Jenama Di Malaysia Berisiko Hilang Nilai Bilion Ringgit Tanpa Fokus Strategik

KUALA LUMPUR, Malaysia — [14 OGOS 2025] Kajian antarabangsa mendedahkan jenama di seluruh dunia kehilangan nilai belum direalisasi berjumlah USD200 bilion (RM947 bilion) dalam tempoh dua tahun lalu akibat strategi jangka pendek dan kurang fokus terhadap pembangunan jenama jangka panjang (Interbrand, 2024).

Malaysia yang kini berada di tangga ke-36 dalam Global Soft Power Index 2025 dengan skor 46.1 (Brand Finance, 2025) dilihat berada pada persimpangan penting sama ada memperkukuh strategi jenama atau berisiko hilang daya saing di pasaran serantau dan global.

Bagi menangani cabaran itu, CTOS Data Systems bekerjasama dengan KNKV Group dan Muslim Insiders Chamber of Commerce menganjurkan National CEO Forum 2025 (NCF2025) pada 14 Ogos ini di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Forum tertutup yang menghimpunkan 200 CEO, pemimpin GLC dan pembuat dasar itu akan membincangkan tema Brand Growth and Focus 2026 bagi merangka hala tuju dan strategi jenama berasaskan data untuk tahun hadapan.

Ketua Pegawai Operasi CTOS Data Systems, Lee Shin Mei berkata, “ekuiti jenama adalah aset perniagaan yang nilainya boleh berubah dengan pantas mengikut pasaran. Peranan CTOS adalah membantu pemimpin perniagaan mendapatkan kecerdasan data dan pandangan pasaran yang tepat untuk melindungi dan mengembangkan nilai jenama mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Prof. Adj. Hj Adam Richman berkata, forum ini memberi peluang kepada jenama jenama yang hadir untuk memperkukuh kedudukan dan fokus supaya dapat mendominasi pasaran pada 2026.

National CEO Forum 2025 kali ini berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur selaku Venue Partner, akan menjadi pentas eksklusif yang menghimpunkan barisan pemimpin industri, tokoh korporat terkemuka, dan pembuat dasar negara dalam satu wacana strategik berimpak tinggi. Forum berprestij ini, dianjurkan oleh Muslim Insider Chamber of Commerce bersama KNKV Group sebagai penganjur bersama (Co-Organizer), disokong oleh CTOS Data System selaku Rakan Semakan (Due Diligence Partner), SIRIM QAS International sebagai Rakan Inovasi (Innovation Partner), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai Rakan Strategik (Strategic Partner), dan firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) sebagai Rakan Guaman Rasmi (Legal Partner).

KNKV Group Sdn. Bhd. bersedia menjadi rakan strategik kepada jenama-jenama yang ingin melonjakkan kandungan kreatif mereka ke tahap baharu bagi membantu memperkasakan setiap jenama melalui set strategi eksklusif yang dirangka khusus. Dengan ini, ia akan mengatasi jangkaan pelanggan, sekali gus membina hubungan yang lebih kukuh dan berimpak tinggi.

Dapatkan idea dan strategi konsultansi www.knkvgroup.com untuk maklumat terperinci.

Previous ArticleNext Article

Pemohon Pembiayaan Peribadi Lebih RM100,000 Wajib Hadiri Modul Pendidikan Kewangan – BNM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) — Pengguna yang memohon pinjaman peribadi melebihi RM100,000 perlu menghadiri dan melengkapkan modul pendidikan kewangan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Dalam dokumen dasar pembiayaan peribadi yang dikeluarkan di sini hari ini, bank pusat berkata syarat-syarat ini merupakan antara keperluan baharu yang ditetapkan oleh BNM.

Dokumen dasar itu bertujuan memperkenalkan amalan pembiayaan yang berhemah dan bertanggungjawab berhubung dengan penyediaan pembiayaan peribadi oleh penyedia perkhidmatan kewangan, di samping menggalakkan gelagat peminjaman yang bertanggungjawab dalam kalangan pengguna kewangan.

Ia juga untuk memastikan pelaporan yang jelas daripada penyedia perkhidmatan kewangan berhubung jangkaan sedia ada BNM mengenai penggunaan tempoh maksimum 10 tahun untuk pembiayaan yang ditawarkan di bawah produk pembiayaan rumah atau dijamin oleh harta tanpa halangan bagi kegunaan peribadi.

Ia juga melarang tawaran pembiayaan peribadi di mana caj faedah/keuntungan dikira menggunakan kaedah kadar rata dan/atau Peraturan 78 yang merujuk kepada kaedah pengiraan faedah/keuntungan.

Di samping itu, ia juga mengukuhkan jangkaan untuk penyedia perkhidmatan kewangan mendedahkan kadar faedah/keuntungan yang berkesan kepada pengguna kewangan.

Dengan persaingan yang sengit dalam pasaran kredit runcit, perubahan telah diperhatikan dalam amalan pemberian pinjaman oleh penyedia kredit dalam segmen pembiayaan peribadi, menurut gambaran keseluruhan dokumen dasar. Keadaan ini menyumbang kepada pinjaman yang tidak mampu ditanggung oleh isi rumah.

Apa yang menjadi kebimbangan utama adalah kemunculan produk pembiayaan baharu yang nampak seperti pinjaman mampu milik tetapi sebenarnya menggalakkan pengumpulan hutang yang tidak berhemah. Pengguna kewangan tidak mampu menanggungnya tanpa risiko kesulitan yang ketara sepanjang tempoh pembiayaan disebabkan kekurangan simpanan kewangan yang mencukupi.

Menurut dokumen itu, penyedia perkhidmatan kewangan dikehendaki menjalankan penilaian kesesuaian dan kemampuan membayar bagi setiap kemudahan pembiayaan baharu dan tambahan yang ditawarkan kepada pengguna kewangan, tetapi keperluan yang lebih khusus diperlukan untuk mencegah perkembangan tidak sihat dalam segmen pembiayaan peribadi.

Dokumen dasar ini terpakai kepada semua bank berlesen, bank Islam berlesen dan institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan, berkuat kuasa mulai hari ini.
— BERNAMA