Malaysia Perlu Tumpu Bangun Keupayaan Mereka Bentuk Semikonduktor – Rafizi

PUCHONG, 6 Ogos (Bernama) — Malaysia perlu memberi tumpuan untuk membangunkan keupayaan rmereka bentuk semikonduktornya sendiri dan mengurangkan pergantungan kepada cip import pada masa hadapan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata hala tuju strategik kerajaan adalah untuk meningkatkan keseluruhan ekosistem semikonduktor, meliputi kedua-dua sektor huluan dan hiliran, terutamanya dengan memberi penekanan kepada pengeluar reka bentuk asli.

“Minat terhadap pusat data akan terus memacu permintaan semikonduktor, dan ini memberikan peluang kerana terdapat permintaan untuk cip.

“Apabila ekosistem ini berlaku, pusat data di Malaysia akan mula mempertimbangkan cip “Buatan Malaysia”. Itu adalah pertimbangan yang disasarkan kerajaan,” katanya pada majlis pelancaran Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia di Puchong, di sini, hari ini.

Rafizi berkata kerajaan sudahpun mempunyai kemudahan untuk pemasangan dan ujian arus perdana, dan pelancaran Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia itu adalah mekanisme terbaik untuk meningkatkan bilangan syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) sebanyak mungkin.

“Jadi langkah seterusnya yang diambil kerajaan akan menambah kepada ekosistem dan meliputi semua (bidang) dari huluan hingga ke hiliran,” katanya.

Menggalakkan pembabitan tempatan dalam reka bentuk, prototaip dan pengeluaran produk

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata taman reka bentuk IC itu akan dilengkapi dengan perkakas dan kemudahan perkhidmatan awam biasa, termasuk alat automasi reka bentuk elektronik mampu milik, pelayan, IP, perkhidmatan wafer pelbagai projek, dan program latihan.

“Matlamat utama taman ini adalah untuk menggalakkan pembuatan reka bentuk asli serta penglibatan tempatan dalam reka bentuk, prototaip dan pengeluaran produk.

“Projek ini bukan hanya mengenai infrastruktur; ia adalah untuk mencipta peluang dan memacu pertumbuhan. Pemecut Semikonduktor Malaysia dan Dana Penjana VC adalah komponen penting dalam strategi kami untuk memupuk inovasi dan keusahawanan,” katanya.

Amirudin berkata dengan menyediakan sumber dan pembiayaan yang penting, kerajaan negeri menyasar untuk mempercepat pertumbuhan syarikat pemula niaga dan syarikat yang telah lama beroperasi, mendorong mereka mencapai tahap kejayaan baharu.

Menurutnya, taman itu akan dapat menempatkan lebih 400 jurutera reka bentuk litar bersepadu dan telahpun diisi oleh lapan firma tempatan dan antarabangsa daripada MaiStorage, Skyechip, Weeroc dan AppAsia.

“rakan kongsi lain termasukBluechip VC, Cadence Design System, Synopsys, Siemens EDA, Keysight, dan ARM,” katanya.

Amirudin berkata Koridor Semikonduktor Greater Klang Valley menawarkan ekosistem peneraju industri, institusi penyelidikan dan rakan kongsi rantaian bekalan yang tangkas. 

“Lokasi strategik ini meningkatkan daya tarikan kami sebagai destinasi utama bagi syarikat semikonduktor, menawarkan peluang unik bagi kerjasama dan pertumbuhan.

“Semasa kami melancarkan projek ini, Selangor tidak berhasrat memainkan peranan kecil dalam bidang semikonduktor.

“Kita mesti mempunyai kelebihan dan meningkatkan rantaian nilai. Saya berhasrat melihat semikonduktor pada masa depan mempunyai label, ‘Made in Malaysia, Designed in Selangor’  (Dibuat di Malaysia, direka bentuk di Selangor),” katanya.

Meningkatkan kapasiti bakat dan mendorong pakar dalam reka bentuk IC

Amirudin berkata Selangor berhasrat melengkapkan tenaga kerjanya dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan agar terserlah dalam industri berteknologi tinggi ini melalui perkongsian dengan institusi pendidikan terkemuka seperti Institut Semikonduktor dan AI Termaju Malaysia (MASAI) dan Sekolah Digital Selangor (SDS).

“Program latihan kami akan mendorong beribu-ribu pelajar, memberikan mereka persediaan untuk berdepan cabaran dan peluang masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin yakin perselisihan antara dua gergasi global Amerika Syarikat dan China, bukan sahaja mengenai pihak mana yang mempunyai kekuatan angkatan ketenteraan yang besar, sebaliknya siapa yang lebih memainkan banyak peranan dan harta intelektual dalam dunia digital.

“Ini akan menjadi pertarungan teknologi, dan semikonduktor akan menjadi nadi ekonomi global pada masa depan. Di Selangor, kami perlu bersedia untuk berdepan segala kemungkinan, dan kami mesti meningkatkan kapasiti bakat kami dan mendorong pakar dalam bidang reka bentuk IC,” katanya.

Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia sedang giat mendapatkan calon mahir yang berkelulusan ijazah dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan mekanikal, mekatronik dan sains komputer, dengan menawarkan gaji sangat kompetitif.

