Ritesh Agarwal, founder dan CEO untuk Kumpulan OYO telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mengambil keseluruhan gaji tahun ini bermula April 2020. Selain daripada itu, keseluruhan pasukan pengurusan tertinggi juga telah dipotong gaji antara 25-50%.
Ini susulan daripada penulaan wabak Covid-19 yang telah memberi impak yang sangat besar kepada ekonomi dunia.
Siapakah Ritesh Agarwal Ini?
Ritesh Agarwal merupakan self-made bilionaire termuda di dunia selepas Kylie Jenner. Ini selepas nilai kekayaan beliau dianggarkan sekitar $1.1 bilion pada tahun 2020.
Beliau menubuhkan syarikat OYO Hotels pada usia yang sangat muda di India. Kini, OYO Hotels telah berkembang dengan pesat ke seluruh dunia.
Ketika Agarwal mengembara sekitar India selama 3 bulan dengan menginap di hotel bajet, beliau berhadapan dengan pelbagai isu kebersihan seperti lipas, cadar kotor dan lain-lain. Agarwal lantas sedar potensi dalam menambahbaik mutu dan kualiti hotel bajet.
OYO Hotels bermula dengan sebuah hotel dengan menukar cadar berkualiti tinggi, tilam tebal, televisyen dan air panas. Ini menyebabkan kadar penghunian hotel meningkat dari 18% kepada 90% hanya pada bulan pertama.
OYO Hotels bekerjasama dengan hotel bajet dan guest house dengan mengubahsuai hotel dan memberi latihan kepada pekerja hotel untuk memastikan kualiti dan piawaian yang ditetapkan. Selain itu, hotel-hotel ini akan diberi ruang dalam platform tempahan OYO.
Kebanyakan hotel-hotel bajet di India pada ketika itu tidak mempunyai sebarang iklan di internet. OYO Hotels mampu menarik pelanggan ke hotel-hotel yang diuruskan setelah mengalami perubahan besar dalam operasi hotel mereka.
Umum mengetahui antara industri yang paling terjejas dengan Covid-19 ialah industri penerbangan, pelancongan dan perhotelan. Ini adalah kerana kebanyakan negara yang rakyatnya telah dijangkiti Covid-19 telah mengenakan sekatan perjalanan dan juga darurat yang memaksa setiap rakyat untuk kekal di rumah masing-masing.
Namun begitu, syarikat ini turut sama-sama membantu memerangi wabak Covid-19 dalam keadaan pendapatan syarikat yang terjejas teruk. OYO Hotels telah bekerjasama dengan pihak hospital di India dengan menawarkan katil dan fasiliti kepada pesakit yang disyaki telah dijangkiti Covid-19 untuk menjalani kuarantin dengan pemerhatian petugas perubatan.
Berdasarkan tweet dari Ivanka Trump, OYO Hotels juga menawarkan penginapan percuma kepada petugas perubatan dan frontliners yang bekerja di Amerika Syarikat untuk melawan virus Covid-19. Tawaran penginapan percuma ini merangkumi semua OYO Hotels di US.
Lain pula keadaan di Malaysia, apabila CEO Malaysian Association of Hotels mengatakan bahawa hotel yang menjadi pusat kuarantin akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan dengan kadar yang rendah. Ini bertentangan dengan kenyataan Menteri Pertahanan yang mengatakan kerajaan memberi subsidi RM150 untuk setiap bilik di hotel 3 bintang dan kebawah.
Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.
Oh ya, kalau nak tahu OYO bermaksud ‘Own Your Own’. Kalau OYO Hotel bermaksud ‘Own Your Own Hotel’, kalau OYO Room bermaksud ‘Own Your Own Room’; dan begitulah seterusnya.
Kalau minat dengan kisah inspirasi seterusnya, jemput baca Kekuatan Pengaruh Media Sosial Menjadikan Kylie Jenner Bilionaire Termuda Dalam Sejarah Moden ketika berusia 21 tahun.