VGM Rancang Jadikan Malaysia Sebagai Hab Eksport Jenama Volkswagen – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) — Volkswagen Group Malaysia (VGM) merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab eksport bagi jenama Volkswagen, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menerusi hantaran di laman X pada Khamis, beliau memaklumkan bahawa dalam pertemuan bersama pihak VGM, mereka telah berkongsi perancangan itu.

“Selain model konvensional, VMG turut merancang untuk mengeluarkan kenderaan EV di Malaysia,” katanya.

Beliau yakin kerjasama itu akan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam arena automotif serantau.

“Kalau dulu kita import Volkswagen, sekarang ni sesetengah model dah dipasang di Malaysia. Antara model yang dipasang di Malaysia ialah Touareg. Ini adalah kali pertama model Touareg dipasang di luar Eropah,” katanya.

— BERNAMA

TAG: MITI, Tengku Zafrul Abdul Aziz, Volkswagen, EV, hab eksport, Malaysia

Previous ArticleNext Article

SC Lancar investED For Returning Women, Sokong Wanita Kembali Bekerja Dalam Pasaran Modal

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan investED for Returning Women, program latihan dan kemasukan semula yang direka untuk menyokong wanita yang ingin menyertai semula pasaran modal selepas berhenti seketika daripada kerjaya (career break).

Program ini akan melengkapi wanita yang ingin kembali bekerja dengan pengetahuan, kemahiran dan peluang untuk berjaya dalam pasaran modal.

Program tersebut dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan YB Lim Hui Ying di SC.

investED for Returning Women, yang pertama kali diumumkan pada bulan Oktober tahun ini, telah menerima lebih 600 permohonan, mencerminkan minat dan permintaan tinggi dalam kalangan wanita yang mencari laluan berstruktur untuk kembali ke dalam pekerjaan profesional.

Umur pemohon adalah dalam linkungan pertengahan 30-an hingga akhir 40-an, dengan pengalaman dalam sektor minyak & gas, perbankan, kewangan dan insurans. Kebanyakan pemohon menyatakan sebab utama mereka berhenti bekerja adalah kerana tanggungjawab keluarga dan keperluan penjagaan (caregiving).

investED for Returning Women direka untuk menyokong wanita kembali bekerja selepas berhenti seketika, khususnya dalam sektor pasaran modal. Program ini disampaikan dalam dua fasa:

  1. REFRESH (kesediaan profesional & peribadi)

Tertumpu kepada membina keyakinan, memperkenalkan semula budaya tempat kerja dan meningkatkan kemahiran insaniah melalui klinik kerjaya, bimbingan peribadi dan networking untuk menyediakan peserta bagi penempatan kerja.

  1. RESKILL (kecekapan teknikal & pasaran)

Melengkapkan peserta dengan kemahiran teknikal dan pengetahuan industri terkini yang berkaitan dengan pasaran modal, disokong oleh latihan berstruktur, pendedahan industri dan sokongan susulan semasa enam bulan pertama pekerjaan.

Kedua-dua fasa menyediakan laluan komprehensif untuk wanita kembali ke dunia pekerjaan dengan jayanya. Peserta yang melengkapkan kedua-dua fasa akan menerima insentif sebanyak RM2,000 beserta sijil.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata program ini sejajar dengan usaha SC dalam meningkatkan kepelbagaian dan keterangkuman tenaga kerja pasaran modal, yang mana wanita mewakili sebahagian besar daripadanya.

“Dalam 100 syarikat tersenarai teratas di Bursa Malaysia, lebih 34% daripada jawatan lembaga pengarah dipegang oleh wanita setakat 1 Okt 2025.

“Dengan pasaran modal yang semakin canggih, serta dalam menghadapi kekurangan bakat, program ini bertujuan untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran profesional untuk kembali memperkukuh daya tahan pasaran,” katanya.

Sama seperti pendekatan yang diambil untuk Program Kepimpinan investED SC, investED for Returning Women menggabungkan pembelajaran bilik darjah, bimbingan dan penempatan industri.

SC juga akan memudahcarakan penempatan pekerjaan dengan menghubungkan peserta dengan syarikat rakan kongsi. Peserta juga akan menerima bimbingan daripada profesional berpengalaman dalam firma terkemuka.

Program ini disokong oleh 30% Club Malaysia, LeadWomen Sdn Bhd, Securities Industry Development Corporation (SIDC), PricewaterhouseCoopers Malaysia Holdings Sdn Bhd (PwC) dan Talent Corporation Malaysia Berhad. Rakan kongsi memainkan peranan aktif dalam mereka bentuk modul latihan dan menawarkan penempatan tempat kerja.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati https://www.invested.my/invested-for-women/.