Aapico Akan Labur RM140 Juta Keluarkan Komponen Kereta Dengan Proton

SUBANG JAYA, 3 Julai (Bernama) — Pengeluar bahagian auto terbesar Thailand, Aapico Hitech PLC menjalin kerjasama dengan Proton Holdings Bhd untuk mengeluarkan komponen kereta di Malaysia. 

Menerusi perkongsian itu Aapico akan mengambil alih 60 peratus saham Advance Vehicle Engineering Global Sdn Bhd (AVEE Global) daripada Proton, manakala pengeluar kereta nasional itu mengekalkan 40 peratus pegangannya dalam syarikat tersebut yang akan dinamakan semula sebagai Aapico Avee Sdn Bhd.

AVEE Global mengeluarkan acuan, jig, bahagian hot stamping, bahagian pemasangan badan kereta dan komponen casis dengan Proton. 

Kerjasama itu, yang dirasmikan pada 26 Jun 2023, akan menyaksikan Aapico membuat pelaburan awal sebanyak RM40 juta ke dalam kilang AVEE Global seluas 8.09 hektar di Tanjung Malim, dengan rancangan untuk pengembangan selanjutnya bagi menampung permintaan terhadap kenderaan Proton yang semakin meningkat dan keseluruhan sektor automotif.

Pelaburan RM100 juta lagi dirancang bagi 2024, untuk peluasan kilang dan pembelian mesin baharu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aapico Yeap Swee Chuan berkata syarikat itu menyertai sektor pembuatan bahagian auto di Malaysia pada masa yang sesuai susulan prospek pertumbuhan memberangsangkan industri automotif didorong oleh permintaan kukuh terhadap kenderaan Proton.

“Kami menyasar untuk membawa kepakaran dan teknologi pembuatan kami ke dalam perkongsian ini dan menyediakan bahagian auto bertaraf dunia kepada Proton serta menyokong rancangan pengembangan mereka dalam pasaran domestik dan eksport,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pengumuman usaha sama Proton-Aapico, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bercakap kepada media selepas pengumuman itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong berkata usaha sama dengan Aapico akan memberi manfaat kepada Proton dalam membantu menyediakan syarikat itu pengoptimuman kos, kecekapan dan kualiti yang lebih baik dalam pengeluaran kereta.

“Memandangkan volum kami meningkat seiring dengan rancangan pengenalan model kami, kami akan terus berusaha untuk memastikan produk kami setanding dengan persaingan dari segi ciri dan kualiti sambil terus menawarkan ciri-ciri keselamatan terbaik daripada penggunaan teknologi seperti hot press forming,” katanya.

Perkongsian strategik itu adalah usaha niaga kedua Aapico dalam sektor bahagian auto Malaysia. Awal tahun ini, syarikat Thailand itu menandatangani perjanjian usaha sama dengan Purem, satu daripada pembekal sistem ekzos terbesar di dunia.

Dengan pelaburan awal sebanyak RM30 juta, Aapico memegang 49 peratus pegangan manakala Purem sebanyak 51 peratus daripada pegangan Purem Aapico Sdn Bhd, yang akan mula membekalkan kepada Proton pada suku ketiga tahun ini.

Sebelum ini, kehadiran Aapico di Malaysia adalah melalui perniagaan pengedar kereta syarikat itu yang mana ia memiliki dan mengoperasi enam pengedar kereta di Malaysia, termasuk empat pengedar Proton.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Inflasi Mac Pada 1.7 Peratus Kekal Terkawal, Bersifat Sementara – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR (Bernama) — Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang meningkat sedikit kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, masih terkawal dan bersifat sementara dengan kenaikan itu sebahagian besarnya didorong oleh faktor kos luaran dan bukannya daripada permintaan domestik yang menyeluruh.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan data hari ini yang menunjukkan inflasi Malaysia meningkat 1.7 peratus pada Mac 2026, dengan indeks meningkat kepada 136.4 daripada 134.1 pada bulan yang sama tahun lepas.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata bacaan inflasi terbaharu itu mencerminkan tanda-tanda awal tekanan kenaikan harga, namun ia kekal terhad dan bersifat sementara.

