Mengapa Kita Perlu Kaya? 4 Formulanya Ada Dalam Al-Quran

Tangan yang memberi itu lebih baik daripada yang menerima.

Biasa dengar pepatah di atas? Tetapi berapa ramai daripada kita yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kualiti hidup, seterusnya meraih pendapatan yang berlipat kali ganda?

Kalau ada, syabas. Kalau yang belum sedar, boleh lah sekiranya kita diingatkan dengan Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:

Jadi kalau bangun tidur pun lambat, buat kerja pun sambil lewa, suka main Facebook pada waktu pejabat, agak-agak rezeki mudah tak datang? Ketahuilah bahawa rezeki sememangnya tak pernah salah alamat.

4 Cara Allah Beri Rezeki Kepada Makhluk

Kalau nak tahu, Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, ada diterangkan di dalam Al-Quran tentang 4 cara Allah beri rezeki kepada semua makhluk ciptaanya.

1. Rezeki yang dijamin oleh Allah

 

Rezeki peringkat pertama ini adalah kepada sekalian makhluk, kiranya dipanggil rezeki paling asas. Semua makhluk telah ditetapkan rezeki masing-masing.

2. Rezeki sesuai dengan apa yang diusahakan

 

Rezeki peringkat kedua pula diberikan kepada sesiapa yang keluar mencari rezeki, maka Allah akan berikannya rezeki yang setimpal. Jangan harap rezeki itu datang bergolek, kita kena berusaha untuk mendapatkannya, samada secara berniaga mahu pun kerja makan gaji. Kalau nak lebih, kena usaha lebih.

3. Rezeki bagi orang yang bersyukur

 

Rezeki peringkat ketiga pula dikurniakan kepada mereka yang bersyukur dengan pemberian Allah. Anda dah berusaha, anda tuai hasilnya, maka bersyukurlah dengan rezeki yang telah diterima. Tingkatkan ibadat dan lebih banyak bersedekah adalah sebahagian daripada tanda orang yang bersyukur.

4. Rezeki bagi orang yang bertakwa dan bertawakal kepada Allah

Rezeki peringkat keempat pula adalah rezeki yang datang secara tiba-tiba tanpa diduga, yang dikhususkan kepada mereka yang bertakwa dan bertawakal kepada Allah. Dengan erti kata lain, mereka ini adalah golongan yang benar-benar mengikut segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Tetapkan Matlamat Nak Kaya – Untuk Bantu Orang dan Berzakat

Kalau diikutkan, nak kaya ni formulanya ada dalam Al-Quran:

Duduk Diam – Berusaha – Bersyukur – Bertawakal

Kalau rasa berpuas hati dengan kehidupan sekarang, cukuplah sekadar meneruskan kehidupan – kerana rezeki pasti datang juga. Janganlah pula komplen itu ini.

Tapi kalau nak dapat rezeki lebih, kena usaha lebih, insyaallah dapat lebih. Bila dah dapat rezeki lebih itu, kena sentiasa bersyukur, nescaya Allah akan tambahkan lagi.

Terakhir sekali, bertawakallah kepada Allah sepenuhnya, Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Pemberi Rezeki. Nescaya Allah akan bantu kita tanpa disangka-sangka dan segala urusan hidup dipermudahkan. Inilah yang paling susah nak capai, dan kita semua perlu berusaha ke arah ini.

Sebab itulah kita kena tetapkan matlamat untuk kaya, iaitu untuk banyak membantu orang lain yang memerlukan. Samada dengan berzakat atau pun dengan banyak bersedekah.

Nak bagi dekat siapa?

Bagi dekat mak ayah.
Bagi dekat masjid.
Bagi dekat sekolah.
Bagi dekat anak yatim.
Bagi dekat ibu tunggal.
Bagi dekat guru-guru agama.
Bagi dekat pejuang fii sabilliah.

Sehebat manapun compounding interest yang diwujudkan manusia, compounding buat pahala ini lagi hebat malahan berterusan manfaatnya!

Sedekah Jariah, Amalan Yang Boleh Dibawa Selepas Kita Mati

Sebaik sahaja kita mati, semua amalan kita terputus kecuali tiga perkara. Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.

Daripada 3 perkara tersebut, benda yang paling mudah nak buat adalah bersedekah. Makin besar rezeki yang kita ada, makin besar sedekah yang dapat diberi, makin banyak pahala yang kita boleh perolehi – walaupun selepas kita mati. InsyaAllah.

Jangan Lupa Berzakat

Dan terakhir sekali, setiap daripada kita yang memperoleh rezeki yang dah cukup nisab (paras minima untuk berzakat) dan cukup haul (cukup tempoh), maka diwajibkan untuk kita berzakat.

Zakat pula ada beberapa kategori, zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat saham, zakat KWSP, zakat emas, zakat perak dan zakat pertanian. Ramai masih ingat bayar zakat tu masa bulan Ramadhan je (zakat fitrah).

Apa kata anda ke laman web Pusat Pungutan Zakat – MAIWP untuk belajar lebih lanjut tentang zakat.

“Bayar Zakat Dalam Masa 5 Minit Sahaja”

Marilah kita sama-sama berdoa untuk jadi umat yang kaya, supaya dapat membantu ramai orang dan seterusnya dapat berzakat dengan lebih banyak.

“Mengapa Orang Islam Harus Kaya?”

Tonton juga perkongsian Ustaz Ahmad Husni dan Tuan Hj Mohd Asri tentang topik ini.

