Prospek Ringgit Dijangka Positif Tahun Ini – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) — Ringgit dijangka mengukuh tahun ini disokong oleh beberapa pemangkin penting yang boleh meningkatkan nilai mata wang tempatan.

Saktiandi Supaat, ketua penyelidikan dan strategi pertukaran asing, pasaran global di Maybank Singapore berkata dengan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) berkemungkinan akan melonggarkan kitaran monetarinya tidak lama lagi, landskap kadar sepatutnya lebih menguntungkan bagi ringgit memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadarnya sepanjang 2024.

“Ahli ekonomi kita berpandangan bahawa 2024 boleh menjadi tahun lonjakan bagi ekonomi Malaysia dengan pelan tindakan, pelan induk seperti rangka kerja Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang bakal dilaksanakan, dan pembaharuan fiskal serta penstrukturan semula ekonomi menjadi tumpuan utama.

“Pelaksanaan berperingkat rasionalisasi subsidi bahan api juga boleh meningkatkan keyakinan terhadap ringgit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata 2024 boleh menjadi tahun yang lebih baik bagi ringgit selagi persekitaran luaran kekal positif bagi mata wang tempatan.

Faktor-faktor luaran

Ketika ini ringgit berlegar di paras 4.77 berbanding dolar AS.

Saktiandi berkata nilai ringgit masih rendah dan trend ini telah berterusan sejak kejatuhan harga minyak manakala dolar AS mendapat tarikan sebagai mata wang selamat susulan data makro negara itu yang kekal kukuh. 

“Sebagai mata wang rizab dan mata wang pembayaran, sokongan pengelakan risiko terhadap dolar AS dijangka berterusan sehingga Fed memberi bayangan akan mula secara rasmi mengurangkan kadarnya atau trajektori prospek penurunan inflasi AS terus kekal,” katanya. 

Beliau berkata pergerakan ringgit mungkin berubah sekiranya Fed menurunkan kadar dan hasil mula susut kerana perbezaan kadar boleh menjadi pemacu penting bagi ringgit berbanding dolar AS.

Selain itu, ekonomi China yang bertambah baik dan/atau rangsangan fiskal dari negara itu boleh menambah  sokongan kepada yuan dan pasaran serantau.

“Selagi ekonomi Malaysia terus mencatatkan peningkatan dari segi prospek eksport dan pelaburan, pemacu asas makro akan terus menyokong,” katanya. 

Ringgit berbanding mata wang serantau

Saktiandi berkata dari 22 Mac hingga hari ini, ringgit hanya turun sebanyak 0.88 peratus berbanding dolar AS.

Secara perbandingan, beliau berkata, rupiah Indonesia, won Korea, yen Jepun, dolar Taiwan, peso Filipina, baht Thailand dan dolar Singapura mencatatkan prestasi lebih buruk daripada ringgit berbanding dolar AS apabila mata wang berkenaan masing-masing menyusut 2.9 peratus, 2.8 peratus, 2.2 peratus, 2.1 peratus,  2.0 peratus, 1.80 peratus dan 0.9 peratus. 

“Yen, rupiah, won, peso dan baht, sebagai contoh, berdepan aliran portfolio khusus dan/atau isu berkaitan domestik termasuk dasar serta kebimbangan fiskal yang mungkin telah memburukkan lagi impaknya ke atas mata wang dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, pasaran kewangan Malaysia agak berdaya tahan berbanding pasaran serantau lain walaupun terdapat pertembungan faktor risiko dengan kerajaan dan bank pusat berjaya mengawal keadaan dengan baik.

Prestasi pertukaran asing

Saktiandi menjangka kemeruapan pasaran pertukaran asing akan pulih atau stabil sebaik sahaja prospek kadar dasar AS menjadi lebih jelas dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah mereda yang mana akan menyebabkan dolar AS turun dengan ketara menjelang akhir tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat risiko peningkatan ketegangan AS-China menjelang atau selepas pilihan raya presiden AS.

