10 Kemahiran Yang Paling Hangat Dalam Pasaran Kerja, Pergi Belajar Cepat

LinkedIn merupakan platform pencarian kerja yang terbesar di dunia maya, dengan keahlian sebanyak 630 juta orang dari seluruh dunia. LinkedIn menawarkan servis sumber manusia dengan menyediakan khidmat mencari pekerjaan dan mencari pekerja, menganjurkan bengkel latihan, dan banyak lagi.

Rata-rata penduduk Malaysia terutamanya warga bandar sudah agak biasa menggunakan platform ini untuk berkenalan dengan para professional lain dalam industri yang sama.

Tahun ini, LinkedIn telah menerbitkan sebuah laporan yang berjudul “Future of Skills 2019: Anticipating what’s next for your business”. Laporan ini menggariskan beberapa kemahiran yang sedang menjadi semakin hangat dalam pasaran kerjaya.

Menurut LinkedIn, mereka telah membuat beberapa penemuan dengan menganalisa data yang dihasilkan oleh ahli-ahli LinkedIn dan membuat tinjauan dan menemuramah seramai 5,000 orang profesional. Laporan ini telah dihasilkan berdasarkan data yang dikumpul di rantau Asia Pasifik.

“Rising Skills” menurut LinkedIn ialah kemahiran-kemahiran yang mendapat permintaan yang amat tinggi dan berkembang pesat pada beberapa tahun kebelakangan ini.

Tidak kiralah sama ada pekerja yang ingin mempelajarinya atau syarikat-syarikat yang mencari pekerja yang mempunyai kemahiran-kemahiran ini, yang penting kita kena tahu yang sesiapa yang mempunyai Rising Skills ini tidak akan mempunyai masalah mencari pekerjaan sama ada sekarang atau pada masa hadapan.

“Permintaan untuk pekerja yang mempunyai Rising Skills adalah sebanyak tiga kali ganda lebih tinggi dari permintaan untuk pekerja-pekerja lain”

LinkedIn

Rising Skills Di Rantau Asia Pasifik

LinkedIn telah menyenaraikan Rising Skills di Asia Pasifik seperti dibawah. Banyak yang berkaitan teknologi, tetapi masih ada beberapa juga yang bertumpu kepada bidang lain.

Adakah kita di antara mereka yang mempunyai Rising Skills? Mari kita lihat!

1. Compliance

Memastikan syarikat patuh kepada undang-undang.

Individu-individu yang mempunyai kemahiran ini antaranya ialah Ketua Pegawai Data, Pegawai Pematuhan, dan Pegawai Pengurusan Risiko.

2. Social Media Marketing

Mempromosikan produk dan khidmat melalui platform media sosial.

Individu-individu yang mempunyai kemahiran ini antaranya ialah Pakar Pemasaran Digital, Pengurus Pemasaran, dan Pakar Pemasaran Media Sosial.

3. Continuous Integration

Menggabungkan kod-kod ke dalam sebuah tempat untuk mengenalpasti masalah secara berterusan.

Individu-individu yang mempunyai kemahiran ini antaranya ialah Jurutera DevOps, Jurutera Full Stack, dan Jurutera Perisian.

4. Workflow Automation

Mengautomasikan proses manual berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh prosedur operasi syarikat.

Individu-individu yang mempunyai kemahiran ini antaranya ialah Pakar Runding, Pengurus Projek, dan Jurutera Perisian.

5. Gesture Recognition Technology

Menginterpretasi kelakuan manusia untuk kegunaan aplikasi dan peranti.

Individu-individu yang mempunyai kemahiran ini antaranya ialah Jurutera Peranti Mudah Alih, Penyelidik, dan Jurutera Perisian.

6. Blockchain

Membangunkan dan menguruskan teknologi Blockchain.

Individu-individu yang mempunyai kemahiran ini antaranya ialah Pembangun Blockchain, Ketua Pegawai Teknologi, dan Pakar Runding.

7. Artificial Intelligence

Mengkaji dan membina perisian dan kelengkapan yang dapat melakukan tugas manusia.

Individu-individu yang mempunyai kemahiran ini antaranya ialah Penganalisa Perniagaan, Saintis Data, dan Jurutera Perisian.

8. Robotic Process Automation

Mengautomasikan tugas dan proses rutin menggunakan perisian yang dilengkapi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.

Individu-individu yang mempunyai kemahiran ini antaranya ialah Penganalisa Perniagaan, Pakar Runding dan Jurutera Robotik.

9. Human-Centered Design

Mencari penyelesaian dengan memfokuskan kepada sudut pandang manusiawi dalam setiap langkah dalam sesebuah proses.

Individu-individu yang mempunyai kemahiran ini antaranya ialah Pereka Grafik, Pereka Bentuk Produk, dan User Experience Designer.

10. Frontend Web Development

Menukarkan data kepada antaramuka grafik untuk membina laman web dan aplikasi web.

Individu-individu yang mempunyai kemahiran ini antaranya ialah Pembangun Frontend, Jurutera Full Stack, dan Pembangun Laman Web.

Berdasarkan senarai di atas, kita dapat lihat bahawa jurutera perisian merupakan kerjaya yang paling banyak disebutkan, kerana mempunyai kemahiran-kemahiran yang diperlukan pada masa kini. Pada masa yang sama juga, LinkedIn menunjukkan di mana kemahiran-kemahiran ini boleh didapati di rantau ini.

Jika kita lihat, Malaysia mempunyai ramai individu yang berkemahiran Human-Centered Design, Social Media Marketing dan Workflow Automation. Tahniah kepada individu-individu ini kerana mempunyai masa hadapan yang cerah.

Sumber: LinkedIn

Akhir Kata

Sekiranya anda mahu mengakses laporan tersebut secara penuh, anda boleh muat turunnya di sini. Perkembangan teknologi telah banyak mengubah lanskap perniagaan pada masa kini, permintaan kemahiran juga telah banyak menjurus kepada kemahiran-kemahiran yang berkaitan dengan perkembangan teknologi.

Sekiranya kita mahu untuk kekal relevan dan kompetitif, kita perlu menumpukan pembelajaran ke arah kemahiran-kemahiran ini dan buang seribu alasan yang menghalang kita dari memajukan diri kita.

Selamat berjaya!

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari