TTM Technologies Mahu Percepatkan Pelaburan Fasa Kedua Di Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 25 April (Bernama) — TTM Technologies Inc, sebuah syarikat tersenarai NASDAQ telah melancarkan fasiliti pembuatan pertamanya di Malaysia hari ini.

Pada masa yang sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Thomas Edman mendedahkan rancangan syarikatnya untuk mempercepatkan pelaksanaan pelaburan Fasa Kedua berikutan permintaan kukuh bagi teknologi canggih papan litar bercetak berbilang lapisan.

Syarikat itu pada asalnya menjadualkan pengembangan pada 2025, dengan peningkatan kapasiti fasiliti sebanyak 25 peratus.

“Jika dua tahun lepas, anda bertanya kepada saya tentang pelaburan Fasa Kedua ini, saya akan kata ia hanya akan berlaku menjelang 2025 tetapi sekarang, kami sedang merancang untuk bermula pada akhir tahun ini berikutan minat pelanggan yang kukuh,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian fasiliti itu di sini hari ini.

TTM telah memperuntukkan US$200 juta (kira-kira RM958 juta) bagi menubuhkan kemudahan itu yang terletak di atas tanah seluas 10.9 hektar di Taman Sains Pulau Pinang, dan ia dijangka mewujudkan sekitar 1,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai kategori menjelang 2025.

Edman berkata kilang itu bertujuan untuk memberi perkhidmatan kepada pasaran komersial global, terutamanya dalam rangkaian, pengkomputeran pusat data, perubatan, instrumentasi serta sektor perindustrian.

Pelaburan untuk Fasa Kedua akan lebih rendah daripada Fasa Satu memandangkan fasiliti sedia ada sudah lengkap dan mampu menampung pengembangan fasa seterusnya.

Beliau turut memberitahu TTM Technologies pada masa ini sedang meningkatkan pengeluarannya, dengan kemudahan itu dijangka menjana hasil kadar larian penuh kira-kira RM855 juta menjelang 2025.

“Kami yakin pelan pengembangan strategik ini akan membolehkan kami mengukuhkan kehadiran kami selain memanfaatkan peluang pelanggan baharu, meluaskan jejak serta memacu pertumbuhan pasaran kami sambil memanfaatkan ekonomi rantau ini yang sedang berkembang pesat dan ekosistemnya yang bertenaga,” tambahnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang merasmikan pembukaan kemudahan itu, menjelaskan bahawa keputusan TTM Technologies untuk menubuhkan kilangnya di Pulau Pinang menandakan keyakinan pelabur asing terhadap negeri tersebut.

Beliau menekankan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan termaju, dengan lebih 350 syarikat multinasional serta 4,000 perusahaan kecil dan sederhana.

“Pelaburan dari Amerika Syarikat mempunyai kehadiran yang ketara di negeri ini, mencecah paras RM6.7 bilion pada 2023,” katanya.

–BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Prospek Pusat Data, Tenaga Lonjak Pertumbuhan Kee Ming

KUALA LUMPUR: Kee Ming Group (KM) berada di landasan kukuh untuk mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih mampan, disokong rekod buku tender bernilai RM1.7 bilion setakat Mei 2026 yang dijangka menjadi pemacu utama perolehan kontrak baharu syarikat.

Maybank Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, momentum kemenangan kontrak syarikat kejuruteraan itu dijangka kekal kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan aliran tender semasa.

Penganalisisnya, Thong Kei Jun, mengandaikan kadar kemenangan sejarah syarikat sebanyak 15 peratus bagi perolehan kerja baharu.

“Berdasarkan rekod prestasi, kadar kemenangan sejarah ini berpotensi diterjemahkan kepada tambahan RM250 juta bagi penambahan semula buku pesanan dalam tahun kewangan 2027 (FY27E),” katanya.

Menurut laporan itu, Kee Ming turut berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan penglibatan dalam projek infrastruktur kuasa voltan tinggi (HV) serta pencawang pusat data (DC), sejajar dengan permintaan yang terus meningkat dalam kedua-dua segmen berkenaan.

Komitmen syarikat dalam sektor yang sedang berkembang pesat itu dibuktikan menerusi kejayaan memperoleh kerja subkontrak bagi pembangunan fasiliti pusat data berskala hiper.

Antara kontrak yang diperoleh ialah kerja subkontrak bernilai RM6.7 juta di Elmina Business Park 1A serta projek bernilai RM21.4 juta di Puncak Alam yang dianugerahkan oleh kontraktor pihak ketiga.

Dari sudut sinergi korporat, penyertaan Solarvest sebagai pemegang saham utama dengan pegangan 23.9 peratus terus memberikan kelebihan daya saing kepada Kee Ming.

Baru-baru ini, syarikat itu menerima surat penganugerahan (LOA) bernilai RM70 juta daripada Solarvest bagi membina fasiliti saling sambungan (IF) untuk ladang solar berkapasiti 100 megawatt (MW) di Kedah.

Kontrak berkenaan meningkatkan baki buku pesanan tertunggak Kee Ming sebanyak 40 peratus kepada RM243.3 juta berbanding RM173.2 juta sebelum ini.

Susulan perkembangan positif itu, Maybank Investment Bank menaikkan unjuran pendapatan Kee Ming bagi tahun kewangan 2027 hingga 2029 sebanyak 18 peratus hingga 29 peratus, sejajar semakan sasaran penambahan buku pesanan kepada antara RM350 juta dan RM470 juta.

Firma itu turut mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham Kee Ming serta menaikkan harga sasaran kepada RM1.94 sesaham, yang mewakili potensi kenaikan sekitar 21 peratus daripada paras semasa.

— Berita Harian