Previous ArticleNext Article

7 Strategi Realistik Capai Kesenangan Hidup Masa Hadapan

Kesenangan hidup sering disalah tafsir sebagai kemewahan atau kemapanan kewangan yang luar biasa. Namun, kesenangan yang sebenar ialah kebebasan untuk membuat pilihan hidup yang sejajar dengan nilai diri sendiri, tanpa tekanan luar, dan dengan ketenangan yang stabil.

Berikut adalah tujuh strategi yang bukan sekadar teori klise, tetapi langkah praktikal dan berimpak tinggi untuk anda yang serius mahu membina masa depan yang lebih tenang dan tersusun.

1. Pilih Gaya Hidup Berdasarkan Nilai, Bukan Trend

Ramai orang hidup mengejar status sosial atau pengiktirafan masyarakat, tanpa sedar mereka sedang menggadai ketenangan sebenar. Contohnya, membeli rumah besar semata-mata kerana orang lain melakukannya, atau melancong untuk dipaparkan di media sosial, bukan kerana ia memenuhi keperluan jiwa sendiri.

Kesenangan bermula apabila kita hidup berdasarkan prinsip dan keutamaan peribadi, bukan tekanan sosial.

Tindakan penting:

Tanya diri sendiri, “Apakah erti hidup senang bagi saya secara peribadi?”

Gunakan jawapan itu sebagai asas untuk membuat keputusan kewangan dan gaya hidup.

2. Bina Pendapatan Yang Tidak Bergantung Pada Masa dan Tenaga Diri

Masa depan yang tenang bermula apabila duit bekerja untuk kita, bukan hanya kita yang bekerja untuk duit. Ini bukan bermakna berhenti kerja, tetapi mula membina sekurang-kurangnya satu sumber pendapatan yang boleh menjana hasil tanpa perlu kehadiran fizikal kita setiap masa.

Antara contoh:

– Pelaburan hartanah yang memberi hasil sewaan

– Produk digital seperti eBook, kursus atau template

– Saham patuh syariah yang konsisten beri dividen

Matlamat utama: Kurangkan kebergantungan sepenuhnya pada gaji tetap.

3. Bina Sistem Hidup Yang Terurus dan Automatik

Kesenangan tidak semestinya datang daripada lebih banyak usaha, tetapi daripada sistem yang membantu kita mengurus hidup dengan lebih baik.

Contohnya:

– Bahagikan gaji secara automatik ke lima akaun berasingan: keperluan, simpanan, pelaburan, sumbangan, dan hiburan

– Guna aplikasi untuk memantau bajet, tabiat, atau penggunaan masa

– Jadualkan hari rehat dan refleksi kehidupan setiap tiga bulan

Hidup yang tersusun menjadikan minda lebih lapang dan tekanan lebih terkawal.

4. Gunakan Kaedah Perspektif 10-10-10 Untuk Buat Keputusan Besar

Setiap keputusan besar dalam hidup wajar dinilai dengan perspektif jangka panjang. Tanya soalan ini sebelum buat keputusan besar:

“Apa kesan keputusan ini dalam 10 hari, 10 bulan, dan 10 tahun akan datang?”

Contoh aplikasi:

– Pilih kerjaya berdasarkan potensi jangka panjang, bukan hanya gaji semasa

– Nilai kesan berpindah tempat tinggal terhadap keluarga dan kesihatan

– Tentukan bila masa sesuai untuk membeli rumah atau terus menyewa

Perspektif yang jauh mengurangkan risiko penyesalan besar dalam hidup.

5. Asah Satu Kemahiran Unik Yang Relevan Sepanjang Hayat

Tidak semua kemahiran dicipta sama. Pilih satu kemahiran yang:

– Jarang dimiliki ramai

– Tinggi nilai di pasaran

– Anda minat dan sanggup asah dalam jangka masa panjang

Contohnya: penulisan strategik, pengaturcaraan (coding), komunikasi pitching, analisis kewangan, atau jualan produk bernilai tinggi.

Kemahiran yang tepat boleh membuka pintu kepada lebih banyak peluang dan menjadikan anda lebih bebas untuk memilih projek, bukan terikat pada kerja semata-mata.

6. Latih Diri Untuk Tahan Ketidakselesaan Sementara

Kebebasan masa hadapan memerlukan disiplin untuk menanggung ketidakselesaan sekarang. Ini termasuk:

– Belajar tentang pelaburan walaupun terasa mencabar

– Menolak tawaran kerja dengan gaji tinggi jika tidak selari dengan nilai hidup

– Menangguhkan pembelian besar demi simpanan atau pelaburan

Sikap ini membina ketahanan kewangan dan emosi, asas penting untuk kestabilan jangka panjang.

7. Sediakan Pelan Hidup Untuk Situasi Luar Jangka

Dalam dunia yang tidak menentu, kita perlu bersedia untuk menghadapi situasi yang tidak dirancang. Bina pelan fleksibel jika:

– Anda kehilangan kerja secara tiba-tiba

– Ibu bapa jatuh sakit dan memerlukan penjagaan

– Kesihatan anda menghalang kemampuan untuk bekerja

Rancang dana kecemasan, pelan insurans, dan struktur sokongan awal. Ini bukan semata-mata soal kewangan, tetapi membina ketenangan bila menghadapi ujian.

Jadi, kesenangan hidup sebenar bukan terletak pada jumlah harta atau kemewahan yang dipamerkan. Ia terletak pada sejauh mana kita bebas membuat pilihan hidup yang sejajar dengan nilai dan keutamaan diri sendiri, walaupun dunia berubah. Ia tentang rasa cukup, bukan semata-mata memiliki banyak.

Dengan strategi yang betul, konsisten dalam tindakan dan pemikiran yang jelas, kesenangan masa hadapan bukan mustahil ia hanya menunggu untuk dibina, satu hari demi satu hari.