10 Bilionaire Yang Susut Nilai Kekayaan Mereka Pada Tahun 2019

Amacam, tahun lepas bisnes untung ke rugi? Biasalah nama pun bisnes, mestilah ada naik turun.

Mari kita lihat 10 orang bilionaire yang telah rugi besar pada tahun 2019 dan berkemungkinan akan mengubah strategi perniagaan mereka pada tahun ini.

1. Rupert Murdoch

Merupakan taikun besar dalam industri penerbitan berita. Beliau memiliki syarikat berita yang berpengaruh di dunia dan juga sebahagian kecil saham syarikat perfileman yang telah dijual kepada Disney iaitu Syarikat Fox.

Rupert Murdoch mendapat durian runtuh berikutan pembelian Syarikat Fox oleh Disney yang melibatkan perjanjian sebanyak $71 bilion.

Nilai kekayaan beliau menyusut bukan sebab bisnes tak kencang, tetapi kerana telah mewariskan harta kepada 6 orang anaknya.

Jumlah susut nilai kekayaanya pada tahun lepas adalah sebanyak $10.2 bilion.

2. Jeff Bezos

Siapa tak kenal dengan taikun e-commerce terbesar di dunia ini. Beliau memonopoli hampir keseluruhan pasaran online peruncitan di Amerika Syarikat.

Jeff Bezos telah memberi sebanyak 4% saham Syarikat Amazon kepada bekas isterinya yang bernilai sebanyak $38 bilion selepas perceraian beliau. Ia merupakan kes penceraian yang termahal dalam sejarah dunia.

Jumlah susut nilai kekayaanya pada tahun lepas adalah sebanyak $8.7 bilion.

3. Hui Ka Yan

Merupakan pengerusi dan pemilik saham terbesar dalam syarikat hartanah terkenal di China iaitu Evergrande. Beliau memiliki kekayaan sebanyak $30 bilion.

Hui Ka Yan kehilangan kekayaan disebabkan harga saham syarikatnya itu telah menurun sebanyak 8% pada tahun lepas. Syarikat beliau kurang mendapat projek hartanah dari kerajaan Negara China yang menyebabkan harga saham syarikatnya itu telah jatuh.

Jumlah susut nilai kekayaanya pada tahun lepas adalah sebanyak $2.2 bilion.

4. Tan Siok Tjien

Seorang bilionaire yang berasal dari Indonesia. Beliau yang membina kekayaanya melalui penghasilan rokok jenama Gudang Garam, turut terkenal di Malaysia.

Tan Siok Tjien memiliki sebanyak 75% pegangan saham di dalam syarikat tersebut dan kejatuhan harga saham mereka sebanyak 37% pada tahun lepas, telah menyebabkan nilai kekayaanya turut merosot. Sebelum ini, Gudang Garam menguasai sebanyak 20% pasaran rokok di sana.

Jumlah susut nilai kekayaanya pada tahun lepas adalah sebanyak $2.2 bilion.

5. Robin Li

Merupakan pengasas dan juga CEO untuk ejen carian terbesar di China iaitu Baidu. Baidu merupakan Google versi China dan beliau telah kehilangan kekayaannya akibat perang perdagangan di antara China dan Amerika Syarikat.

Perang perdagangan itu telah mengurangkan pengiklanan di platform milik syarikatnya.

Jumlah susut nilai kekayaan Robin Li pada tahun lepas adalah sebanyak $2.2 bilion.

6. Thomas Peterffy

Merupakan pengerusi dan pengasas kepada syarikat Interactive Brokers yang merupakan salah satu broker saham yang terkenal di Amerika Syarikat.

Thomas Peterffy mengalami penyisutan nilai disebabkan persaingan di antara syarikat pesaingnya yang utama iaitu Charles Schwab. Schwab telah membeli syarikat TD Ameritrade dan telah mengakibatkan harga saham Interactive Brokers susut nilai.

Jumlah susut nilai kekayaan beliau pada tahun lepas adalah sebanyak 2.2 bilion.

7. Wang Wei

Merupakan pengasas kepada syarikat pos terbesar di China iaitu SF Express, yang merupakan syarikat penghantaran parcel ke seluruh China.

Sejak tahun 2017 lagi, saham syarikatnya mulai turun dan perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China menambah lagi derita beliau. Akibatnya, saham syarikat telah mengalami penurunan sebanyak 38% .

Jumlah susut nilai kekayaan Wang Wei pada tahun lepas adalah sebanyak $1.9 bilion.

