6 Kursus Jangka Pendek Yang Boleh Bantu Meningkatkan Pendapatan

Kita semua pasti pernah terdengar kata-kata seperti “Duit tidak boleh membeli kebahagiaan” atau “Duit bukanlah segalanya”. Meskipun ia tidak boleh dinafikan, kita juga masih memerlukan duit. Malah, tidak kira betapa kita menafikannya, kita semua berkeinginan untuk mempunyai lebih banyak duit.

Terdapat pelbagai cara untuk anda membuat lebih banyak duit, namun tidak banyak cara yang dapat memberikan anda kepuasaan selain daripada mempelajari kemahiran baru. Sesungguhnya ilmu ialah suatu manfaat yang memberi anda kuasa.

Berikut merupakan 6 kursus-kursus jangka pendek yang boleh membantu anda dalam meningkatkan pendapatan anda bagi jangka masa panjang:

1. Penulisan

Sumber Gambar: Stokpic/Pixabay

Sedar atau tidak, anda barangkali telahpun mempunyai kemahiran yang boleh membantu anda menjana lebih pendapatan. Mungkin kemahiran anda datangnya dari pengalaman yang anda perolehi setelah bertahun lamanya membanting tulang di tempat kerja anda. Atau mungkin ianya dari minat anda yang mendalam terhadap pelancongan, makanan, kesihatan, hiasan dalaman, fesyen, dan lain-lain.

Mempunyai keupayaan dalam menulis dengan gaya yang tersendiri dan penuh semangat mampu membantu anda dalam memasarkan kepakaran dan minat anda. Bakat anda ini boleh digunakan bagi penulisan bebas, penulisan e-book atau buku panduan, penulisan kursus atas talian, dan pelbagai lagi peluang pekerjaan yang berkaitan.

Sebagai contoh, Udemy mempunyai sebuah kursus dalam talian iaitu Ninja Writing: The Four Levels Of Writing Mastery. Dengan bayaran yuran sebanyak USD10.99, anda dapat mempelajari bagaimana untuk menyusun ayat-ayat yang memukau dan menjadikan penulisan bisnes, blog, buku, dan esei anda sebagai sebuah karya yang hebat.

2. Jualan, Pemasaran Dan Penjenamaan 

Sumber Gambar: muneebfarman/Pixabay

Salah satu kesalahan terbesar yang banyak dilakukan oleh golongan usahawan ialah mereka menyangka produk yang bagus akan terjual dengan sendirinya. Tidak sama sekali. Tak kira betapa bagusnya produk anda, strategi jualan dan penjenamaan yang betul adalah penting untuk anda berjaya.

Walaupun perniagaan anda bersaiz kecil atau secara separuh masa, mempunyai ilmu dalam bidang ini amatlah berguna. Apatah lagi dengan perkembangan media sosial dan pemasaran digital yang semakin pesat; anda tidak boleh lagi hanya bergantung kepada teknik jualan yang ketinggalan zaman. Sertailah kursus yang bersesuaian supaya anda tidak ketinggalan!

Untuk masa yang terhad, Courses for Success kini menawarkan sebuah pakej yang terdiri daripada dua buah kursus dalam talian mengenai jualan! Dengan harga diskaun sebanyak RM671, kedua-dua kursus tersebut hanya mengambil masa sebanyak 12-16 jam untuk diselesaikan!

3. Pengucapan Awam

Kemahiran yang berikutnya merupakan lanjutan daripada dua buah kursus yang kami telah sebutkan sebelum ini. Sama ada anda ingin menjual atau menubuhkan peluang perniagaan, besar kemungkinan anda harus berdepan dengan pelbagai orang atau bersemuka dengan pihak yang berkepentingan.

Dalam dunia jualan, semangat yang kuat boleh membantu anda dalam membuat jualan. Anda boleh mencapai matlamat anda dengan menyertai kursus pengucapan awam!

Bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang, Pro Skills Trainers menawarkan kursus kemahiran pengucapan awam dan pembentangan sepanjang tahun. Kursus mereka yang akan datang, iaitu Public Speaking Skills for Professional Life akan diadakan pada 22-23 September 2018. Yuran bagi mereka yang terawal ialah RM950.

4. Pelaburan

Sumber Gambar: rawpixel.com/Pixabay

Pakar kewangan dan penulis terkenal Robert Kiyosaki pernah berkata: “Ia bukan berapa banyak duit yang anda perolehi, tetapi berapa banyak duit yang anda simpan, bagaimana duit tersebut ‘bekerja’ untuk anda, dan berapa banyak generasi anda mampu menyimpannya”.

Maksud beliau bagi “membuat duit anda bekerja untuk anda” ialah membuat pelaburan. Namun begitu, melabur duit anda boleh memberi kesan yang buruk sekiranya anda tidak tahu apa yang anda lakukan. Bergantung kepada sedalam mana anda ingin menceburkan diri dalam bidang ini, kursus-kursus pelaburan di Malaysia boleh memakan masa sebanyak satu hari sehinga beberapa bulan lamanya.

