Wilayah yang paling banyak terjejas adalah Hawaii, Pennsylvania, Rhode Island, Washington dan Massachusetts dengan masing-masing mencatat jumlah tuntutan 73, 62, 50 dan 47  bagi setiap 1,000 orang pekerja. Daripada jumlah keseluruhan tuntutan pada minggu lepas, California adalah negeri paling banyak merekodkan jumlah pengangguran iaitu 878,000.

Pihak Jabatan Buruh dalam kenyataanya berkata pandemik Covid-19 terus memberi impak kepada jumlah tuntutan faedah pengangguran. Rata-rata pekerja yang diberhentikan memberi sebab yang sama iaitu kerana Covid-19 yang semakin menular.

Setakat pada hari Khamis jumlah kes positif yang direkodkan di Amerika Syarikat adalah 236,221 kes, paling tinggi di dunia diikuti Itali, Sepanyol, Jerman dan China di tangga kelima. Daripada jumlah itu, 5,780 kes kematian dicatatkan dengan jumlah pesakit yang pulih mencecah 10,324 orang.

Pertambahan jumlah kes Covid-19 di Amerika Syarikat. Sumber: worldometers

Pakar berpendapat jumlah sebenar adalah lebih besar kerana segelintir penuntut tidak berjaya membuat permohonan disebabkan jumlah trafik yang terlalu ramai dalam satu-satu masa.

Sebelum aktiviti ekonomi dihentikan di kebanyakan wilayah di Amerika Syarikat, jumlah tuntutan faedah pengangguran paling banyak dicatat adalah 695,000 pada tahun 1982. Jumlah tuntutan yang tertinggi semasa Great Recession pula adalah 665,000 pada bulan Mac 2009.

Walaubagaimanapun, perintah penjarakan sosial yang dikuatkuasakan telah menyebabkan peningkatan mendadak dalam jumlah pengangguran kerana kebimbangan penduduk dengan penularan koronavirus.

Kadar pengangguran semasa di Amerika Syarikat adalah 3.5% sebelum penularan Covid-19. Ia adalah kadar terendah yang pernah dicapai sejak 50 tahun yang lalu, menunjukkan pasaran buruh negara Uncle Sam ini berada di paras terbaik dalam sejarah.

Jika mengambil kira jumlah tuntutan pengangguran yang dicatatkan pada minggu lalu, ia adalah tambahan 6% kepada kadar pengangguran semasa. Maknanya di sini kadar pengangguran semasa di Amerika Syarikat kini berada di sekitar 10%, jika mengambil kira jumlah tuntutan pengangguran yang kini mencecah 10 juta dalam tempoh dua minggu.

Kadar Pengangguran Amerika Syarikat. Sumber: TRADINGECONOMICS | Biro Statistik Buruh AS

Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang banyak bergantung kepada perbelanjaan pengguna dengan kebergantungan yang tinggi terhadap sektor perkhidmatan sebanyak 70%. Bagi meningkatkan perbelanjaan domestik, pasaran buruhnya mestilah berada dalam keadaan optimum dengan kadar pengangguran tidak melebihi 5%.

Peningkatan mendadak dalam tuntutan faedah pengangguran jelas menunjukkan besarnya impak negatif yang dibawa oleh virus Covid-19 kepada ekonomi AS. Kerajaan persekutuan pimpinan Presiden Trump perlu mengagihkan rangsangan US$2 trillion kepada isirumah dan perniagaan bagi memastikan ekonomi terus berjalan.

Pakej rangsangan tersebut telah ditandatangani secara rasmi oleh Trump pada Jumaat lepas (27 Mac 2020) termasuk pemberian one-off sebanyak US$1,200 kepada ratusan jutaan rakyat di Amerika Syarikat dan juga tambahan US$600 kepada faedah pengangguran selama empat bulan.

Jumlah rangsangan itu mungkin tidak mencukupi, tetapi ia akan membantu dalam jangka pendek. Mereka yang telah kehilangan pekerjaan masih mendapat sumber kewangan untuk dibelanjakan kepada keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal.

Penganalisa ekonomi di Federal Reserve cawangan St. Louis mengunjurkan sejumlah 47 juta penduduk akan kehilangan pekerjaan menjelang akhir bulan Jun 2020 yang mana akan membawa kadar pengangguran ke paras 32.1%. Situasi ini juga sangat berbeza dengan kemelesetan ekonomi yang pernah berlaku sejak 100 tahun yang lalu.

Dalam keadaan seperti ini, Amerika Syarikat perlu rangsangan yang lebih besar susulan daripada pakej yang telah diumumkan sebelum ini.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.