8. Harold Hamm

Merupakan pengasas dan CEO bagi Syarikat Continental Resources. Syarikat ini merupakan syarikat cari gali minyak dan gas. Syarikatnya yang mengalami penurunan harga saham syarikit disebabkan dengan harga minyak pasaran yang tidak menentu.

Saham syarikatnya telah mengalami penurunan sebanyak 15% pada tahun lepas dan ianya menjejaskan nilai kekayaannya.

Jumlah susut nilai kekayaan Harold Hamm pada tahun lepas adalah sebanyak $1.7 bilion.

9. George Kaiser

Beliau merupakan pengerusi dan pemegang saham terbesar dalam syarikat BOK Financial yang merupakan bank yang terbesar di Oklahoma. George Kaiser juga merupakan pengasas kepada Argonaut Private Equity dan juga pemilik kepada Kaiser-Francis Oil.

Jumlah susut nilai kekayaan yang menimpa beliau pada tahun lepas adalah sebanyak $1.6 bilion.

10. Seo Jung-Jin

Merupakan pengasas kepada syarikat biofarmasi yang membangunkan ubat untuk melawan penyakit kanser dan virus influenza. Syarikat yang diasaskannya itu bernama Celltrion.

Saham syarikatnya telah jatuh sebanyak 15% akibat daripada JP Morgan yang mengurangkan pegangan saham dalam syarikat tersebut, dan dikuti oleh syarikat pelaburan Singapura iaitu Temasek.

Jumlah susut nilai kekayaan Seo Jung-Jin pada tahun lepas adalah sebanyak $1.6 bilion.

Sumber Rujukan: Jeff Bezos, Rupert Murdoch, and other billionaires lost money in 2019. These are the 10 biggest losers

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Penat Cari Duit, Akhirnya “Hangus” Untuk Bayar Cukai?

Pernah tak korang duduk depan laptop, tangan menggigil nak tekan butang submit e-Filing sebab tengok baki cukai kena bayar sampai beribu-ribu? Masa tu, segala rasa ralat dan tak puas hati muncul. Rasa macam “hangus” hasil titik peluh setahun.

Tapi, cuba korang tarik nafas kejap. Bayangkan senario ini:

Di satu sudut hospital kerajaan, ada seorang ayah yang buntu fikir kos bedah jantung anaknya yang mencecah RM50,000. Angka itu berpusing-pusing di kepalanya. Dia hanya seorang kerani biasa. Dia mula berkira-kira untuk tebalkan muka meminjam sana-sini. Air matanya gugur, bukan kerana sedih, tapi kerana rasa gagal sebagai seorang ayah.

Tapi bila dia pergi ke kaunter bayaran, kerani tu sambil tersenyum berkata, “Encik cuma perlu bayar RM1 sahaja.”

Ayah tadi terduduk, menangis syukur.

Tahu tak siapa yang “bayar” baki RM49,999 tu? Itulah duit cukai yang korang rasa “hangus” tadi.

Ada orang kata, “Alah, cukai aku bayar RM500 je setahun. Tak luak pun buat kerajaan. Kerajaan kan ada cukai korporat, cukai jalan, duti eksais, macam-macam lagi! Apa sangatlah duit cukai aku yang sikit ni?”

Memang betul, pendapatan negara datang dari pelbagai sumber. Tapi kena ingat, bajet negara ni ibarat satu puzzle gergasi. Cukai syarikat mungkin besar, tapi sumbangan dari cukai pendapatan individu adalah salah satu kepingan puzzle yang sangat kritikal.

Bila jutaan rakyat Malaysia “tong-tong” (berkongsi) membayar cukai individu, jumlahnya mencecah berbilion ringgit setahun!

Nak ikhlas bayar cukai ni bukan soal faham undang-undang, tapi soal faham kemanusiaan. Bila kita nampak yang duit tu sebenarnya tengah “memberi peluang kedua” kepada orang lain, “menyuap” nasi ke mulut anak yatim dan “menjaga” keselamatan mak ayah kita di kampung, saat itulah rasa berat hati tadi akan bertukar menjadi rasa bangga yang luar biasa.

Macam mana nak capai tahap ikhlas macam tu? Cuba renungkan 4 perkara ni:

1. Cukai Sebagai “Sijil Kejayaan”

Tukar mindset: Cukai bukan beban, tapi ia adalah bukti korang sudah berjaya. Hanya orang yang memiliki pendapatan melebihi paras tertentu sahaja yang layak membayar cukai.