Artikel blog kami yang bertajuk How Investment-Ready Are You? boleh membantu anda dalam membuat keputusan sama ada pelaburan sesuai untuk anda atau tidak. Kami juga mempunyai artikel-artikel lain yang berkaitan seperti FAQ pelaburan ASB, sebab-sebab untuk melabur dalam unit trust, dan kenapa PRS merupakan pelaburan yang bagus.

Selain itu, dengan hanya USD10.99, anda boleh menyertai kursus dalam talian mengenai pelaburan stok yang lengkap ini. Setelah anda menyelesaikan kursus yang diadakan oleh Udemy ini, anda bakal dapat membuat keputusan pelaburan dengan bijak.

5. Memasak Dan Membuat Kek

Sumber Gambar: Pixabay

Kebanyakan rakyat Malaysia kini tidak mempunyai banyak masa untuk memasak, terutama bagi mereka yang tinggal di bandar. Dengan masyarakat yang berbilang kaum, pelbagai sambutan perayaan diadakan sepanjang masa di mana makanan banyak diperlukan bagi menjamu para tetamu.

Disinilah terdapatnya peluang bagi anda membuat duit. Salah satu ciri usahawan berjaya ialah kebolehan dalam mengenalpasti masalah dan menyelesaikannya. Ambil kesempatan bagi memenuhi permintaan yang tinggi ini dengan menubuhkan sebuah perniagaan berkaitan makanan. Anda juga boleh melakukannya mengikut musim dengan membuka sebuah gerai ataupun mengambil tempahan ketika musim perayaan sahaja.

Namun begitu, dengan persaingan yang semakin banyak, anda mempunyai peluang yang lebih untuk berjaya sekiranya anda meluangkan sedikit masa untuk mempelajari dan menghadiri kursus memasak atau membuat kek.

Bagi mereka yang tinggal di Kelantan, anda boleh menghadiri sebuah kelas bakeri dan masakan secara percuma! Terdapat tiga jenis kelas yang ditawarkan:

  1. Demo membuat kek – anda hanya perlu melihat pengajar membuat kek. Kelas ini adalah percuma!
  2. Kelas praktikal berkumpulan – anda dan beberapa orang pelajar yang lain boleh membuat sendiri beberapa resipi berpandukan arahan pengajar. Yuran ialah sebanyak RM50.
  3. Kelas praktikal individu –  seorang tenaga pengajar akan mengajar anda seorang dengan yuran sebanyak RM100.

6. Penyuntingan Video

Sumber Gambar: Recklessstudios/Pixabay

Walaupun kemahiran menyunting video boleh dijadikan sebagai sebuah servis freelance, kebolehan dalam membuat video-video yang menarik dan berkualiti tinggi juga boleh membantu anda dalam memanfaatkan lagi kesemua kemahiran yang disenaraikan di atas.

Kita sekarang hidup di dalam era digital di mana media sosial dan YouTube merupakan suatu elemen yang wujud di mana sahaja dalam kehidupan kita. Video-video berkualiti tinggi boleh membantu dalam memasarkan apa sahaja produk, servis, ataupun kemahiran anda. Anda juga boleh memilih untuk menjadi seorang vlogger atau tunjukkan kepakaran anda kepada orang ramai secara atas talian. Walaupun anda tidak menjana begitu banyak duit melalui video tersebut, sekurang-kurangnya ia dapat membantu jenama anda ataupun perniagaan anda dalam melangkah lebih jauh.

Anda boleh bermula dengan mengambil kursus dalam talian penyuntingan video menggunakan Premier Pro CC di Udemy dengan yuran berjumlah USD10.99.

Kenapa anda perlu mengambil pinjaman peribadi jika simpanan anda tidak mencukupi

Sekiranya anda tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk menyertai sesebuah kursus, anda boleh mengambil pinjaman peribadi. Ya, pinjaman peribadi akan menambah hutang anda dan anda harus membayarnya dengan penuh apabila tiba masanya, namun anda patut mempertimbangkannya.

Anggaplah ia dan juga diri anda sebagai sebuah pelaburan jangka panjang, di mana nilai anda akan semakin bertambah dengan meningkatnya kemahiran diri anda. Kursus-kursus ini semestinya akan memberi nilai buat resume anda dan menolong anda dalam membuat lebih banyak duit di masa hadapan, selain memberikan anda keyakinan diri yang tinggi!

Jika anda sedang mencari pinjaman peribadi yang bersesuaian, lihatlah beberapa pilihan pinjaman peribadi yang terbaik di Malaysia ketika ini, selain daripada pelbagai promosi pinjaman peribadi yang sedang berlangsung. Namun begitu, berwaspadalah dengan sebab-sebab utama kenapa permohonan pinjaman peribadi ditolak sebelum anda memohon sesebuah pinjaman.

Ditulis oleh Ashraf Wahab bagi pihak BBazaar Malaysia.
Diterjemahkan oleh Dayana Sobri.
Artikel ini disiarkan secara eksklusif di MajalahLabur.com.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.