Ketahui 5 Rahsia Bagaimana Milo Menguasai Pasaran

Nampaknya masih belum reda lagi kisah Milo ini, tapi tahu tak apakah rahsia Milo yang menjadikannya begitu popular sekali?

Sebelum ini kami ada mengupas sedikit dalam artikel bertajuk Bukan Saja Milo, Ada Banyak Produk Nestlé Yang Kita Tak Sangka. Patutlah saham syarikat Nestlé merupakan saham dengan harga yang paling mahal, selepas kita tahu jenama-jenama terkenal dunia yang bernaung di bawah Nestlé ini.

Untuk pengetahuan, Milo tidak dikeluarkan di semua negara di dunia. Sebaliknya, menurut kepada laman web Nestlé berikut, ada 8 negara di mana rakyatnya minum Milo seperti berikut:

  • Australia
  • Colombia
  • Malaysia
  • New Zealand
  • Philippines
  • Thailand
  • Japan
  • Vietnam

Dan tahukah anda bahawa kilang terbesar Milo di dunia pula terletak di Malaysia? Pasti ada rahsia yang tersembunyi bagaimana Milo telah berjaya memikat hati penggunanya?

1. Kekuatan Produk

Produk ini asalnya dicipta sebagai minuman yang dapat membantu kanak-kanak mendapatkan nutrisi yang diperlukan semasa kegawatan ekonomi melanda Australia pada sekitar tahun 1930-an.

Jadi ramai yang telah menanam di dalam fikiran mereka, dengan meminum Milo mereka akan menjadi sihat dan bertenaga. Rasanya yang enak juga sangat digemari oleh golongan kanak-kanak.

2. Hadir Dalam Pelbagai Packaging Dengan Harga Berpatutan

Milo didatangkan dengan pelbagai jenis packaging, ada yang sebesar 3 kilogram untuk restoran, pek 1 kilogram dan 2 kilogram untuk yang selalu minum Milo di rumah, ada juga pek 200 gram yang lebih kecil bagi mereka yang sekali-sekala minum Milo, ada pek 3-in-1 bagi yang mereka nak minum milo instant, ada juga Milo dalam tin yang boleh diminum sejuk-sejuk.

Dan yang paling penting sekali, ianya mempunyai harga yang sangat berpatutan. Banyak pesaing Milo tidak dapat menandingi harga rendah yang ditawarkannya.

3. Kajian Terperinci

Kejayaan pencipta Milo iaitu Thomas Mayne mencipta minuman yang bukan sahaja enak diminum tetapi juga berkhasiat untuk kanak-kanak. Namun begitu, sebelum memasarkan produk tersebut di mana-mana negara, mereka akan melakukan kajian terperinci dahulu bagi mengetahui citarasa penduduk tempatan.

Sebab itulah rasa Milo di Malaysia tidak sama dengan rasa Milo yang dipasarkan di Australia.

4. Promosi Berkesan

Dari awal kemunculannya sehingga sekarang, Milo masih tidak jemu-jemu mengiklankan produk mereka di radio, televisyen, papan billboard dan sebagainya. Ini bagi memastikan produk mereka sentiasa dingati pengguna.

Selain daripada itu, mereka turut melakukan kempen dengan menjadi penaja bagi acara-acara sukan sesuai dengan tagline mereka iaitu “Minum Milo Anda Jadi Sihat Dan Kuat”. Dan kini ianya telah bertukar kepada lagu “Bekalkannya Tenaga Juara…” yang sering berkumandang di corong radio dan disiarkan di kaca televisyen.

Ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa produk minuman ini benar-benar berkhasiat dan sihat.

5. Pasukan Yang Kukuh

Untuk membina sesebuah jenama yang kukuh dan disegani bukanlah satu perkara yang mudah. Tetapi ianya akan menjadi mudah dengan bantuan daripada semua ahli pasukan dalam syarikat tersebut.

Sebab itulah anda perlu memastikan setiap ahli pasukan anda berasa gembira dan fokus dalam melakukan tugasan mereka. Jika mereka fokus, barulah jenama anda lebih mudah untuk dikembangkan kerana setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Sebagai sebuah jenama yang besar, Milo tidak pernah berpuas hati dengan hasil mereka sekarang. Mereka masih terus-menerus berusaha melakukan usaha R&D, merancang strategi pemasaran dan sebagainya.

Ianya mengambil masa berpuluh tahun lama jugalah untuk penjenamaan Milo dikenali ramai, dan hasilnya – orang ramai minum Milo menjadikannya minuman malt nombor satu di Malaysia.

SUMBER RUJUKAN

  1. Khairul Hakimin Muhammad
  2. https://www.nestle.com/aboutus/history/nestle-company-history/milo
  3. https://ms.wikipedia.org/wiki/Milo_(minuman)
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.