Pelaburan, Eksport Kukuh Pacu Pertumbuhan KDNK Suku Ketiga Malaysia Kepada 5.3 Peratus

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) — Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan eksport yang berterusan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata memandangkan ekonomi negara berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, purata pertumbuhan bagi tempoh tiga suku terawal tahun ini mencapai 5.2 peratus.

“Aktiviti pelaburan disokong oleh perbelanjaan yang kukuh bagi struktur serta jentera dan peralatan, manakala perbelanjaan isi rumah terus meningkat berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2024 Malaysia di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata eksport terus mengukuh susulan permintaan luaran yang semakin pulih dan limpahan positif daripada peningkatan kitaran teknologi global.

Sementara itu, import juga berkembang pada kadar yang lebih pantas, berikutan permintaan barangan modal dan barangan perantaraan yang kukuh untuk menyokong peningkatan pelaburan dan perdagangan, katanya.

“Dari segi penawaran, kebanyakan sektor terus menyokong pertumbuhan khususnya, peningkatan dalam sektor perkilangan didorong oleh kelompok berorientasikan eksport.

“Bagaimanapun, pertumbuhan sebahagiannya diimbangi oleh aktiviti penyenggaraan dalam sektor perlombongan,” katanya.

Abdul Rasheed berkata pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan didorong oleh perkembangan aktiviti pelaburan yang kukuh, peningkatan eksport secara berterusan dan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan.

Aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan dalam projek berbilang tahun merentas sektor swasta dan awam, katanya.

“Inisiatif pemangkin yang diumumkan dalam pelan induk nasional dan pelaksanaan yang lebih tinggi bagi pelaburan yang diluluskan juga merupakan pemacu utama bagi aktiviti pelaburan,” katanya.

Beliau berkata pelaburan itu, yang disokong oleh import modal yang lebih tinggi, akan meningkatkan eksport dan mengembangkan kapasiti produktif dalam ekonomi.

Perbelanjaan isi rumah pula akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan gaji yang berterusan serta langkah-langkah dasar, katanya,

Beliau berkata kitaran teknologi global di luar negara yang terus meningkat, permintaan kukuh yang berterusan untuk barangan perkilangan dan komoditi serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi dijangka akan mempertingkatkan eksport.

Gabenor BNM berkata prospek pertumbuhan Malaysia kekal tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih perlahan, ketegangan geopolitik dan langkah perlindungan perdagangan yang semakin meruncing serta pengeluaran komoditi yang lebih lemah daripada jangkaan.

Bagaimanapun, faktor yang boleh menyokong pertumbuhan yang lebih tinggi termasuk limpahan yang lebih besar daripada peningkatan kitaran teknologi, pelaksanaan projek pelaburan yang lebih cepat dan aktiviti pelancongan yang lebih mantap, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PMKS Boleh Mula Mohon Program PMKS Tahun 2026 Di Bawah SME Corp. Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kini boleh mula mengemukakan permohonan untuk program tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) oleh SME Corp. Malaysia, agensi Kementerian

Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Sesi perkongsian oleh YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia bersama PMKS serta wakil persatuan dan dewan perniagaan berkenaan program tersebut telah berlangsung semasa Hari Terbuka@Hab PMKS pada 29 Januari 2026 di SME Corp. Malaysia, Platinum Sentral, Kuala Lumpur.                                                                                                                                             

RMK13 (2026 – 2030) telah menggariskan agenda penskalaan (scale up) PMKS dengan matlamat untuk menaik taraf saiz PMKS daripada mikro kepada kecil dan seterusnya sederhana. Menurut YBrs. Encik Rizal, “Sebanyak RM117 juta telah diperuntukkan bagi SME Corp. Malaysia melaksanakan lapan (8) program untuk PMKS yang merangkumi aspek pertumbuhan tinggi dan keterangkuman. Penskalaan PMKS merupakan agenda utama Kerajaan dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta membentuk ekosistem PMKS yang lebih berdaya tahan serta berdaya saing. Sasarannya adalah untuk meningkatkan jumlah firma sederhana daripada 1.6% kepada 5% menjelang tahun 2030, yang dijangka berupaya melonjakkan sumbangan KDNK PMKS sehingga RM1 trilion.”

Hari Terbuka@Hab PMKS ini merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan fungsi SME Corp. Malaysia sebagai pusat rujukan utama untuk maklumat serta khidmat nasihat perniagaan PMKS. Sejak dilaksanakan pada Januari 2024, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada lebih 100 PMKS setiap bulan melalui kerjasama strategik melibatkan pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan berkaitan serta pihak swasta.

Hadir sama ke Hari Terbuka@Hab PMKS bagi bulan Januari 2026 adalah YBhg. Tan Sri

Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia, YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, YBhg. Datuk William

Ng, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Encik Mohd Azamanizam Baharon, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) serta wakil daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Peniagawati) dan pelbagai persatuan dan dewan perniagaan. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini, PMKS boleh melayari laman sesawang di pautan www.smecorp.gov.my dan saluran media sosial rasmi SME Corp. Malaysia atau berkunjung ke Hab PMKS di Ibu Pejabat dan 12 Pejabat Negeri di seluruh negara.