“Keadaan makro di luar AS yang bertambah baik juga boleh menambah baik sentimen risiko dan menyediakan sokongan terhadap mata wang pasaran sedang pesat membangun berisiko,” katanya.

Selain itu, intervensi lisan terbaharu yang diselaraskan menerusi pelbagai kenyataan daripada mesyuarat tiga hala Kumpulan Tujuh (G7) antara menteri kewangan Korea Selatan, Jepun dan AS serta ulasan People’s Bank of China’s  mengenai yuan, telah membantu meredakan entimen dalam pasaran pertukaran asing, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ikhlas.com Zakat Fest 2025: Memperkasa Impak Strategik Melalui Zakat

SEPANG, 28 Oktober 2025 – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju platform zakat digital di Malaysia apabila berjaya merekodkan kutipan zakat harta berjumlah lebih RM50 juta menerusi usahasama dengan badan-badan zakat di seluruh negara.

Pencapaian itu diumumkan sempena edisi kedua Zakat Fest 2025, acara tahunan utama anjuran ikhlas.com yang meraikan peranan strategik zakat dalam membina komuniti mampan, memperkukuh keadilan sosial dan menyokong ekonomi inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Kami menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM100 juta pada tahun hadapan, yang akan dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan menerusi AirAsia Wakalah Fund.”

Dana tersebut merupakan inisiatif berimpak tinggi yang diwujudkan hasil kutipan zakat korporat dan dana wakalah melalui platform ikhlas.com, terbahagi kepada empat komponen iaitu bantuan tunai bagi kumpulan berpendapatan rendah, bantuan pendidikan (Ikhlas Untukmu), bantuan kecemasan bagi mangsa bencana dan keperluan mendesak dan kelas asas fardhu ain percuma.

Selain mengumumkan pencapaian kutipan, ikhlas.com turut mengumumkan perluasan kerjasama strategik bersama empat institusi zakat negeri baru iaitu Pusat Kutipan Zakat Pahang, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Tambah Ikhlas: “Setinggi-tinggi penghargaan kepada badan-badan zakat negeri yang memberi kepercayaan kepada ikhlas.com menerusi kerjasama strategik bagi memperkasakan impak dan hasil kutipan zakat menerusi penyeragaman sistem digital yang lebih cekap, telus dan pantas.”

“Kerjasama ini bukan sahaja dapat meningkatkan integrasi digital malah mengoptimumkan peruntukan dana dan mempertingkatkan ketelusan dalam pengagihan zakat kepada golongan yang berhak menerimanya,”  katanya.

Jumlah keseluruhan institusi zakat negeri yang bekerjasama dengan ikhlas.com kini meningkat kepada 10, menjadikan majoriti badan zakat negeri di Malaysia telah melantik penyedia perkhidmatan gaya hidup Islam di bawah naungan Capital A itu sebagai amil rasmi bagi kutipan zakat harta dan lain-lain.

Zakat Fest 2025 turut meraikan kecemerlangan dalam pemberian yang beretika dan berimpak melalui penganugerahan kategori Majikan Terbaik dan Pembayar Zakat Terbaik. Pengiktirafan ini diberikan kepada organisasi yang secara konsisten menunjukkan kepimpinan dalam mengintegrasikan zakat ke dalam rangka kerja perniagaan mereka, sekali gus memberi kesan positif kepada rantaian bekalan dan komuniti setempat.

Dilancarkan pada kemuncak pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform gaya hidup dan pelancongan Islam digital di bawah Capital A Berhad, yang berfungsi sebagai saluran bagi umat Islam menunaikan kewajipan mereka dengan mudah. Selain perkhidmatan Umrah dan Pelancongan Mesra Muslim melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia, ikhlas.com turut menawarkan perkhidmatan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan lain-lain. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih melalui Apple App Store dan Google Play Store.