PowerChina, Semarak Meterai Perjanjian Projek Hidrogen Hijau RM1.88 Bilion Di Perak

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — China Hydropower (Malaysia) Co Ltd yang juga anak syarikat PowerChina, telah memeterai perjanjian bernilai RM1.883 bilion dengan Semarak Renewable Energy Sdn Bhd bagi melaksanakan projek hidrogen hijau di Perak.

Projek itu merangkumi usaha pengeluaran dan penyimpanan hidrogen hijau menerusi kemudahan penjanaan tenaga menggunakan ladang fotovoltan terapung.

Timbalan Pengurus Besar Ibu Pejabat Wilayah Asia Pasifik PowerChina Ye Haoliang berkata projek berkenaan adalah seiring dengan hala tuju berkaitan keutamaan ekologi dan pembangunan hijau.

Inisiatif itu meliputi pembangunan sekunder serta penggunaan lombong bijih timah terbiar dan turut menandakan sumbangan bermakna bagi transformasi hijau dan karbon rendah Malaysia, katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Projek itu menumpukan aspek reka bentuk, pemerolehan dan pembinaan masing-masing unit fotovoltan terapung, unit pengeluaran serta penyimpanan hidrogen.

Usaha berkenaan akan menjadi projek pengeluaran hidrogen berskala hijau besar berskala besar yang pertama seumpamanya di Malaysia dan menggunakan penjanaan tenaga fotovoltan secara terapung, kata kenyataan itu.

Kontrak berkaitan kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaannya telah dimeterai oleh Ye dan Pengerusi Semarak, Mohammad Shahil Ishak, baru-baru ini.

PowerChina yang memanfaatkan kekuatannya dalam sektor tenaga baharu, telah berikrar untuk mempercepat  aspek perancangan dan pembangunan projek itu dengan menekankan komitmen membantu Semarak untuk muncul sebagai perintis dalam industri hidrogen hijau Malaysia.

Sejak memasuki pasaran Malaysia pada 1993, PowerChina telah berjaya melaksanakan lebih daripada 150 projek dengan nilai keseluruhan projek melebihi US$7 bilion (US$1=RM4.71).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Felda, FGV Teroka Semula Peranan Minyak Sawit, Ubah Sisa Kepada Kekayaan

KUALA LUMPUR (Bernama) — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Bhd sedang meneroka semula peranan minyak sawit dalam ekonomi masa depan Malaysia, dipacu kecanggihan teknologi, dengan menilai produk sampingan minyak sawit sebagai sumber strategik dan bukan lagi sisa tradisional.

Pengarah Kumpulan, Bahagian Perladangan FGV, Izham Mustaffa berkata peranan pihaknya melangkaui operasi perladangan dengan menekankan bahawa fungsi teras FGV menyumbang kepada pembinaan negara melalui sektor pertanian.

“Pemodenan pertanian, melalui penggunaan teknologi, inovasi dan amalan terbaik penting untuk menjamin kerelevanan pada masa depan dan peningkatan sektor ini, Bagaimanapun, untuk melonjakkan nilai, kita mesti mengubah pemikiran asas.

“Sisa bukan lagi isu pelupusan sebaliknya satu sumber dan bahan mentah yang kita boleh manfaatkan,” katanya ketika berucap pada seminar bertajuk “Waste to Wealth: Opportunities in Green Energy and Circular Economy” bagi Program Jawatankuasa Penasihat 2026, secara dalam talian hari ini.

Izham berkata justeru, pertama sekali, syarikat perladangan dan komoditi itu menumpukan kepada pembangunan tanah bagi memastikan tanah digunakan secara produktif, cekap dan mampan untuk menjana nilai sosioekonomi jangka masa panjang.

Kemajuan sosioekonomi juga merupakan keutamaan penting, dengan operasi menyumbang untuk meningkatkan pendapatan, mewujudkan pekerjaan dan membentuk komuniti yang lebih kukuh, katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mengubah biojisim kepada tenaga hijau, yang semakin penting susulan ketidaktentuan global.

“Biojisim mesti dilihat sebagai satu sistem, bukan sebagai produk sampingan atau sisa. Kita boleh mengguna pakai model ‘Hab dan Jejari, dengan ladang dan komuniti berperanan sebagai nod bekalan manakala hab pemprosesan berpusat memastikan kualiti dan kecekapan,” katanya.

— BERNAMA