
Kredit Gambar: Facebook Tourism Perak Malaysia
Nama macam pernah dengar, tapi tahukah anda siapakah gerangan Haji Abdul Rahman Limbong ini? Setiap kali masuk bulan kemerdekaan, nama beliau sering disebut-sebut.
Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong merupakan salah seorang ulama yang cukup warak.
Beliau lahir pada tahun 1868 dan berasal dari keturunan Patani. Semasa hayatnya, beliau dikenali kerana berjuang menentang penjajah di bumi Terengganu.

Ketika remaja, beliau banyak menghabiskan masanya dengan menelaah ilmu daripada alim ulama sekitar Terengganu. Di antaranya adalah Tuan Guru Haji Yaakob Paya Bunga, Haji Wan Musa dan Tokku Paloh.
Semasa sedang menuntut ilmu, beliau dilihat sebagai seorang murid yang cukup pintar, cekap dan luar biasa ingatannya. Beliau mampu menguasai ilmu mahupun subjek yang diajar oleh para gurunya dalam tempoh yang cukup singkat.
Walaupun begitu, beliau cukup merendah diri dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t ke atasnya. Beliau tidak suka menonjolkan dirinya bahkan lebih gemar mengulangkaji pelajarannya secara sendirian.
Keistimewaan yang ada pada diri beliau ini membuatkan dirinya disayangi oleh guru-gurunya, terutama Tokku Paloh.
Tokku Paloh amat berharap agar muridnya ini menyambung kepimpinan serta perjuangan yang dilakukannya apabila beliau meninggal dunia kelak.
Ternyata hal tersebut benar-benar berlaku. Haji Abdul Rahman Limbong menjadi pemimpin masyarakat dan rujukan orang ramai setelah Tokku Paloh meninggal dunia.
Walaupun darjatnya tinggi di mata manusia, namun hal tersebut langsung tidak membuatkan dirinya berbangga apatah lagi untuk riak dengan apa yang dimilikinya. Beliau tetap menjalani kehidupannya dengan penuh sederhana, tawaduk dan merendah diri dengan semua orang tidak mengira usia.
Beliau amat mengasihi anak-anak kecil, anak-anak yatim serta orang miskin. Sebagai pemimpin masyarakat, beliau akan memastikan nasib golongan yang susah akan terbela.
Sekalipun pada siang harinya beliau sibuk berurusan dengan masyarakat sekeliling, ibadahnya kepada Allah s.w.t di tengah-tengah malam juga tidak ditinggalkan.
Menjadi pemimpin tertinggi dalam kalangan masyarakat sudah pasti keinginan untuk bermewah dan bersenang lenang ada. Namun, hal tersebut tidak berlaku kepada Haji Abdul Rahman Limbong. Kebendaan bukanlah menjadi matlamat dalam hidupnya.
Kehidupan yang mewah akan menyebabkan seseorang menjadi leka dan lalai dengan dunia jika tidak dikawal dengan landasan iman.
Begitulah serba sedikit gambaran keperibadian dan kehidupan yang dijalani oleh Haji Abdul Rahman Limbong yang cukup terkenal sekitar tahun 1920-an. Beliau adalah penentang penjajah Inggeris di bumi Terengganu suatu ketika dahulu.
Mudah-mudahan, ada sesuatu yang boleh kita contohi daripada ulama tersohor ini.
Sumber Rujukan: Tazkirah.net










