Keuntungan Petronas Selepas Cukai Naik Dua Peratus Pada Suku Pertama

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) — Keuntungan selepas cukai (PAT) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) naik dua peratus kepada RM23.8 bilion menjelang suku pertama tahun kewangan 2023 berbanding tempoh yang sama setahun sebelum ini.

Peningkatan dalam PAT kali ini telah disumbangkan oleh pendapatan faedah yang lebih baik dan cukai yang agak rendah sejajar dengan penurunan keuntungan yang diimbangi sebahagiannya oleh pendapatan yang lebih rendah sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA).

Kumpulan itu mencatatkan EBITDA sebanyak RM38.6 bilion, lebih rendah sebanyak RM1.8 bilion disebabkan oleh kos produk yang lebih tinggi serta perbelanjaan mengurus yang sebahagiannya telah diketepikan oleh peningkatan hasil yang agak memberangsangkan.

Perolehan kumpulan bagi suku dalam tinjauan menokok 16 peratus kepada RM90.4 bilion berbanding suku yang sama pada 2022 selepas disokong oleh peningkatan volum jualan dan impak yang menggalakkan daripada pertukaran asing.

“Ini sebahagiannya diimbangi oleh harga realisasi purata yang lebih rendah daripada produk utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas akan kekal berhati-hati, memberi tumpuan kepada pengurusan kewangan berhemat termasuk membuat pelaburan bagi mengukuhkan perniagaan terasnya dan mengembangkan portfolio perniagaannya. 

“Pada setiap masa, kami akan menyasarkan untuk meningkatkan nilai bagi pemegang kepentingan serta rakan kongsi kami, dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia dan masyarakat di mana sahaja kami beroperasi,” katanya.

Sementara itu, perbelanjaan modal Petronas (capex) berjumlah RM10.5 bilion, disumbangkan oleh projek huluan dan gas. 

Capex domestik bertambah sebanyak 44 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelum ini terutamanya untuk pelaburan dalam Projek Gas Asli Cecair Terapung (LNG) Berhampiran Pesisir Petronas di Sabah dan Pembangunan Medan Gas Kasawari di Sarawak.

Jumlah aset Petronas mengukuh kepada RM713.6 bilion pada 31 Mac 2023 daripada RM710.6 bilion yang direkodkan semasa 31 Dis 2022 selepas disumbangkan oleh tunai yang lebih tinggi dan setara tunai yang sebahagiannya diimbangi oleh penghutang yang lebih rendah.

Aliran tunai daripada aktiviti operasi berkurangan sebanyak RM2.3 bilion sejajar dengan tunai yang lebih rendah yang dijana daripada peningkatan operasi dan cukai yang dibayar berkaitan dengan tahun taksiran sebelumnya yang sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan faedah yang lebih tinggi yang diterima.

Bagi bahagian huluan, PAT untuk suku pertama 2023 ialah RM12.5 bilion, meningkat RM600 juta disebabkan oleh pertambahan dalam hasil yang sebahagiannya diimbangi oleh kos produk yang lebih tinggi, manakala perolehan bagi suku pertama 2023 mencecah RM35.9 bilion, menokok RM1 .1 bilion jika dibandingkan dengan suku pertama 2022.

“Ini telah dipacu oleh minyak mentah yang lebih tinggi dan kondensat serta volum jualan gas asli ditambah pula dengan impak yang menggalakkan daripada pertukaran asing dan ini sebahagiannya diimbangi oleh harga realisasi purata yang lebih rendah bagi minyak mentah dan kondensat,” tambahnya.

Jumlah purata pengeluaran harian bagi suku pertama 2023 adalah sebanyak 2,497 ribu tong setara minyak (BOE) sehari berbanding hanya 41,000 BOE sehari yang dicatatkan semasa suku yang sama tahun sebelumnya.

Ini disebabkan oleh lonjakan dalam pengeluaran gas daripada operasi Malaysia, ditambah pula dengan pengeluaran minyak mentah yang lebih tinggi daripada operasi antarabangsa tetapi ini sebahagiannya diimbangi oleh kondensat dan pengeluaran gas asli yang kurang memberangsangkan daripada operasi antarabangsa.

Bagi bahagian gas, PAT mencatatkan RM8.8 bilion berbanding RM8.4 bilion pada suku yang sama 2022 selepas didorong oleh hasil yang lebih positif dan sebahagiannya diimbangi dengan kos produk yang lebih mahal, manakala hasil bagi suku pertama 2023 ialah RM33.2 bilion, melonjak RM5.7 bilion berbanding suku yang sama 2022 disebabkan hasil daripada LNG yang lebih baik dan harga purata gas terproses yang direalisasikan, volum jualan yang lebih tinggi serta impak yang menggalakkan daripada pertukaran asing.

Purata volum gas jualan Malaysia meningkat sebanyak 310 juta kaki padu standard sehari terutamanya disebabkan oleh pengambilan yang lebih tinggi daripada sektor tenaga di Semenanjung Malaysia.

