Kisah ini diambil daripada kitab kecil bertajuk Al-Khittah Al-Barraqah lizi An-Nafsi At-Tawwaqah karangan Sheikh Dr. Solah al-Khalidi, ulama Tafsir yang berasal dari Palestin yang kini menetap di Jordan.
Ianya merupakan sebuah kisah mengenai kezuhudan Saidina Umar Abdul Aziz.
Ketika Saidina Umar Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepada pembantunya Raja’ bin Haiwah: “Wahai Raja’, belikan untukku sehelai baju”.
Raja’ pun belikan untuknya sehelai baju yang harganya 500 dirham. Apabila Raja’ membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata:
“Bagus, cuma ianya murah”.
Selepas beberapa tahun beliau menjadi Khalifah, beliau berkata kepada Raja’: “Belikan untukku sehelai baju”.
Maka Raja’ membeli sehelai baju yang harganya 5 dirham. Apabila Raja’ membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata:
“Bagus, cuma ianya mahal”.
Raja’ pun menangis. Saidina Umar Abdul Aziz bertanya:
“Apa yang membuatkan engkau menangis?
Kata Raja’: “Perkataanmu wahai Amirul Mukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju yang lepas yang berharga 500 dirham murah, dan baju sekarang yang berharga 5 dirham mahal?
Kata Saidina Umar Abdul Aziz: “Wahai Raja’, sesungguhnya pada diri aku, jiwa yang sentiasa berkeinginan tinggi.
إن لي نفسا توّاقة
“Sesungguhnya pada diri aku, jiwa yang sentiasa berkeinginan tinggi”
Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih daripada itu.
Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik (Abdul Malik – Khalifah ketika itu), lalu aku mengahwininya.
Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya.
Kemudian jiwaku inginkan jawatan Khalifah, lalu aku mencapainya.
Sekarang, jiwaku hanya inginkan syurga (setelah tiada apa yang lebih tinggi daripada jawatan khalifah) dan aku harap aku dapat menjadi penghuninya”.
Begitulah zuhud sebenar yang ditunjukkan oleh Saidina Umar Abdul Aziz. Beliau di pangkat Khalifah umat Islam ketika itu mampu memiliki apa sahaja namun perasaannya yang hanya mahukan syurga menjadikan baju bernilai 5 dirham pun mahal.
Hari ini ramai yang memahami zuhud sebagai hidup biasa-biasa dengan pendapatan yang biasa-biasa dan perbelanjaan yang biasa-biasa. Tetapi hakikatnya zuhud itu perasaan ‘tawar hati’ pada hal keduniaan walaupun mampu memilikinya.
Salah faham konsep zuhud menjadikan kita seorang yang usahanya biasa-biasa dan merasa cukup dengan hal yang biasa-biasa itu. Sebaliknya kita mesti menjadi seorang yang tidak pernah puas dengan hal-hal biasa.
إن لي نفسا توّاقة
“Sesungguhnya pada diri aku, jiwa yang sentiasa berkeinginan tinggi”
Contohilah Saidina Umar Abdul Aziz yang sentiasa bercita-cita tinggi namun dengan segala apa yang mampu dimilikinya lansung tidak mengubah hatinya yang hanya mahukan syurga Allah SWT.
Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.