7 Persediaan Kena Buat Sebelum Berhenti Kerja Makan Gaji Untuk Berniaga

Ramai yang merungut duit gaji setiap bulan tidak cukup. Kerja kuat macam mana pun, banyak itu juga gajinya.

Masa paling sesuai untuk berhenti adalah apabila sudah ada tawaran kerja yang lebih baik dan menarik atau nekad untuk menceburi perniagaan kerana pendapatan yang jauh lebih tinggi dari kerja makan gaji.

Kami kongsikan persiapan yang perlu anda ada sebelum meneruskan niat untuk berhenti kerja dan terlibat dalam perniagaan.

#1. Tabung Simpanan Sekurangnya 6 Bulan Gaji

Juga dikenali sebagai tabung kecemasan, pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya 6 bulan gaji dalam bank.

Tetapi kalau anda tidak mempunyai disiplin untuk menyimpan sebanyak ini, pasti anda akan menghadapi kesukaran semasa berniaga nanti.

Harus diingat, duit rumah, duit kereta, makan minum, bil elektrik, bil telefon masih perlu dibayar. Dengan adanya tabung ini, anda pasti berasa lebih tenang dan boleh menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan yang dimulakan.

Bila makan gaji, kita tahu setiap bulan ada duit gaji masuk pada hujung bulan. Nanti bila dah berhenti kerja dan bekerja sendiri, simpanan inilah bakal membantu di saat duit tak masuk.

#2. Setelkan Semua Hutang Kad Kredit

Ini kerana hutang kad kredit merupakan di antara hutang yang paling tinggi kadar faedahnya. Maka cubalah selesaikan hutang kad kredit sebelum ambil keputusan berhenti kerja.

#3. Bersedia Daripada Segi Mental Dan Emosi

Sebelum berhenti kerja, anda mestilah mempunyai mental dan emosi yang stabil. Ini akan membolehkan anda berfikir dengan tenang walaupun anda menghadapi cabaran kelak dan tidak mudah berputus asa. Usah hiraukan mereka yang mengejek atau memperlekehkan keputusan anda.

#4. Mantapkan Ilmu Perniagaan

Belajar, belajar dan terus belajar.

Anda mungkin mahir dalam pekerjaan anda selepas bekerja selama beberapa tahun buat perkara yang sama. Tapi itu tidak bermakna juga perlu berniaga beberapa tahun baru boleh mahir dalam perniagaan.

Nak senang boleh ikut shortcut dengan berguru dengan mereka yang telah berjaya. Belajar daripada kesilapan yang mereka lakukan dan elakkannya. Tanya apakah turning point dalam perniagaan mereka, dan bagaimana mereka boleh berjaya sehingga ke hari ini.

Hadirkan diri ke seminar mereka, follow mereka di Facebook dan baca buku-buku ilmiah bagi membuka minda anda kepada ilmu baru setiap hari. Sentiasa belajar apa yang kita tak tahu, usah bodoh sombong seolah-olah kita tahu semuanya, walaupun orang tersebut lebih muda daripada kita.

#5. Berdampinglah Dengan Orang Yang Positif

Usah hiraukan rakan-rakan kerja lama anda atau saudara-mara yang memperkecilkan kebolehan anda, sekaligus cuba untuk downkan anda. Ya, memang ramai di luar sana yang dengki kepada mereka yang ingin berniaga; apatah lagi yang sudah berjaya.

Tapi kalau hari-hari dengar, pasti anda akan down juga kan?

Sebab itulah pentingnya anda mendampingi rakan-rakan baru yang positif, yang memberikan kata-kata semangat, dan percaya kepada kemampuan dan kebolehan anda.

“Buang yang keruh, ambil yang jernih.”

#6. Minta Restu Ibubapa

Keredhaan Allah pula terletak pada keredhaan ibubapa kita. Jadi apa salahnya anda minta restu ibubapa anda terlebih dahulu, dan minta mereka mendoakan kejayaan anda.

Katakan kepada mereka, dah berjaya nanti, anda nak bawa mereka pergi menunaikan Haji atau Umrah, belikan mereka hadiah atau bawa mereka berjalan-jalan.

Ibu bapa mana yang nak tengok anak mereka gagal bukan?

#7. Bertawakal Kepada Allah

Terakhir sekali, setelah anda buat segala persiapan yang rapi – berserahlah segalanya kepada Allah. Kita yang merancang, Allah yang menentukan.

Berdoa banyak-banyak, agar anda dikurniakan perjalanan yang mudah sepanjang usaha anda untuk berniaga. Kerana, perniagaan adalah merupakan 9/10 daripada pintu rezeki. Yakinlah, bahawa apa yang anda lakukan ini adalah untuk kebaikan diri sendiri dan keluarga.

Sediakan Payung Sebelum Hujan

Sebab itu anda perlu bersedia jiwa dan raga sebelum memulakan langkah berhenti kerja dan memulakan perniagaan. Jangan tergesa-gesa dan buat perkara tanpa hala tuju, agar anda tidak tersasar kemudian hari.

Kami doakan anda kaya dan berjaya!

