Malaysia, Singapura Teroka Inisiatif Pacu Zon Ekonomi Khas JS-SEZ

JOHOR BAHRU, 11 Jan (Bernama) — Malaysia dan Singapura bersedia untuk meneroka beberapa inisiatif bagi memacu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Kementerian Ekonomi Malaysia dan Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura berkata inisiatif itu termasuk mewujudkan pusat perniagaan/pelaburan sehenti di Johor bagi memudah cara proses permohonan pelbagai kelulusan serta lesen yang diperlukan untuk membolehkan perniagaan republik itu beroperasi di Johor.

Malah, JS-SEZ akan turut memanfaatkan pertumbuhan Johor yang kukuh serta pelaburan penting Singaapura di rantau itu.

Pada 2022, Johor mencatat pelaburan bernilai RM70.6 bilion yang merentasi pelbagai sektor termasuk elektrikal dan elektronik, peranti perubatan, pengeluaran makanan serta pusat-pusat data.

Singapura pula merupakan pelabur asing kedua terbesar Johor bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 dan menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) negeri itu dalam sektor pembuatan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyifatkan kewujudan JS-SEZ memberi peluang besar bagi meningkatkan aliran rentas sempadan membabitkan pergerakan kargo serta rakyat, memacu ekosistem perniagaan serta meningkatkan daya tarikan ekonomi Johor dan Singapura. 

“Saya yakin sepenuhnya inisiatif ini akan membuka fasa transformatif dalam hubungan ekonomi dua hala, memupuk kesalinghubungan dan kemakmuran yang tiada tandingan bagi kedua-dua negara hebat ini,” kata beliau.

Menyentuh inisiatif lain, kenyataan bersama itu berkata penerimagunaan/pelaksanaan sistem pelepasan kod QR tanpa pasport pada kad di kedua-dua pihak pula bertujuan memudahkan urusan pelepasan orang ramai di pusat pemeriksaan darat secara lebih pantas.

Pelaksanaan proses digital bagi tujuan pelepasan kargo di pusat pemeriksaan darat serta aspek mudah cara kerjasama tenaga boleh baharu Malaysia-Singapura dalam JS-SEZ, juga menjadi antara inisiatif awal JS-SEZ bagi memacu pertumbuhan ekonomi. 

Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong pula berkata JS-SEZ berperanan sebagai jambatan untuk kedua-dua negara saling memanfaatkan kekuatan masing-masing selain merebut peluang bagi pertumbuhan bersama.

“Saya teruja dengan (impak) perjanjian JS-SEZ serta manfaatnya untuk perniagaan serta rakyat kedua-dua negara,” katanya. 

Malaysia dan Singapura adalah rakan dagang kedua terbesar bagi satu sama lain pada 2022 yang menyaksikan dagangan dua hala tumbuh sebanyak 18.9 peratus tahun ke tahun kepada SGD$153 bilion (SGD$1=RM3.48). 

Bagi tempoh sama, Singapura berperanan sebagai sumber utama FDI Malaysia dengan menyumbang sebanyak 20.5 peratus daripada keseluruhan FDI di negara ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ikhlas.com Zakat Fest 2025: Memperkasa Impak Strategik Melalui Zakat

SEPANG, 28 Oktober 2025 – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju platform zakat digital di Malaysia apabila berjaya merekodkan kutipan zakat harta berjumlah lebih RM50 juta menerusi usahasama dengan badan-badan zakat di seluruh negara.

Pencapaian itu diumumkan sempena edisi kedua Zakat Fest 2025, acara tahunan utama anjuran ikhlas.com yang meraikan peranan strategik zakat dalam membina komuniti mampan, memperkukuh keadilan sosial dan menyokong ekonomi inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Kami menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM100 juta pada tahun hadapan, yang akan dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan menerusi AirAsia Wakalah Fund.”

Dana tersebut merupakan inisiatif berimpak tinggi yang diwujudkan hasil kutipan zakat korporat dan dana wakalah melalui platform ikhlas.com, terbahagi kepada empat komponen iaitu bantuan tunai bagi kumpulan berpendapatan rendah, bantuan pendidikan (Ikhlas Untukmu), bantuan kecemasan bagi mangsa bencana dan keperluan mendesak dan kelas asas fardhu ain percuma.

Selain mengumumkan pencapaian kutipan, ikhlas.com turut mengumumkan perluasan kerjasama strategik bersama empat institusi zakat negeri baru iaitu Pusat Kutipan Zakat Pahang, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Tambah Ikhlas: “Setinggi-tinggi penghargaan kepada badan-badan zakat negeri yang memberi kepercayaan kepada ikhlas.com menerusi kerjasama strategik bagi memperkasakan impak dan hasil kutipan zakat menerusi penyeragaman sistem digital yang lebih cekap, telus dan pantas.”

“Kerjasama ini bukan sahaja dapat meningkatkan integrasi digital malah mengoptimumkan peruntukan dana dan mempertingkatkan ketelusan dalam pengagihan zakat kepada golongan yang berhak menerimanya,”  katanya.

Jumlah keseluruhan institusi zakat negeri yang bekerjasama dengan ikhlas.com kini meningkat kepada 10, menjadikan majoriti badan zakat negeri di Malaysia telah melantik penyedia perkhidmatan gaya hidup Islam di bawah naungan Capital A itu sebagai amil rasmi bagi kutipan zakat harta dan lain-lain.

Zakat Fest 2025 turut meraikan kecemerlangan dalam pemberian yang beretika dan berimpak melalui penganugerahan kategori Majikan Terbaik dan Pembayar Zakat Terbaik. Pengiktirafan ini diberikan kepada organisasi yang secara konsisten menunjukkan kepimpinan dalam mengintegrasikan zakat ke dalam rangka kerja perniagaan mereka, sekali gus memberi kesan positif kepada rantaian bekalan dan komuniti setempat.

Dilancarkan pada kemuncak pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform gaya hidup dan pelancongan Islam digital di bawah Capital A Berhad, yang berfungsi sebagai saluran bagi umat Islam menunaikan kewajipan mereka dengan mudah. Selain perkhidmatan Umrah dan Pelancongan Mesra Muslim melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia, ikhlas.com turut menawarkan perkhidmatan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan lain-lain. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih melalui Apple App Store dan Google Play Store.