5 Perkara Yang Menjadikan Suamiku Paling Sweet di Dunia

Harap YB Khairy Jamaluddin tak marah kami guna gambar beliau sebagai gambar hiasan yang kami pinjam dari SARC Menswear.

Zaman sekarang memang kena sangat berhati-hati semasa memilih suami. Kaum perempuan tidak lagi terlalu memandang kepada dark, tall dan handsome kerana terdapat beberapa kriteria lebih penting yang perlu dipertimbangkan untuk memilih suami. Jadi jika sudah berumahtangga, pastinya anda mengimpikan Encik Suami untuk memiliki 5 perkara ini.

5 Perkara Yang Menjadikan Suamiku Paling Sweet

#1. Mempunyai pendapatan yang stabil

Sebagai seorang lelaki, mencari rezeki untuk keluarga adalah satu kewajipan. Setiap lelaki seharusnya mempersiapkan diri dengan mempunyai pendapatan yang tetap sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Bagi yang bekerja makan gaji boleh dikatakan stabil kerana memperolehi gaji bulanan yang tetap.

Bagaimana pula suami yang bekerja sendiri atau yang menjalankan perniagaan sendiri? Pastikan perniagaan stabil dan mempunyai modal pusingan yang mencukupi untuk tempoh setahun. Selain daripada itu, pastikan beliau tidak mempunyai hutang yang melebihi kadar kemampuan.

Bagi isteri yang lebih agresif, ajaklah Encik Suami semak CTOS dan CCRIS supaya mudah jika nak buat pembiayaan di Bank. Amalkan konsep tiada rahsia antara kita… InshaAllah kekal bahagia selama-lamanya.

#2. Mempunyai hartanah (rumah sendiri)

Tahu tak lelaki yang sudah memiliki rumah sendiri di awal usia adalah lelaki menjadi pilihan utama wanita-wanita di Malaysia?! Perempuan sangat suka kalau bakal suami dia dah ada rumah sebelum kahwin. Lepas kahwin, boleh terus duduk sama-sama.

Maklumlah kebanyakan pasangan biasanya memilih untuk membina rumahtangga tanpa melibatkan ibu bapa. Oleh itu, mereka memilih untuk tinggal berasingan berbanding bersama keluarga mertua dan ipar duai.

Lelaki, jika merancang untuk berkahwin, sila beli rumah cepat. Senang sikit hati bakal pak mertua nak beri green light. Boleh baca 7 Panduan Mudah Untuk Membeli Rumah Di Usia Muda.

Jika Encik Suami kita belum cukup duit, boleh gunakan duit KWSP untuk pengeluaran membina / membeli rumah. Baca baca lebih terperinci di sini.

#3. Mempunyai kenderaan

Pakai Kereta Sekadar Berharga Setahun Gaji

Kenderaan adalah merupakan keperluan utama. Lelaki biasanya gemar menunggang motosikal kerana lebih mudah untuk bergerak. Adalah bonus juga bagi seseorang lelaki yang mempunyai motosikal dan juga kereta kerana kenderaan adalah keperluan utama sebuah keluarga.

Cukup sekadar kereta biasa-biasa, buat apa pakai kereta mewah tapi duduk rumah sewa, AMBOI…

Janganlah pentingkan kereta mewah sampai menyusahkan diri sendiri. Sebenarnya membeli kereta bukanlah satu pelaburan yang menguntungkan. Kereta pasti susut nilai dan jangan lupa kita juga perlu menanggung kos servis yang semakin tinggi. Baru je hutang bank selesai, kereta pula baru mula nak meragam.

#5. Mencarum Takaful

Kirakan berapa hutang dan belanja bulanan Encik Suami. Masukkan segala hutang seperti kereta, rumah, kad kredit, loan peribadi, loan ASB dan sebagainya. Sekiranya terjadi sesuatu musibah pada suami kita adakah kita sebagai isteri mampu menampung segala hutang suami tadi? Cukup ke duit kita? Bagaimana kalau isteri tak bekerja?

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

“Tinggalkan anak dan isteri dengan kesenangan lebih baik dari tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta.” (Hadith riwayat Al-Bukhari)

Jadi kalau Encik Suami belum mencarum Takaful untuk diri sendiri bermakna suami anda belum cukup menyintai dan menyayangi anda. Suami yang sweet pasti telah bersedia dari awal untuk menghadapi segala kemungkinan di masa akan datang.

Kepada anda yang masih tak berapa nak faham konsep Takaful (insuran), boleh baca di sini.

Ada 5 Perkara Ini Pada Pasangan Anda, Memang Sangat Beruntung

Kalau kita lihat kepada kelima-lima perkara di atas, boleh dikatakan semuanya menjurus kepada kepentingan pelaburan.

Jika kira rujuk kepada Teori Maslow, seseorang memerlukan 5 perkara utama iaitu keperluan fisiologi, keselamatan, keperluan sosial, penghargaan diri dan kesempurnaan diri. Kita lihat 3 keperluan terawal iaitu fisiologi merujuk kepada tempat tinggal, makan minum dan pakaian, kemudian yang kedua adalah keselamatan dan yang ketiga ialah kasih sayang.

 

Suami yang sweet bukan suami yang romantik selalu. Suami yang sweet ialah suami yang sentiasa menguruskan kewangan diri dan keluarga dengan baik. Kalau calon suami perangai macam ni baguslah. Sebaiknya kongsikan artikel ini dekat dia.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.