
KUALA LUMPUR, 25 November 2025 – Google, Temasek, dan Bain & Company hari ini melancarkan edisi ke-10 laporan e-Conomy SEA yang menunjukkan Malaysia kini sebagai ekonomi digital yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 19%, dan berada di landasan yang tepat untuk mencapai Gross Merchandise Value (GMV) sebanyak US$39 bilion (kira-kira RM161 bilion) tahun ini. Peralihan ke arah pertumbuhan mampan ini didorong oleh kadar penggunaan digital yang kekal tinggi dalam kalangan pengguna serta persekitaran makroekonomi yang stabil, termasuk kadar inflasi yang terkawal.
Di peringkat serantau, ekonomi digital Asia Tenggara dijangka melepasi US$300 bilion (kira-kira RM1.24 trilion) dalam GMV menjelang 2025, dengan pertumbuhan 15% tahun-ke-tahun dan mengatasi unjuran pertama rantau ini sebanyak 1.5 kali ganda. Sebagai ekonomi kelima terbesar dunia dengan populasi melebihi 680 juta, Asia Tenggara telah melalui proses pendigitalan yang pesat dalam sedekad lalu, menunjukkan ketahanan dan keupayaan penjanaan pendapatan yang kukuh walaupun berdepan cabaran global seperti COVID-19, inflasi dan tekanan rantaian bekalan.
Dapatan utama dalam laporan Malaysia:
- Prestasi Malaysia tahun ini didorong oleh kekuatan dan kematangan ekonomi digitalnya
Sektor pelancongan dalam talian mencatat pertumbuhan GMV sebanyak 19%, iaitu yang terpantas di Asia Tenggara, didorong oleh peningkatan perhubungan udara, langkah pelonggaran visa dan kempen pelancongan digital berskala besar yang semakin rancak menjelang ‘Visit Malaysia 2026’. Dengan ketibaan pelancong antarabangsa meningkat lebih 20% tahun-ke-tahun pada separuh pertama 2025, Malaysia meraih manfaat daripada jumlah pelancong yang lebih tinggi serta perbelanjaan yang lebih besar apabila pelawat memilih pengalaman perjalanan yang lebih berkualiti dan berteraskan digital. Tren ini menggambarkan sektor digital yang semakin dibentuk oleh kadar penggunaan yang stabil, kecekapan yang lebih baik, dan penciptaan nilai yang lebih mendalam dalam kalangan pengguna serta perniagaan.
E-dagang terus berkembang pada kadar yang sihat dan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi digital negara, dijangka mencecah US$20 bilion (kira-kira RM83.3 bilion) menjelang 2025. Sektor ini mencatat pertumbuhan 21% tahun-ke-tahun dalam GMV, kadar kedua terpantas di Asia Tenggara. Pertumbuhan ini didorong oleh penyatuan platform yang semakin meningkat apabila pemain besar serantau memanfaatkan skala ekonomi, serta penglibatan video commerce yang berjaya menukar perhatian kepada jualan dengan halangan yang minimum.
Perkhidmatan Kewangan Digital (Digital Financial Services, DFS) terus menunjukkan pertumbuhan dua angka, dengan pembayaran digital dijangka mencecah US$213 bilion (kira-kira RM887 bilion) dalam Gross Transaction Value (GTV) menjelang 2025. Momentum ini dipacu oleh peralihan pesat Malaysia ke arah pembayaran tanpa tunai, termasuk peningkatan 28% dalam penggunaan pembayaran digital seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia. Selain itu, penerimaan rentas sempadan turut berkembang dengan ketara apabila standard DuitNow QR kini boleh beroperasi merentasi semakin banyak pasaran di Asia Tenggara.
- Kedudukan Malaysia sebagai salah satu hab teras AI dan infrastruktur digital di Asia Tenggara kian menyerlah.
