
Sub Topik
Bila sebut sahaja Perbankan Islam, macam-macam mitos dan pendapat dikeluarkan di kalangan kita. Ada yang kata ianya hanyalah ‘copy paste’ daripada yang Konvensional dan tukar nama produk kepada Islamik sahaja. Ada juga yang kata Perbankan Islam lebih kejam berbanding Perbankan Konvensional.
Bermacam-macam persepsi negatif yang boleh mengundang tanggapan buruk terhadap Perbankan Islam, lebih-lebih lagi yang memberi persepsi negatif itu adalah dari seorang Muslim.
Jika diimbas dari sudut sejarah, Perbankan Islam dah pun menapak di Malaysia dengan tertubuhnya Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada tahun 1983, yang dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah Akta Perbankan Islam 1983.
Dah Lama Di Malaysia, Tapi Tahap Kesedaran Masih Rendah
Walaupun telah 36 tahun lamanya berada di Malaysia, terdapat banyak salah faham berkenaan Perbankan Islam, ditambah lagi dengan kurangnya kesedaran orang ramai berkenaan produk-produk Islamik.
Utusan Malaysia telah melaporkan pada 14 Januari 2019 bahawa, 60 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak menyedari tentang adanya kemudahan pembiayaan perniagaan Islam yang disediakan. Selain daripada itu, produk Islamik yang ditawarkan bukan hanya untuk orang Islam sahaja, ia juga terbuka untuk masyarakat bukan Islam.
Laporan tersebut juga menyatakan bahawa setakat September 2018, Kewangan Islam mempunyai aset perbankan berjumlah RM874 billion atau 30.4% daripada jumlah keseluruhan aset perbankan di Malaysia.
Secara asasnya, Perbankan Islam perlu terhindar daripada 3 perkara iaitu gharar (ketidaktentuan), maysir (perjudian), dan riba (faedah). Berikut merupakan isu-isu yang sering disalahtafsir berkenaan dengan operasi Perbankan Islam dan penerangan untuk menepis dakwaan tersebut:
1. Sama Dengan Perbankan Konvensional
Kita ambil contoh mudah daripada segi pengenaan caj penalti bayaran lewat. Perbankan Konvensional mengenakan caj penalti bayaran lewat secara ‘compounded interest’, berbeza dengan Perbankan Islam yang mengenakan ta’widh. Ta’widh tidak dikira secara ‘compounded interest’ dan dikenakan sebagai tujuan pampasan kepada bank di atas kerugian kerana menerima bayaran lewat dari pelanggan.
Boleh rujuk jadual di bawah sebagai perbandingan (kita ambil penalti/ta’widh sebanyak 1% sebagai contoh):
Bank Konvensional
Jumlah Akhir Tunggakan = RM10,303.01
Bank Islam
Jumlah Akhir Tunggakan = RM10,300
*Bayangkan jika jumlah tunggakan besar, akan terdapat perbezaan ketara antara Perbankan Islam dan Perbankan Konvensional
2. Pintu Belakang Kepada Riba (Back Door Riba)
Untuk makluman, pembiayaan yang ditawarkan oleh produk Islamik adalah berkonsepkan kontrak tawarruq. Modus operandi kontrak tawarruq adalah seperti di bawah:
Modus operandi di atas dengan jelas menunjukkan ada transaksi yang berlaku dalam kontrak tawarruq, walaupun kita akui kebanyakan pelanggan tidak menyedari proses ini (mungkin pegawai jualan bank boleh memainkan peranan untuk penerangan kepada pelanggan).
3. Lebih Mahal
Dalam kaedah Perbankan Islam, harga jualan akan ditentukan mengikut kadar siling. Ini menyebabkan pelanggan akan nampak seolah-olah ianya sangat mahal. Pada hakikatnya, bayaran ansuran masih bersandarkan kadar keuntungan efektif yang berkait rapat dengan kadar faedah semalaman yang ditentukan oleh BNM.
Bank akan memberikan ibra’(diskaun) jika pembayaran dilangsaikan lebih awal, iaitu perbezaan di antara kadar keuntungan efektif dan kadar keuntungan siling. Cuba kita imbas kembali apa yang berlaku pada tahun 1998 di mana kadar faedah melambung tinggi sehingga 12 peratus dan menyebabkan pelanggan bank konvensional merana kerana tiada kadar siling.
Pada masa yang sama, pelanggan Perbankan Islam hanya perlu membayar sehingga kadar siling sahaja seperti aqad yang dipersetujui.
Sumber: https://islamicbankers.me/tag/early-settlement-rebate/
Semoga Dapat Pencerahan
Dengan penerangan di atas, diharap kita dapat lebih memahami apa itu Perbankan Islam dan tidak lagi berlaku salah faham menyamakan dengan Perbankan Konvensional. Untuk makluman juga, setiap Institusi Kewangan Islam dan Pengendali Takaful di Malaysia tertakluk kepada Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA).
Setiap organisasi tersebut juga mempunyai Jawatankuasa Shariah yang akan merujuk kepada Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia jika ada sebarang pertikaian.
Wallahu’alam bisshawab.
Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam
Masih bekerja di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]