“Trend peningkatan baru-baru ini sebahagian besarnya didorong oleh kesan limpahan daripada konflik Asia Barat yang berterusan melalui kos bahan api dan logistik yang lebih tinggi dan bukannya sebarang perubahan bermakna dalam keadaan permintaan domestik.

“Apa yang penting, tekanan inflasi kekal terhad, dipacu oleh sektor pengangkutan dan perkhidmatan tertentu, manakala penggunaan teras kekal stabil, mencerminkan permintaan yang kukuh dan pemindahan kos yang terhad,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek menjelaskan keadaan ini mencerminkan kejutan yang lazimnya disebabkan oleh harga minyak, di mana harga menyesuaikan diri ke paras lebih tinggi dalam jangka pendek tetapi tidak berkembang menjadi inflasi yang berterusan tanpa adanya kesan pusingan kedua.

“Berikutan itu, ketika momentum inflasi cenderung meningkat, struktur pendasar terus memaparkan persekitaran ketidaktentuan yang rendah dengan tekanan luar sementara berbanding kemunculan rejim inflasi yang ketara atau (bersifat) sistemik,” katanya.

Ditanya sama ada inflasi akan kekal dalam julat atau paras semasa, Mohd Sedek berkata walaupun berkemungkinan berlaku dalam masa terdekat, ini masih berpotensi meningkat dan bergantung kepada sejauh mana kos dilepaskan kepada pengguna.

“Buat masa ini, pelepasan kos itu masih hanya sebahagian, dengan syarikat-syarikat menyerap kenaikan kos tenaga dan logistik susulan konflik Asia Barat.

“Di peringkat domestik, sokongan dasar terutama kawalan harga bahan api RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), terus (menjadi mekanisme) mengekang inflasi berkaitan bahan api dan mengelak kesan limpahan secara meluas,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Sedek menyifatkan titik perubahan penting terletak pada kesan pusingan kedua dengan kemungkinan inflasi meningkat jika kos input terus wujud dan syarikat bertindak melepaskannya menerusi kenaikan harga, terutama dalam sektor perkhidmatan.

“Sebaliknya, jika keadaan permintaan kekal stabil dan penampan dasar kekal utuh, pelepasan kos dijangka terus terkawal dan membolehkan inflasi kekal dalam julat rendah dan mampu diurus,” katanya.

Mohd Sedek juga menekankan, risiko utama terhadap prospek inflasi Malaysia bagi tempoh berbaki 2026 adalah tertumpu kepada kejutan kos luaran serta pelarasan dasar.

Sementara itu, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata walaupun inflasi kekal dalam jajaran terurus, terdapat tanda-tanda tekanan harga mula meluas.

Beliau berkata inflasi mungkin kekal dalam jajaran 1.0 hingga 2.0 peratus dalam tempoh terdekat tetapi memberi amaran risikonya sedang condong ke arah menaik, terutamanya jika tekanan kos terus disalurkan kepada pengguna.

“Inflasi sepatutnya kekal terkawal dalam tempoh terdekat tetapi risiko luaran seperti harga minyak dan gangguan bekalan boleh memacunya lebih tinggi. Dasar monetari masih mempunyai ruang untuk kekal menyokong tetapi adalah lebih baik untuk meneruskan sikap berhati-hati,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, RHB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran inflasi 2026 Malaysia pada 1.8 peratus walaupun terdapat sedikit peningkatan pada Mac.

“Kami mengekalkan unjuran inflasi 2026 kami pada 1.8 peratus, sambil terus mengambil kira potensi tekanan tolakan kos menurutnya dalam nota kajian hari ini.

Bank pelaburan itu berkata konflik AS-Iran telah melonjakkan harga minyak global dan mampu memberi kesan ke atas inflasi domestik jika ia berterusan.

“Dalam beberapa bulan akan datang, tekanan tolakan kos memerlukan pemantauan rapi, kerana harga minyak yang lebih tinggi boleh memberi kesan kepada logistik, utiliti dan kos pengeluaran yang lebih luas, dengan potensi limpahan kepada harga pengguna,” tambahnya.

— BERNAMA