Zakat Ke Atas Unit Trust (Amanah Saham)

Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga dalam Islam. Di dalam Al-Quran ia selalu digandingkan dengan perintah dirikanlah solat.

Ulama sebut antara hikmah gandingan tersebut adalah supaya ia menyedarkan kita bahawa kehidupan kita di dunia mempunyai dua tanggungjawab, pertamanya kepada Allah dan keduanya kepada sesama manusia.

Zakat harta hari ini menjadi lebih kompleks dengan kemunculan pelbagai jenis harta baik harta itu dalam bentuk fizikal seperti emas, mahu pun harta digital seperti Bitcoin.

Keharusan membeli dan menjual sesuatu harta atau instrumen pelaburan itu biasanya digandingkan dengan kewajipan membayar zakat ke atasnya.

Berdasarkan pengalaman, ada satu jenis zakat yang sering dilupakan dalam pengiraan zakat iaitu zakat unit amanah atau Unit Trust. Malah tidak semua pihak berkuasa zakat memaparkan kalkulator zakat Unit Amanah secara jelas dalam laman web mereka.

Antara yang memaparkannya adalah laman web Lembaga Zakat Selangor (LZS) di bawah perkara Zakat Saham.

Rujuk: https://www.zakatselangor.com.my/zakat-saham/

Berdasarkan panduan LZS, zakat Unit Amanah dikenakan ke atas nilai pelaburan semasa sekiranya melebihi Nisa (nilai minimum bersamaan 85gram emas yang ditentukan oleh pihak berkuasa zakat negeri masing-masing) di hujung Haul (tempoh setahun) tambah keuntungan ditunaikan (realized profit) dengan tolakan berikut:

  1. Kos Transaksi atau Kos Brokeraj;
  2. Dividen Pelaburan tidak patuh Shariah;
  3. Peningkatan modal (capital appreciation) pelaburan tidak patuh Shariah; dan
  4. Jumlah bayaran ansuran tahun kiraan bagi pembiayaan yang dibuat bagi pelaburan dalam Unit Amanah.
Sumber: Lembaga Zakat Selangor

Contoh kes yang biasa seperti berikut:

Kadar Nisab yang ditentukan oleh LZS bagi tahun 2020 adalah RM18,510.7. Nilai semasa Dana Barakah pada 31 Disember 2020 iaitu hari bayaran zakat adalah RM20,000 lebih daripada kadar Nisab maka zakat dikenakan.

Cara kiraanya RM20,000 x 2.5%, maka nilai zakat adalah RM500.00. Itulah cara kiraan mudah bagi zakat Unit Amanah.

Sekiranya prestasi unit amanah kita negatif sekalipun, andai ia melebihi kadar Nisab, maka zakat dikenakan.

Membayar zakat memastikan harta berlegar dalam kalangan masyarakat yang memerlukan dan membayar zakat ke atas pelaburan kita menjadikan kita sentiasa sebagai pelabur sentiasa memantau prestasi pelaburan dan akan sedaya upaya mencari pulangan pelaburan yang mengatasi kadar 2.5% supaya kita dapat merasa keuntungan.

Bagi seorang agen Unit Amanah, menjadi tanggungjawab anda mengingatkan klien anda tentang tanggungjawab zakat dan bagi seorang klien andai agen anda tidak mengingatkan anda, ingatkanlah dia. Semoga harta kita diberkati dan terus berkembang demi masa depan kita dan masyarakat.

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus kepada pengurusan kewangan, pembasmian kemiskinan, dan pembinaan masyarakat madani. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

ikhlas.com Zakat Fest 2025: Memperkasa Impak Strategik Melalui Zakat

SEPANG, 28 Oktober 2025 – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju platform zakat digital di Malaysia apabila berjaya merekodkan kutipan zakat harta berjumlah lebih RM50 juta menerusi usahasama dengan badan-badan zakat di seluruh negara.

Pencapaian itu diumumkan sempena edisi kedua Zakat Fest 2025, acara tahunan utama anjuran ikhlas.com yang meraikan peranan strategik zakat dalam membina komuniti mampan, memperkukuh keadilan sosial dan menyokong ekonomi inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Kami menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM100 juta pada tahun hadapan, yang akan dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan menerusi AirAsia Wakalah Fund.”

Dana tersebut merupakan inisiatif berimpak tinggi yang diwujudkan hasil kutipan zakat korporat dan dana wakalah melalui platform ikhlas.com, terbahagi kepada empat komponen iaitu bantuan tunai bagi kumpulan berpendapatan rendah, bantuan pendidikan (Ikhlas Untukmu), bantuan kecemasan bagi mangsa bencana dan keperluan mendesak dan kelas asas fardhu ain percuma.

Selain mengumumkan pencapaian kutipan, ikhlas.com turut mengumumkan perluasan kerjasama strategik bersama empat institusi zakat negeri baru iaitu Pusat Kutipan Zakat Pahang, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Tambah Ikhlas: “Setinggi-tinggi penghargaan kepada badan-badan zakat negeri yang memberi kepercayaan kepada ikhlas.com menerusi kerjasama strategik bagi memperkasakan impak dan hasil kutipan zakat menerusi penyeragaman sistem digital yang lebih cekap, telus dan pantas.”

“Kerjasama ini bukan sahaja dapat meningkatkan integrasi digital malah mengoptimumkan peruntukan dana dan mempertingkatkan ketelusan dalam pengagihan zakat kepada golongan yang berhak menerimanya,”  katanya.

Jumlah keseluruhan institusi zakat negeri yang bekerjasama dengan ikhlas.com kini meningkat kepada 10, menjadikan majoriti badan zakat negeri di Malaysia telah melantik penyedia perkhidmatan gaya hidup Islam di bawah naungan Capital A itu sebagai amil rasmi bagi kutipan zakat harta dan lain-lain.

Zakat Fest 2025 turut meraikan kecemerlangan dalam pemberian yang beretika dan berimpak melalui penganugerahan kategori Majikan Terbaik dan Pembayar Zakat Terbaik. Pengiktirafan ini diberikan kepada organisasi yang secara konsisten menunjukkan kepimpinan dalam mengintegrasikan zakat ke dalam rangka kerja perniagaan mereka, sekali gus memberi kesan positif kepada rantaian bekalan dan komuniti setempat.

Dilancarkan pada kemuncak pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform gaya hidup dan pelancongan Islam digital di bawah Capital A Berhad, yang berfungsi sebagai saluran bagi umat Islam menunaikan kewajipan mereka dengan mudah. Selain perkhidmatan Umrah dan Pelancongan Mesra Muslim melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia, ikhlas.com turut menawarkan perkhidmatan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan lain-lain. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih melalui Apple App Store dan Google Play Store.