Suncon Dapat Kontrak RM253 Juta Perbaharui Sunway Carnival Mall

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) — Sunway Construction Sdn Bhd (SunCon) telah memperoleh kontrak RM253 juta daripada Sunway REIT Management Sdn Bhd untuk membaik pulih kompleks beli-belah empat tingkat dan pusat kebudayaan/komersial satu tingkat yang dikenali sebagai Sunway Carnival Mall di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Projek selama lebih 24 bulan dari tarikh permulaan, 1 Julai 2023, dijangka siap menjelang 30 Jun 2025, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

“Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan SunCon Group bagi kewangan tahun berakhir 31 Dis 2023 dan seterusnya,” katanya lagi.

Jumlah projek baharu yang diperolehi oleh SunCon Group tahun ini termasuk projek yang dinyatakan di atas mencecah RM1.53 bilion

SunCon dan Sunway REIT mempunyai pemegang saham/pemegang unit utama yang sama, manakala Sunway Bhd ialah pemegang unit utama Sunway REIT.

Pada penutupan dagangan di Bursa Malaysia hari ini, harga saham SunCon turun satu sen kepada RM1.54 dengan 323,800 saham bertukar tangan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.