Thermomix, Mesin Serba Boleh Yang Menjadi Idaman Wanita

Di kala pandemik Covid-19 ini, ramai orang menghabiskan masa di rumah. Salah satu daripada rutin harian adalah dengan memasak. Dan terbaru, ramai yang kagum dengan mesin serba boleh yang digelar sebagai ‘Bibik Jerman’ iaitu Thermomix.

Kenapa?

Ia dikatakan mampu menjimatkan masa para isteri dari duduk di dapur dalam waktu yang lama dan tidak perlu menggunakan banyak bekas dan periuk untuk penyediaan memasak. Ia mampu memasak apa jua makanan seperti rendang, nasi lemak dan bermacam-macam lagi.

Bagaimana untuk membasuh mesin ini?

Secara teknikal, ia boleh membasuh dirinya sendiri (self-cleaning). Anda perlu meletakkan sedikit air dan sabun, kemudian ia akan melakukan proses membasuh dan lebihan air itu kita boleh buang. Untuk kebersihan menyeluruh, basuhan secara tradisional menggunakan span dan sabun boleh dilakukan sekiranya terdapat sisa masakan yang sukar ditanggalkan.

Apa Sebenarnya Thermomix Ni?

Thermomix adalah peralatan dapur yang dibuat oleh Vormerk Corporate Group. Nama mesin ini adalah gabungan perkataan “thermo” (memanaskan) dan “mix” (campuran). Thermomix yang baru ini mempunyai elemen pemanasan, motor untuk proses blending dan stirring secara pantas atau lambat serta mesin penimbang.

Mesin ini umpama gabungan beberapa peralatan seperti mesin pembuat roti, mesin steamer, pressure cooker, blender, periuk nasi dan juga mesin penimbang makanan. Thermomix TM5 mempunyai skrin sesentuh beserta pilihan resipi sebanyak 50,000!

Hanya tekan dan pilih jenis menu makanan yang ingin dimasak, sediakan bahan yang diperlukan dan masukkan ke dalam mesin satu-persatu mengikut apa yang dipaparkan di screen.

Asal-Usul Thermomix

Thermomix bermula sebagai mesin mixer yang dipanggil “VKM5” pada tahun 1961. Pada tahun 1970, pengarah urusan Vorwerk France mendapat idea untuk membuat revolusi mesin yang boleh blend dan juga memasak, buat sup dan makanan bayi yang ketika itu popular di Perancis.

Pada tahun 1971, Thermomix VM 2000 telah dilancarkan di pasaran -pertama di Perancis, kemudian di Sepanyol dan Itali. Setakat ini, sudah lebih 10 model Thermomix dikeluarkan.

Terkini adalah Thermomix TM6 (2019). 75% mesin terjual dibuat di Cloyes-sur-le-loir, Perancis. Selebihnya di Wuppertal-Laaken, Jerman. Kedua-dua kilang ini membangun dan berkembang bersama.

Baiklah, saya disini bukan ingin menggalakkan kita untuk membeli, cuma ia muncul dan menjadi popular di kala seluruh dunia dalam tempoh kuarantin dan hampir semua orang terpaksa duduk di rumah dan isteri perlu memasak.

Adakala isteri akan rasa “bestnya kalau ada mesin ini. Takdelah masa lama asyik di dapur, potong sana-sini, kacau lama di dapur”

Ketika ini suami terpaksa dengar dan layan dulu, sebab harganya dikatakan harga kayangan.

Ada yang melihat ia sebagai ‘harga’ kepada ‘kemalasan’. Ada juga yang melihatnya sebagai ‘harga’ untuk bersama keluarga. Tanyalah poket. Jika mampu, silakan. Tak perlu dikecam kepada mereka yang membelinya.

Namun tahukan anda, dengan modal RM6,888, apa yang boleh dibuat untuk digandakan?

1. Melabur

Ada pelbagai instrumen patuh syariah seperti pasaran saham, unit amanah, robo-advisor dan banyak lagi.

Kalau melalui unit amanah yang mampu memberikan pulangan 10% setahun, melalui pengiraan “Rule 72”, ia mengambil masa 7.2 tahun untuk modal kita berganda.

Baca juga:

Muat turun aplikasi Wahed Invest di https://wahedinvest.com/get-started/ dan dapatkan bonus permulaan sebanyak RM10 dengan menggunakan kod ‘ezaado1’ sewaktu pendaftaran.

2. Menyimpan

Boleh juga menyimpan (sambil melabur) di ASB atau Tabung Haji. Boleh juga dapat dividen tahun hadapan. Kalau dapat dividen dalam 5%, dapat jugalah dalam RM344.

3. Emas / Perak

Dengan modal RM6,888 dapat juga beli emas. Dengan harga semasa Public Gold RM256 untuk satu gram pada ketika artikel ini ditulis, maka boleh dapat 27gram emas. Kalau 1 dinar dengan harga RM1,084, boleh dapat 6 dinar sekarang.

Kalau beli perak, boleh dapat 2.5kg silver bar,kalau beli dirham boleh dapat 44 dirham dengan kadar RM155 untuk 10 dirham.

4. Takaful

Walaupun hanya duduk di rumah sahaja,sakit akan datang tak kira masa dan keadaan. Dengan peningkatan kes Covid-19, hospital kerajaan akan mendahulukan pesakit itu berbanding penyakit lain.

Jadi, pilihan lain adalah untuk ke hospital swasta. Kita hanya mampu buat persediaan, seterusnya adalah di atas kuasa-Nya.

Dengan memiliki kad perubatan takaful dan hibah takaful, ianya dalah langkah terbaik. Hibah takaful amat diperlukan bagi ketua keluarga.

Jika anda tiada, percayalah kehidupan keluarga anda sedikit terganggu kerana anda andalah “breadwinner” keluarga. Isteri pun perlu juga bersedia dengan segala kemungkinan.

Bayangkan apabila suami anda tiada, pergi outstation pun dah rindu, apa lagi jika betul-betul tiada. Rindu itu satu, kewangan untuk keperluan keluarga juga turut terhenti.

Sekarang yang penting adalah ‘Cash Is King!’ Boleh buat perkara tersebut terlebih dahulu:

  • Naikkan jumlah pelaburan, kawal perbelanjaan dan kumpul wang kecemasan
  • Sebelum berangan memiliki mesin serba boleh harga kayangan, siapkan diri dulu dompet dan aset umpama kayangan
  • Bukan hanya isi dompet umpama bayangan, kerana wang hilang akan pergi dan tak kembali

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.