Jawatan bagi pekerjaan peringkat permulaan menawarkan pendapatan mulai RM5,000 dan RM6,000 untuk siswazah baharu manakala individu yang mempunyai ijazah sarjana atau berpengalaman luas dalam industri berpeluang meraih pendapatan sehingga RM7,000.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Inflasi Mac Pada 1.7 Peratus Kekal Terkawal, Bersifat Sementara – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR (Bernama) — Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang meningkat sedikit kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, masih terkawal dan bersifat sementara dengan kenaikan itu sebahagian besarnya didorong oleh faktor kos luaran dan bukannya daripada permintaan domestik yang menyeluruh.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan data hari ini yang menunjukkan inflasi Malaysia meningkat 1.7 peratus pada Mac 2026, dengan indeks meningkat kepada 136.4 daripada 134.1 pada bulan yang sama tahun lepas.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata bacaan inflasi terbaharu itu mencerminkan tanda-tanda awal tekanan kenaikan harga, namun ia kekal terhad dan bersifat sementara.

“Trend peningkatan baru-baru ini sebahagian besarnya didorong oleh kesan limpahan daripada konflik Asia Barat yang berterusan melalui kos bahan api dan logistik yang lebih tinggi dan bukannya sebarang perubahan bermakna dalam keadaan permintaan domestik.

“Apa yang penting, tekanan inflasi kekal terhad, dipacu oleh sektor pengangkutan dan perkhidmatan tertentu, manakala penggunaan teras kekal stabil, mencerminkan permintaan yang kukuh dan pemindahan kos yang terhad,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek menjelaskan keadaan ini mencerminkan kejutan yang lazimnya disebabkan oleh harga minyak, di mana harga menyesuaikan diri ke paras lebih tinggi dalam jangka pendek tetapi tidak berkembang menjadi inflasi yang berterusan tanpa adanya kesan pusingan kedua.

“Berikutan itu, ketika momentum inflasi cenderung meningkat, struktur pendasar terus memaparkan persekitaran ketidaktentuan yang rendah dengan tekanan luar sementara berbanding kemunculan rejim inflasi yang ketara atau (bersifat) sistemik,” katanya.

Ditanya sama ada inflasi akan kekal dalam julat atau paras semasa, Mohd Sedek berkata walaupun berkemungkinan berlaku dalam masa terdekat, ini masih berpotensi meningkat dan bergantung kepada sejauh mana kos dilepaskan kepada pengguna.

“Buat masa ini, pelepasan kos itu masih hanya sebahagian, dengan syarikat-syarikat menyerap kenaikan kos tenaga dan logistik susulan konflik Asia Barat.

“Di peringkat domestik, sokongan dasar terutama kawalan harga bahan api RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), terus (menjadi mekanisme) mengekang inflasi berkaitan bahan api dan mengelak kesan limpahan secara meluas,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Sedek menyifatkan titik perubahan penting terletak pada kesan pusingan kedua dengan kemungkinan inflasi meningkat jika kos input terus wujud dan syarikat bertindak melepaskannya menerusi kenaikan harga, terutama dalam sektor perkhidmatan.

“Sebaliknya, jika keadaan permintaan kekal stabil dan penampan dasar kekal utuh, pelepasan kos dijangka terus terkawal dan membolehkan inflasi kekal dalam julat rendah dan mampu diurus,” katanya.

Mohd Sedek juga menekankan, risiko utama terhadap prospek inflasi Malaysia bagi tempoh berbaki 2026 adalah tertumpu kepada kejutan kos luaran serta pelarasan dasar.

Sementara itu, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata walaupun inflasi kekal dalam jajaran terurus, terdapat tanda-tanda tekanan harga mula meluas.

Beliau berkata inflasi mungkin kekal dalam jajaran 1.0 hingga 2.0 peratus dalam tempoh terdekat tetapi memberi amaran risikonya sedang condong ke arah menaik, terutamanya jika tekanan kos terus disalurkan kepada pengguna.

“Inflasi sepatutnya kekal terkawal dalam tempoh terdekat tetapi risiko luaran seperti harga minyak dan gangguan bekalan boleh memacunya lebih tinggi. Dasar monetari masih mempunyai ruang untuk kekal menyokong tetapi adalah lebih baik untuk meneruskan sikap berhati-hati,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, RHB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran inflasi 2026 Malaysia pada 1.8 peratus walaupun terdapat sedikit peningkatan pada Mac.

“Kami mengekalkan unjuran inflasi 2026 kami pada 1.8 peratus, sambil terus mengambil kira potensi tekanan tolakan kos menurutnya dalam nota kajian hari ini.

Bank pelaburan itu berkata konflik AS-Iran telah melonjakkan harga minyak global dan mampu memberi kesan ke atas inflasi domestik jika ia berterusan.

“Dalam beberapa bulan akan datang, tekanan tolakan kos memerlukan pemantauan rapi, kerana harga minyak yang lebih tinggi boleh memberi kesan kepada logistik, utiliti dan kos pengeluaran yang lebih luas, dengan potensi limpahan kepada harga pengguna,” tambahnya.

— BERNAMA