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kaya Di Mata : Realiti Kewangan Malaysia Yang Jarang Didedahkan

Dalam dunia yang gemar menilai kekayaan melalui apa yang nampak secara fizikal seperti kereta mewah, rumah besar, pakaian berjenama, ramai terperangkap dalam “kaya tipu-tipu”: mewah di luar, rapuh di dalam.

Artikel ini menyelami perbezaan asas antara “kaya tipu-tipu” dan “kaya sebenar”, disokong dengan data pencapaian kewangan isi rumah Malaysia, untuk memberikan gambaran yang lebih bernas dan tidak klise.

1. Kaya Tipu-Tipu: Ilusi Kekayaan yang Rapuh

Golongan ini menumpukan kepada persepsi, mereka lebih mementingkan imej daripada asas kewangan yang sihat.

Ciri-ciri utama:

  • Aliran tunai rapuh dan aliran keluar lebih besar
  • Pendapatan besar habis dibelanjakan untuk pembayaran ansuran kereta, kad kredit dan gaya hidup. Walaupun gaji tinggi, kos perbelanjaan lebih menguasai.
  • Nilai bersih (net worth) negatif
  • Tiada simpanan atau nilai bersih positif. Aset yang dimiliki adalah atas nama pinjaman. Jika aset dijual sekalipun, hasilnya tidak cukup untuk membayar hutang.
  • Hutang tinggi dan “good debt” tiada
  • Gaya hidup dibiayai oleh hutang (BNPL), bukan pelaburan atau aset produktif.
  • Motivasi status, bukan kestabilan
  • Pembelian didorong oleh keinginan untuk menunjukkan kekayaan, bukan atas dasar keperluan

2. Kaya Sebenar: Kekayaan yang Kukuh, Terlihat Biasa

Golongan ini mungkin tidak menarik perhatian, tetapi struktur kewangan mereka teguh dan bebas dari tekanan luar.

Ciri-ciri utama:

  • Nilai bersih positif
  • Pendapatan pasif dari sewaan, pelaburan dan saham. Aset melebihi liabiliti.
  • Pendapatan pelbagai aliran
  • Gaji, sewaan hartanah, dividen saham, perniagaan, pengagihan risiko dan kestabilan jangka panjang.
  • Kecairan tunai mencukupi
  • Simpanan kecemasan yang mencukupi membolehkan ketenangan apabila berdepan krisis.
  • Hidup di bawah kemampuan

Walaupun berkemampuan, mereka memilih kesederhanaan kewangan demi ketenangan jangka panjang.

3. Statistik Malaysia: Menyokong Fenomena Kekayaan Tipu-Tipu vs Sebenar

i) Hutang Isi Rumah Tinggi

Sehingga hujung 2021, nisbah hutang isi rumah kepada KDNK Malaysia mencecah 89 peratus, antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Ia merangkumi RM1.4 trilion hutang, 58 % bagi pinjaman perumahan, 13 % pinjaman kenderaan, 14 % pinjaman peribadi, dan 3 % kad kredit.

ii) Tabung Kecemasan Rendah

Hanya 40 peratus isi rumah menyangka mereka boleh bergantung pada simpanan sendiri atau keluarga jika menghadapi kecemasan.

Sebanyak 55 peratus responden melaporkan mereka mempunyai kurang daripada RM10,000 simpanan yang boleh diakses segera.

iii) Kadar Simpanan Rendah

Tahun 2022 mencatat kadar simpanan isi rumah (household savings rate) hanya sekitar 3 peratus daripada pendapatan boleh guna (disposable income).

Purata sebelum ini (2006–2013) lebih rendah, sekitar 1.4 hingga 1.6 peratus.

iv) Ketahanan Terhadap Kejutan Kewangan Lemah

Kajian mendapati hanya 10 peratus isi rumah bandar Malaysia benar-benar tahan terhadap kejutan kewangan seperti kehilangan pendapatan, kecacatan, atau kematian. Lebih daripada 20 peratus tidak mampu bertahan sekurang-kurangnya tiga bulan jika pendapatan terputus.

4. Implikasi dan Kesedaran Kewangan

Data menunjukkan ramai rakyat Malaysia berada dalam situasi “kaya tipu-tipu”: hidup mewah tetapi asas kewangan rapuh. Gagal memiliki simpanan kecemasan dan nisbah hutang tinggi mengancam daya tahan ekonomi isi rumah.

Langkah yang disarankan:

1. Meningkatkan literasi kewangan agar rakyat lebih faham risiko hutang dan pentingnya simpanan.

2. Mempromosikan pengurusan kewangan yang rasional seperti membina simpanan, elak gaya hidup melebihi kemampuan.

3. Sokongan dasar untuk menyediakan insentif tabungan (contoh: subsidi simpanan, pendidikan kewangan).

Tidak semua yang kelihatan hebat benar-benar kukuh. “Kaya tipu-tipu” adalah rentap jangka pendek yang menjerat manakal “kaya sebenar” adalah kestabilan yang dilandasi disiplin kewangan dan perancangan masa depan.

Data Malaysia menggambarkan bahawa masih ramai yang terjebak dalam ilusi, bukan realiti dan artikel ini diharap membuka mata kepada perlunya kebijaksanaan dalam membina kekayaan sejati bukan sekadar apa yang nampak, tetapi apa yang kekal dan tahan dalam ujian masa.