7 Benda Yang Orang Bisnes Perlu Tahu Mengenai Zakat Perniagaan

Perniagaan (tijarah) bermaksud jual dan beli untuk mendapatkan untung. Dari segi istilah pula, ianya bermaksud suatu kontrak untuk memperoleh harta atau keuntungan sama ada secara tukaran, akad jual beli, sewaan ataupun melalui hutang.

Pernahkah anda mendengar ayat “Harta kita bukan milik kita sahaja”? Ianya bermaksud, dalam setiap harta kita, wajib untuk kita tunaikan zakat apabila sudah cukup tempoh haul (setahun) bagi yang beragama Islam.

Bagi kita yang beragama Islam, zakat merupakan rukun Islam yang ke 5. Kita wajib membayar zakat jika mencukupi syarat-syaratnya. Zakat adalah amat berbeza dengan sedekah kerana sedekah adalah perkara yang sunat, manakala zakat hukumnya wajib.

Jika anda seorang peniaga atau usahawan, zakat yang perlu dikeluarkan adalah zakat perniagaan. Cara pembayaran zakat bagi setiap negeri adalah berbeza dan setiap nisab zakat bagi sesuatu negeri mempunyai kepentingannya yang tersendiri.

Di sini, kami akan kongsikan 7 perkara anda harus tahu mengenai zakat perniagaan.

1.  Barang Yang Tidak Wajib Zakat

Barang atau hasil yang haram perlu dikeluarkan daripada zakat. Antaranya adalah daripada hasil judi, arak dan juga riba. Jadi, perniagaan yang daripada hasil haram perlu dikeluarkan daripada zakat. 

2.  Aset Semasa Haruslah Produktif

Jika perniagaan anda ada stok pelupusan, mempunyai hutang lapuk serta penurunan nilai perniagaan yang sangat ketara, ianya hendaklah ditolak. Aset semasa perniagaan anda haruslah produktif dan bernilai.

3.  Kategori Stok / Inventori

Bagi anda yang menguruskan perniagaan perkilangan misalnya, zakat yang dikenakan adalah bergantung atas bahan tersebut. Biasanya, barang yang siap sahaja akan diambil kira. Jadi, bahan seperti stok bahan mentah serta barangan ketika dalam proses tidak akan diambil kira.

4.  Hanya Dikenakan Kepada Milik Yang Sempurna

Bayaran seperti deposit elektrik, telefon dan seumpamanya hendaklah ditolak kerana tidak memenuhi syarat milik sempurna. Sebagai contoh, TNB,  AKSB dan sebagainya.  Untuk pengiraan zakat, ia perlulah dikira selepas menolak segala kos-kos tersebut supaya mencukupi syaratnya.

5.  Tabung Yang Bersifat Kebajikan

Dalam sesebuah syarikat, jika anda mempunyai tabung bersifat kebajikan, maka ia akan dikecualikan daripada zakat. Namun, jika anda mempunyai tabung kebajikan bersifat pusingan, jumlah amaun yang akan dikecualikan adalah nilai pokok yang telah dimanfaatkan.

6.   Hanya Dikenakan Kepada Pekerja Muslim Sahaja

Menjalankan perniagaan dan mempunyai pekerja yang berbilang kaum, ia harus mengikuti konsep zakat yang sebenar.  Zakat tersebut hanya perlu dikenakan ke atas pekerja yang beragama Islam sahaja. Manakala yang bukan Islam tidak perlu dikenakan zakat. Anda pun tahu kenapa, ianya adalah syariah agama yang perlu kita patuhi.

7.   Cara atau Kaedah Pengiraan Zakat Perniagaan

Untuk pengetahuan anda, kadar pengiraan zakat adalah 2.5% daripada nilai harta.

Sebagai contoh :

A) Hasil/Jualan/Pendapatan:

RM300 sehari x 5 hari berniaga = RM 1,500 seminggu

RM1,500 x 4 minggu = RM6,000 sebulan

RM6,000 x 12 bulan = RM72,000 setahun

B) Tolak : Belanja/Kos Setahun (RM10,000)

C) Keuntungan Bersih Setahun (A-B) RM72,000 – RM10,000 = RM62,000

D) Kadar Zakat 2.5 peratus

E) Zakat Perniagaan (C X D) RM1,550

Anda boleh menyemak jumlah zakat perniagaan anda di Kalkulator Pengiraan Zakat.

Kesimpulannya, membayar zakat itu dapat menyucikan harta dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Selain itu, berzakat akan membuatkan kita jauh dari sifat boros dan tamak.

Jadi, sekiranya anda belum mengeluarkan zakat perniagaan, bolehlah membayarnya sekarang di cawangan zakat berdekatan tempat tinggal anda. Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut di sana.

Sumber Rujukan:  Zakat Selangor

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.