  • Kalau kena bayar cukai RM5,000, bayangkan berapa banyak rezeki (pendapatan) yang Tuhan dah bagi sampai korang sampai ke tahap itu.
  • Ramai orang di luar sana teringin nak ada gaji setinggi itu. Kalau kena bayar banyak, maksudnya Tuhan dah amanahkan rezeki yang sangat besar tahun lepas. Bayar cukai adalah cara “mengalirkan” berkat tu supaya ia dapat dikongsi bersama.

2. Niatkan Sebagai “Sedekah Paksa”

Zakat itu wajib untuk asnaf, tapi cukai pula adalah sumbangan untuk kepentingan “keluarga besar” kita.

  • Bila bayar cukai, niatkan dalam hati: “Ya Allah, aku sedekahkan duit ini untuk kegunaan rakyat Malaysia.”
  • Bayangkan, duit itu digunakan untuk beli ubat bagi pesakit di hospital kerajaan atau beli buku teks untuk anak-anak sekolah. Selagi orang itu sembuh atau budak tu dapat ilmu, pahala jariah korang tetap mengalir walaupun tak kenal pun siapa mereka.

3. Melunaskan “Hutang”

Sedar atau tidak, kita semua “terhutang budi” dengan negara.

  • Kita belajar di sekolah dan universiti yang yurannya disubsidi.
  • Kita guna jalan raya, jambatan dan lampu jalan yang dibina sebelum kita lahir lagi.
  • Bayar cukai adalah cara kita membalas jasa dan memastikan generasi anak-anak kita nanti pun dapat nikmat yang sama. Kita bayar supaya manfaat ini tidak terhenti pada kita sahaja.

4. Membantu Golongan “Tengah” (M40)

Zakat hanya untuk golongan asnaf. Tapi macam mana dengan kawan-kawan kita yang “tak kaya tapi tak miskin” (M40)? Gaji mereka sedikit saja melepasi garisan asnaf, membuatkan mereka tidak layak menerima zakat, namun tidak cukup kaya untuk menanggung badai musibah yang datang secara tiba tiba. Mereka tak layak terima zakat, tapi kalau anak mereka masuk hospital, mereka sangat perlukan subsidi kerajaan.

Bayangkan kawan sepejabat. Anak mereka tiba-tiba jatuh sakit dan perlukan pembedahan segera. Simpanan tak seberapa, insurans pula ada hadnya. Di sinilah duit cukai korang muncul sebagai Superhero yang tidak didendang.

  • Duit cukai koranglah yang memastikan kawan itu hanya perlu membayar RM500 untuk pembedahan yang kos asalnya berjumlah RM50,000.
  • Duit cukai koranglah yang menghalang seorang ayah daripada berhutang keliling pinggang semata-mata nak menyelamatkan nyawa anaknya.

Bila bayar cukai, korang sebenarnya sedang menjaga maruah kawan-kawan dan jiran tetangga. Korang sedang memegang tangan mereka supaya tidak jatuh tersungkur ke lembah kemiskinan. Menolong mereka yang sedang sesak walaupun mereka bukan asnaf adalah satu amal jariah yang sangat agung dan mulia.

“Tapi… Takutlah Duit Kena Sakau Oleh Ahli Politik!”

Ini kerisauan paling besar kan? Kita penat-penat membanting tulang, tiba-tiba keluar berita berlaku ketirisan sana-sini. Rasa macam tak berbaloi nak bayar kalau hujung-hujung masuk poket orang yang tidak sepatutnya.

Tapi, cuba renungkan sudut pandang ni:

Dalam Islam, tanggungjawab kita adalah mematuhi peraturan demi kepentingan awam. Apabila kita membayar dengan niat untuk membantu rakyat, insha-Allah pahala itu sudah milik kita di sisi Tuhan.

Kalau ada tangan-tangan yang menyalahgunakan amanah itu, itu adalah dosa besar mereka di padang mahsyar nanti. Mereka yang akan menjawab, mereka yang akan menanggung azab.

Pahala kita takkan “disakau” oleh dosa mereka.

Jadi, jangan biarkan kemarahan kita kepada segelintir manusia membuatkan kita berhenti menjadi tulang belakang kepada berjuta rakyat lain yang benar-benar memerlukan.

Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” (Hadis Riwayat al-Tabarani)

Artikel ini tidak ditaja oleh LHDN atau mana-mana pihak berkuasa. Kami di Majalah Labur cuma nak ajak anda semua ‘win’ dari segi kewangan DAN ketenangan jiwa. Bila kita nampak ke mana perginya setiap sen hasil titik peluh kita, barulah kita rasa berbaloi nak menyumbang. Jom jadi pembayar cukai yang bijak dan berjiwa besar!