Ekonomi digital Malaysia turut diperkukuh melalui pelaburan besar dalam infrastruktur digital. Kapasiti pusat data telah meningkat kepada 690 MW pada separuh pertama tahun ini berbanding 120 MW pada 2024, dan terdapat perancangan untuk meningkatkan kapasiti tersebut sebanyak 350%, mewakili separuh daripada keseluruhan kapasiti yang dirancang di peringkat serantau. Pada 2024, Google turut mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak US$2 bilion di Malaysia, termasuk pembangunan pusat data Google pertama dan Google Cloud region bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan berkeupayaan AI di dalam dan luar negara.
- Iklim pelaburan yang positif dipacu oleh pembiayaan dan aktiviti IPO yang rancak serta pelaburan kukuh dalam infrastruktur digital.
Malaysia meraih 32% daripada keseluruhan pembiayaan AI swasta di Asia Tenggara, berjumlah US$759 juta (kira-kira RM3.14 bilion), didorong oleh beberapa urus niaga besar dalam sektor perkhidmatan kewangan digital. Malaysia juga menerajui aktiviti IPO di rantau ini, menyumbang separuh daripada keseluruhan penyenaraian dalam tempoh 12 bulan lalu. Peningkatan aktiviti keluar (exits) ini menandakan persekitaran pelaburan yang lebih stabil, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi kompetitif untuk syarikat teknologi berimpak tinggi dan pengembangan digital.
Sentimen pelabur kekal positif, dengan hampir dua pertiga (64%) pelabur yang disoal selidik menjangkakan peningkatan aktiviti pembiayaan di Malaysia sehingga tahun 2030, terutamanya dalam sektor perisian, perkhidmatan, AI dan teknologi mendalam (deep tech).
Ben King, Pengarah Urusan Google Malaysia & Singapura berkata, “Ekonomi digital Malaysia menunjukkan trajektori pertumbuhan yang positif. Dengan kadar penggunaan digital yang tinggi dalam kalangan pengguna, sektor yang kukuh serta pelaburan besar dalam infrastruktur digital, Malaysia sedang membina sebuah ekosistem digital yang semakin canggih dan kompetitif di peringkat global. Tahap penggunaan AI yang tinggi turut mempercepatkan kemajuan ini, dengan tiga daripada empat pengguna digital di Malaysia telah menggunakan alat GenAI dan penglibatan harian yang kukuh dalam kalangan pengguna celik digital. Ini mewujudkan asas yang kukuh untuk fasa pertumbuhan seterusnya yang dipacu oleh AI. Selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi peneraju digital serantau menjelang 2030, kami kekal komited menyokong usaha Malaysia membina ekonomi digital yang inklusif, inovatif dan bersedia untuk AI.”
“Sektor ekonomi digital Asia Tenggara telah menunjukkan pertumbuhan luar biasa dan ketahanan yang mengagumkan, mengekalkan momentum walaupun berdepan tempoh berhati-hati dalam kalangan pelabur serta perubahan landskap makroekonomi sepanjang dekad lalu. Malaysia kini berada di barisan hadapan sebagai ekonomi digital yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara, dan dijangka mencapai US$39 bilion dalam GMV menjelang 2025. Didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam e-dagang, pelancongan dalam talian, pembayaran tanpa tunai, serta pembangunan pesat infrastruktur berkeupayaan AI, Malaysia semakin kukuh sebagai peneraju digital di rantau ini. Peluang sebenar kini terletak pada bagaimana perniagaan memanfaatkan AI sebagai pemangkin impak, sambil membina di atas asas digital Malaysia yang kukuh,” kata Amanda Chin, Rakan Kongsi, Bain & Company.
Kemajuan digital Malaysia dijangka membawa manfaat yang signifikan kepada pengguna dan perniagaan, termasuk perkhidmatan perjalanan yang lebih baik, akses lebih meluas kepada penyelesaian kewangan digital yang selamat dan mudah, serta peluang yang semakin berkembang dalam bidang AI, perkhidmatan awan dan pembangunan kemahiran digital.