Jumlah jualan LNG kasar naik 0.50 juta tan metrik disebabkan oleh pengeluaran loji yang lebih tinggi sejajar dengan peningkatan permintaan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

SC Perkenal Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP), satu pelan tindakan strategik untuk memposisikan pasaran modal Malaysia sebagai pemacu utama pertumbuhan negara dan kemakmuran ekonomi.

Dengan visi jangka panjang 20 tahun, CMP menyokong transformasi ekonomi dengan mempercepatkan pertumbuhan dalam sektor baru muncul sambil memperkukuh peranan pasaran dalam membina ekonomi yang lebih maju, inklusif, mampan dan bersepadu serantau.

Di bawah CMP, pasaran modal Malaysia diunjurkan mengatasi pertumbuhan KDNK, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6-8%, kepada RM5.8-6.3 trilion menjelang 2030 daripada RM4.3 trilion pada tahun 2025. Ini didorong oleh penyenaraian baharu, mobilisasi modal institusi, program penciptaan nilai dan pembiayaan bon korporat yang lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, melancarkan CMP di SC hari ini dengan dihadiri oleh Menteri-menteri Kabinet utama dan pemimpin industri kewangan dan pasaran modal.

CMP merupakan usaha seluruh negara (whole-of-nation effort) yang selaras dengan keutamaan pertumbuhan negara termasuk rangka kerja Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia ke-13, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

CMP juga secara langsung menyokong aspirasi Malaysia untuk menaikkan siling bagi prestasi ekonomi dan menaikkan lantai bagi kualiti hidup rakyat, dengan pasaran modal sebagai asas kepada ekosistem yang berkesan untuk pengumpulan dana dan pelaburan.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata CMP mencerminkan usaha kolektif oleh pembuat dasar dan peserta pasaran modal untuk memajukan pasaran modal Malaysia dan menyokong aspirasi negara.

“Pelan Induk ni merupakan pelan yang bercita-cita tinggi. Kami menyasarkan untuk mengembangkan saiz pasaran modal sebanyak RM1.5 hingga RM2 trilion dalam tempoh lima tahun. Ia mencerminkan kepercayaan bahawa kita mempunyai banyak ruang penambahbaikan dan keperluan untuk mengejar, dari segi pertumbuhan,” katanya.

Dengan mengambil kira aspirasi dan megatrend global Malaysia, CMP berlandaskan empat tema luas tetapi saling berkaitan iaitu kerancakan, keterangkuman, kemampanan dan peluang serantau. Ini akan memanfaatkan pasaran modal Islam Malaysia serta kekuatan kawal selia dan tadbir urus:

1) Kerancakan

CMP bertujuan untuk meningkatkan dengan ketara penilaian pasaran Malaysia, aktiviti dagangan dan akses untuk syarikat yang ingin mendapatkan modal. Kunci kepada matlamat ini adalah mengoptimumkan penilaian pasaran ekuiti serta memperkukuh cadangan nilai untuk bon dan sukuk dalam pasaran modal Malaysia.

Inisiatif bersasar akan dilaksanakan untuk meningkatkan keterlihatan syarikat awam tersenarai (PLC) berkualiti tinggi melalui inovasi yang lebih besar dan kecekapan modal yang lebih baik, yang membawa kepada penciptaan nilai yang lebih baik.

2) Keterangkuman

Bagi memastikan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat secara saksama daripada pertumbuhan negara, CMP bertujuan untuk meningkatkan lantai dengan meluaskan akses kepada produk dan perkhidmatan pasaran modal untuk penciptaan kekayaan jangka panjang. Usaha ini akan disokong dengan meningkatkan literasi kewangan, dengan memanfaatkan teknologi digital untuk keberkesanan.

3) Kemampanan

Bagi menyokong komitmen pembangunan mampan Malaysia, CMP menyasarkan untuk menggerakkan pembiayaan bagi mitigasi iklim, peralihan, penyesuaian, daya tahan dan hasil sosial yang lebih luas. Ini menyokong agenda kemampanan Malaysia dan memperkukuh peranan pasaran modal dalam memajukan memajukan peralihan ke arah sifar bersih dan daya tahan jangka panjang negara.

4) Peluang Serantau

Bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk serantau yang dipercayai, CMP akan menyokong pengembangan serantau juara tempatan, memudahkan penerbitan produk khusus dan kompetitif yang berasaskan aset asas asing, menarik lebih banyak penyenaraian dan penerbitan bon/sukuk oleh syarikat asing.

Hasil ini diperkukuh lagi oleh kepimpinan global Malaysia dalam kewangan Islam, menerapkan prinsip Maqasid Al-Syariah (objektif Syariah yang lebih tinggi) ke dalam penawaran yang boleh dilaburkan dan berdaya saing di peringkat global.

Di samping itu, kecemerlangan pengawalseliaan dan tadbir urus adalah penting untuk memastikan pasaran modal kekal adaptif, stabil dan bersedia untuk masa hadapan.

Bagi memastikan penyampaian dan akauntabiliti yang berkesan, Jawatankuasa Pemandu Pelan Induk Modal, yang terdiri daripada pegawai kerajaan utama dan wakil sektor swasta, akan ditubuhkan untuk menyelia pelaksanaan CMP. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang CMP, sila layari https://www.sc.com.my/capitalmarket-masterplan